KRONOLOGI PEMBUNUHAN ORSOLA GAAL
Pada sekitar pukul 8 pagi 15 April 2022 yakni bertempat di
Queens, New York, Amerika Syarikat, seorang lelaki berusia dalam sekitar 50an yang
sedang membawa anjing peliharaannya berjalan-jalan telah ternampak sebuah beg
galas berwarna hitam di tepi jalan kawasan sebuah taman. Melihat beg galas itu
mempunyai kesan darah, lelaki tersebut pun melakukan pemeriksaan. Alangkah
terkejutnya lelaki tersebut apabila mendapati terdapat mayat seorang wanita di
dalam beg itu. Maka tanpa berlengah, lelaki tersebut segera menghubungi pihak
polis.
Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian telah mengikut
jejak kesan darah yang ada di sepanjang laluan jalan tersebut hingga membawa mereka
ke sebuah rumah mewah. Di dalam rumah mewah itu, ada seorang remaja lelaki
berusia 13 tahun memberitahu kepada pihak polis bahawa bapa dan abangnya sedang
berada di luar bandar manakala lokasi keberadaan ibunya pula tidak diketahui.
Rentetan daripada perkara tersebut, budak itu pun dibawa ke balai polis untuk
siasatan lanjut berhubung dengan penemuan mayat wanita berkenaan. Tidak lama
selepas penahanan budak tersebut dibuat, identiti mayat wanita itu telah
dikenalpasti sebagai Orsolya Gaal’s, 51 tahun. Mangsa tidak lain tidak bukan
ibu kepada budak remaja tersebut yang kemudian dibebaskan semula oleh pihak
polis setelah didapati tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kematian ibunya.
Tentang suami dan anak sulung Orsolya, mereka berdua turut disahkan bukan
sebagai suspek utama pembunuhan. Apa yang dapat dipastikan, Orsolya dipercayai
mati dibunuh pada beberapa jam sebelum mayatnya ditemui. Kali terakhir Orsola
dilihat hidup adalah semasa berada di sebuah bar pada sekitar pukul 12 tengah
malam dengan dia dipercayai sedang menunggu kedatangan seseorang. Cumanya,
orang yang ditunggu Orsola itu tidak kunjung tiba.
Lima hari sesudah kematian Orsolya, pihak polis akhirnya berjaya menangkap suspek utama pembunuhan berusia 44 tahun yang dikenali sebagai David Bonola. Dia merupakan pekerja tukang yang sering melakukan kerja-kerja pembaikian di rumah Orsolya. Namun fakta paling mengejutkan, David adalah kekasih gelap Orsolya. Pasangan itu telah menjalinkan hubungan sulit selama 2 tahun dengan hubungan mereka sebelumnya dikatakan sering kali putus sambung. Menerusi pengakuan yang dibuat David, dia mendakwa telah datang ke rumah Orsola pada lewat malam kejadian bagi membincangkan soal hubungan mereka berdua. Lokasi perbincangan tersebut adalah di bilik bawah tanah memandangkan Orsola tidak mahu kehadiran David disedari oleh anak keduanya yang sedang tidur di tingkat atas rumah. Perbincangan yang berakhir dengan pertengkaran dek kerana rasa cemburu daripada David. Pertengkaran yang disudahi dengan pembunuhan Orsola.
David yang berasa marah mengambil pisau lalu mengelar leher Orsola. Lebih kejam, Orsola turut ditikam lebih daripada 50 kali di tubuh badannya. Tikaman yang penuh dengan kebencian. Kes masih lagi dalam perbicaraan mahkamah akan tetapi tidak jelas tentang tarikh sebenar David akan dibicarakan. Buat masa sekarang, keluarga Orsola termasuk suaminya mengambil pendekatan mendiamkan diri daripada memberikan sebarang kenyataan tentang pembunuhan Orsola ini.
Catat Ulasan for "KRONOLOGI PEMBUNUHAN ORSOLA GAAL"