KISAH PATUNG OKIKU, PATUNG BERHANTU DI JEPUN
Sebut saja mengenai patung Annabelle atau Chucky, ada dua
benda yang akan terlintas di fikiran. Pertama, sumpahan. Kedua, berhantu. Sebenarnya
memang tidak dapat dinafikan bahawa ada benda yang benar-benar menakutkan
tentang patung mainan. Begitulah juga dengan kisah legenda urban patung
berhantu di Hokkaido, Jepun atau lebih dikenali sebagai Okiku. Patung yang kini
disimpan dalam sebuah kuil di Iwazima, Hokkaido ini mempunyai satu keanehan di
mana rambutnya akan tetap tumbuh walaupun sudah dipotong. Jadi, bagaimana
cerita penuhnya?
Kisah Okiku dikatakan telah bermula pada tahun 1918 apabila seorang
remaja lelaki bernama Eikichi Suzuki membeli sebuah patung untuk dihadiahkan
kepada adik perempuannya yang berusia 2 tahun iaitu Okiku. Pembelian tersebut
dibuat oleh Eikichi di Saporo yakni sewaktu dia mengikuti aktiviti jelajah
pameran maritim. Sebaik Okiku menerima hadiah patung itu, dia ternyata berasa
sangat gembira sekali. Kebanyakan masanya dihabiskan untuk bermain bersama
patung tersebut yang dia telah namakan sebagai Okiku bersempena dengan namanya
sendiri. Okiku sering membawa patung itu bersama dengannya walau ke mana jua
dia pergi. Hinggalah satu hari, satu tragedi yang tidak diduga sama sekali
telah berlaku. Okiku meninggal dunia akibat penyakit demam panas. Apa yang menyedihkan,
Okiku telah menghembuskan nafas terakhir dalam keadaannya memeluk patung
tersebut.
Pada mulanya, keluarga Okiku berniat untuk mengebumikan Okiku bersama dengan patung itu akan tetapi perkara tersebut tidak dapat dilakukan atas sebab-sebab tertentu. Jadi, keluarga Okiku kemudian telah meletakkan patung itu diletakkan di altar sebagai tanda memperingati Okiku. Beberapa bulan berikutnya, keluarga Okiku mula menyedari sesuatu yang tidak kena pada patung tersebut. Rambut patung Okiku kekal tumbuh secara berterusan biarpun telah banyak kali dipotong. Lagi pelik, rambut patung Okiku berhenti tumbuh apabila kepanjangan rambutnya itu mencapai paras lutut. Pada masa sama, keluarga Okiku mula mengalami gangguan menyeramkan di rumah mereka seperti bunyi ketukan pintu dan kewujudan suara yang pelik. Gangguan ini menjadi semakin dahsyat apabila menjelang hari ulang tahun kelahiran dan kematian Okiku.
Setelah keluarga Okiku pergi berjumpa dengan bomoh, mereka
diberitahu bahawa roh Okiku berkemungkinan besar telah terperangkap di dalam
patung tersebut. Segala gangguan yang keluarga Okiku alami itu adalah salah
satu cara roh Okiku untuk berkomunikasi dengan mereka. Pada tahun 1938,
keluarga Okiku berpindah ke Sakhalin dengan membawa sekali patung Okiku. Keluarga
Okiku yang tidak pernah mempunyai sebarang niat untuk membuang patung Okiku
telah menyimpan patung tersebut di Mannenji. Hingga pada hari ini, patung Okiku
masih lagi berada di kuil berkenaan dengan jagaan rapi oleh pihak sami.
Masih belum diketahui penyebab sebenar rambut Okiku kekal tumbuh. Cumanya ada satu cerita yang tidak jelas kesahihannnya, sampel rambut patung Okiku pernah dihantar ke makmal bagi tujuan analisis. Mengejutkan, rambut itu adalah sebenarnya rambut manusia! Kisah patung Okiku ini juga telah banyak kali diangkat ke layar novel dan filem.
Catat Ulasan for "KISAH PATUNG OKIKU, PATUNG BERHANTU DI JEPUN "