KISAH PASANGAN KEMBAR HAN : Kembar Baik Lawan Kembar Jahat?
Sunny dan Jeena Han merupakan pasangan kembar seiras yang
dilahirkan pada 7 April 1974 bertempat di negara Korea Selatan. Sunny dianggap
sebagai kakak kerana dia lahir lima minit lebih awal daripada Jeena. Sewaktu
Sunny dan Jeena baru berusia 3 tahun, ibu bapa mereka telah bercerai. Susulan
penceraian tersebut, Sunny tinggal bersama ibunya manakala Jeena pula menetap dengan
bapanya. Apabila bapa Jeena berkahwin lain, Jeena pun kembali dijaga oleh
ibunya. Sejak ibu Sunny dan Jeena bergelar sebagai ibu tunggal, dia bergelut
untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga. Ibu Sunny dan Jeena itu mempunyai
tabiat buruk di mana dia suka berjudi dengan membiarkan anak-anaknya
bersendirian di rumah selama berhari-hari. Pada masa sama ibu Sunny dan Jeena
juga kerap bertukar pasangan.
Menginjak usia 12 tahun, Sunny dan Jeena telah mengikut ibu
mereka berhijrah ke Seattle, Amerika Syarikat. Tinggal di negara asing bukan
mudah untuk Sunny dan Jeena kerana mereka berdua perlu menyesuaikan diri dengan
budaya baru. Tabiat berjudi ibu Sunny dan Jeena pula semakin menjadi-jadi. Sama
semasa tinggal di Korea Selatan, Sunny dan Jeena selalu dibiarkan di rumah
tanpa makanan yang mencukupi. Sampai satu masa, ibu Sunny dan Jeena telah
menyuruh dua adik-beradik tersebut untuk duduk serumah dengan ibu saudara
mereka yang tinggal di California. Kebiasannya pasangan kembar begitu rapat
antara satu sama lain. Namun tidak untuk Sunny dan Jeena kerana mereka berdua
kerap bertengkar.
Mengenai alam persekolahan mereka, Sunny dan Jeena dikatakan sebagai pelajar yang sangat pintar. Cumanya Sunny lebih menonjol berbanding dengan Jeena. Sunny adalah seorang yang berperwatakan peramah serta gemar untuk bersosial. Jeena? Dia seorang yang sangat pendiam dan serius. Tamat persekolahan, Sunny telah melanjutkan pelajaran ke universiti dengan mendapat tajaan biasiswa sepenuhnya. Jeena pula memilih untuk menyertai pasukan tentera udara Amerika Syarikat. Setelah bergelar sebagai seorang penuntut universiti, Sunny ternyata menerima kejutan budaya. Dia mula terpengaruh untuk mengamalkan gaya hidup mewah dengan gemar untuk berparti dan membeli barangan mewah hingga mengabaikan pelajaran. Selepas prestasi pelajarannya semakin merosot, biasiswanya ditamatkan sekaligus menyebabkan Sunny terpaksa berhenti belajar. Bagi menampung gaya hidup mewahnya, Sunny telah bekerja sambilan dengan menjadi pelayan di sebuah restoran.
Soal Jeena, dia berasa menyesal dengan pilihan karier sebagai
anggota tentera udara kerana dirasakannya terlalu lasak. Jeena akhirnya berjaya
keluar dari kem tersebut dengan alasan pemberhentiannya adalah dengan membuat
pengakuan sebagai seorang lesbian. Sesudah itu, Jeena bekerja di sebuah kasino.
Jeena seterusnya mengikut jejak langkah ibunya sebelum ini yang mempunyai ketagihan
berjudi. Apabila hutang Jeena menjadi semakin banyak, dia sanggup untuk mencuri
wang milik rakan dan ibu saudara yang pernah menjaganya selama ini. Perbuatan
Jeena tersebut bagaimanapun terbongkar sebelum dia ditangkap oleh pihak polis
lalu dipenjarakan selama 10 hari dengan pemantauan daripada pihak polis untuk
tempoh 3 tahun.
