Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

MISTERI 20 HARI KEHILANGAN DR. FAISAL

    INDONESIA - Baru-baru ini, tular di negara Indonesia tentang berita kehilangan seorang lelaki doktor perubatan yang telah menghilang secara misteri selama 20 hari. Doktor pakar radiologi berusia 42 tahun yang dikenali sebagai Dr. Faisal Kanang itu dilaporkan hilang pada 6 Mei 2022 yakni sewaktu dia sedang dalam perjalanan untuk memberikan bantuan kepada mangsa banjir. Kehilangan Dr. Faisal tersebut disedari susulan penemuan motosikal miliknya di sebuah kawasan tepian curam dengan keadaan enjin motosikal itu masih hidup. Pihak polis yang menerima laporan mengenai penemuan tersebut terus bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui barangan peribadi milik Dr. Faisal seperti kad pengenalan dan selipar. Seperkara yang harus diketahui tentang Dr. Faisal, dia dikatakan berperwatakan alim dan dermawan.

    Sejak dari awal lagi, pihak polis meyakini bahawa Dr. Faisal berkemungkinan besar menjadi mangsa rompakan atau sengaja menghilangkan diri. Namun mengambil kira kawasan persekitaran di lokasi kejadian yang berbau busuk, ramai pihak telah mengaitkan kehilangan Dr. Faisal dengan elemen mistik samada disembunyikan oleh bangsa jin atau makhluk halus lain. Lagipun, tiada sebarang petunjuk yang pihak polis temui pada sepanjang tempoh operasi pencarian biarpun sudah menggunakan unit anjing pengesan. Pihak polis turut mengambil keterangan daripada isteri Dr. Faisal iaitu Cynthia Cornelius yang juga merupakan seorang doktor pakar perubatan.

    Hinggalah pada hari ke-20 kehilangan Dr. Faisal, orang awam dikejutkan dengan berita penemuan semula Dr. Faisal yang ternyata masih lagi hidup. Dia bukanlah disorok oleh jin seperti yang telah digembar-gemburkan akan tetapi sebaliknya tinggal bersama dengan kekasih gelapnya di dalam sebuah hotel. Perkara ini bermaksud, Dr. Faisal sengaja mereka plot kehilangannya dengan unsur mistik supaya dia dapat meluangkan masa bersama dengan teman wanitanya itu yang bernama Husniati Zubaer. Wanita tersebut masih berstatus sebagai isteri orang serta pada masa sama dia sedang dalam proses penceraian dengan suaminya. Dia dan Dr. Faisal pernah belajar di satu sekolah menengah yang sama. Kedua-dua mereka pernah menjalinkan hubungan sulit pada tahun 2018 akan tetapi hubungan itu berakhir sesudah diketahui oleh Dr. Cynthia Cornelius. Dr. Faisal dan Husniati bagaimanapun kembali berhubungan secara diam-diam. Demi membuktikan cintanya, Dr. Faisal bahkan sanggup membeli sebuah kereta yang didaftarkan ke atas nama Husniati.



    Sementara itu, Dr. Cynthia Cornelius sudah pun meminta maaf kepada masyarakat Indonesia atas kekecohan yang telah ditimbulkan oleh suaminya dan merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak berkuasa yang bekerja-keras untuk menyelesaikan kes. Dr. Cynthia Cornelius sebelum itu bertindak untuk mengurung diri di dalam bilik setelah mendapat tahu mengenai berita penangkapan suaminya bersama dengan wanita lain.
 

Catat Ulasan for "MISTERI 20 HARI KEHILANGAN DR. FAISAL "