Hinggalah satu hari, Sunny telah mendapat tahu mengenai keberadaan Jeena yang sudah lama dia tidak temui. Maka Sunny pun pergi menemui Jeena. Pada pertemuan itu, Sunny telah mengajak Jeena untuk tinggal sekali bersama dengannya. Jeena yang tidak berfikir panjang terus bersetuju dengan perkara tersebut. Timbul rasa cemburu pada Jeena selepas melihat kehidupan Sunny yang jauh lebih baik daripada kehidupannya. Manakan tidak, Sunny tinggal di apartment mewah, memakai barangan mahal lagi berjenama dan mempunyai sebuah kereta jenis BMW. Apa yang Jeena tidak ketahui, Sunny sebenarnya hidup bermewah sedemikian adalah dengan hasil mencuri wang kad kredit milik rakan-rakannya.
Meskipun Sunny dan Jeena sudah
hidup bersama semula, mereka berdua tetap kerap bertengkar akibat rasa tidak
puas hati. Saat kemuncaknya apabila Sunny dihumban ke dalam penjara selepas
rakannya membuat laporan tentang kecurian kad kredit yang dia lakukan.
Sepanjang tempoh Sunny dipenjarakan, Jeena mengambil kesempatan ini untuk
menggunakan identiti kakaknya itu bagi tujuan penggunaan wang kad kredit yang
mencecah ribuan mata wang Dollar.
Keluar saja Sunny dari penjara, dia terus mengambil tindakan undang-undang selepas dia menerima pemakluman tentang identitinya yang telah disalah gunakan oleh Jeena untuk kepentingan diri. Rentetan daripada perkara tersebut, Jeena dihukum penjara selama enam bulan. Tamat tempoh pemenjaraan Jeena, dia yang menyimpan rasa dendam tekad untuk melakukan sesuatu terhadap Sunny. Pada malam 6 November 1996, dua orang remaja lelaki yang bernama Yoshi (15 tahun) dan Archie Bryant (16 tahun) telah menceroboh masuk ke dalam apartment kediaman Sunny. Jeena waktu sebelumnya mengupah Yoshi dan Archie dengan kadar bayaran sebanyak $100 untuk menakut-nakutkan Sunny dengan kerja-kerja pembunuhan akan dilakukan oleh Jeena sendiri. Sebelum sampai di rumah Sunny, Jeena dan dua orang remaja lelaki tersebut telah membeli peralatan pembunuhan seperti sarung tangan, pita pelekat, plastik sampah, bahan cucian dan pistol.
Berbalik dengan cerita
pencerobohan, salah seorang rakan serumah Sunny terus menjerit ketakutan sebaik
saja dia melihat Yoshi dan Archie. Mendengar suara jeritan rakannya, Sunny yang
berada di dalam bilik mandi pada waktu itu sempat mengunci bilik pintu bilik
mandi tersebut sebelum menelefon pihak polis. Tidak lama kemudian, Archie
berjaya membuka pintu bilik mandi dan terus mengikat badan Sunny dengan tali.
Begitu juga nasib dengan rakan serumah Sunny. Mujur sajalah pada lebih kurang
dua minit selepas panggilan telefon yang dibuat Sunny, pihak polis telah tiba
di lokasi kejadian. Menyedari kehadiran pihak polis, Jeena dan Yoshi duduk
menunggu di dalam kereta yang diparkir di luar bangunan apartment bergegas
untuk melarikan diri. Lain pula ceritanya dengan Archie. Dia yang ketakutan
telah meminta Sunny dan rakannya untuk memberitahu kepada pihak polis bahawa
insiden pencerobohan tersebut adalah sekadar lawak jenaka. Kesudahan cerita,
Archie ditangkap dengan serta merta. Sunny dan rakan serumahnya berjaya
diselamatkan. Pihak polis tidak perlu mengambil masa lama untuk mengesan Jeena
serta Yoshi dan melakukan penangkapan ke atas kedua-dua mereka.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Jeena yang didapati bersalah atas kesalahan melakukan konspirasi pembunuhan telah menerima diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama 25 tahun. Archie dan Yoshi yang bersubahat menerima nasib sama dengan Archie dihukum penjara untuk tempoh 16 tahun dan Yoshi cuma 8 tahun. Berdasarkan laporan media, Archie hanya menjalani hukuman penjara itu selama 10 tahun dan Yoshi pula 4 tahun. Tahun 2018 yakni pada usianya 44 tahun, Jeena telah dibebaskan dengan cara pembebasan bersyarat. Tiada siapa tahu tentang keberadaan Sunny yang dilaporkan menghilangkan diri selepas selesai perbicaraan kes tersebut.
Catat Ulasan for "KISAH PASANGAN KEMBAR HAN : Kembar Baik Lawan Kembar Jahat?"