Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

MISTERI BAS BERHANTU 375

    “Bas 375 Waktu Tengah Malam”, “Bas Ke Fragant Hills” atau “Bas Terakhir ke Fragant Hills” merupakan kisah seram legenda urban popular di negara China yang mengisahkan tentang perjalanan terakhir sebuah bas yakni berakhir dengan kematian pemandu serta konduktor di dalam bas itu. Ada sesetengah orang mempercayai bahawa penceritaan dalam kisah bas ini adalah berdasarkan kisah benar. Seperti kebanyakan kisah legenda urban lain, “Bas 375” ini mempunyai banyak versi.

    Menerusi salah satu versi paling popular yang selalu diceritakan, kisah sebenar bermula pada malam 14 November 1995 dengan lokasi kejadian adalah di Beijing. Malam itu, ada seorang wanita tua sedang duduk di sebuah stesen bas bersama dengan seorang lelaki muda yang tidak dikenali. Mereka berdua sama-sama menunggu ketibaan bas terakhir dari terminal Yuan Ming Yuan pada malam tersebut iaitu bas 375 di mana bas itu dijadualkan dalam perjalanan menuju ke Xiang Shan. Diringkaskan cerita, bas 375 tersebut pun sampai di stesen bas berkenaan untuk mengambil wanita tua dan lelaki muda itu.

    Wanita tua tersebut duduk di kerusi bahagian depan manakala lelaki muda itu pula menduduki kerusi pada bahagian belakang bas. Turut berada di dalam bas tersebut pada waktu itu adalah sepasang kekasih. Jadi secara keseluruhannya, ada enam orang berada dalam bas tersebut termasuk pemandu bas dan konduktor wanita. Bas tersebut kemudian memulakan perjalanan sebelum berhenti di sebuah perhentian untuk menurunkan pasangan kekasih. Tidak lama selepas itu, pemandu bas tersebut tiba-tiba melihat bayangan dua orang lelaki yang berdiri berada di tepi jalan raya melambaikan tangan kepadanya sebagai isyarat untuk memberhentikan bas. Pada mulanya, pemandu bas itu enggan untuk berhenti kerana kawasan situ bukannya di perhentian bas. Namun setelah pemandu bas tersebut diingatkan oleh konduktor bas yang mereka sedang naiki itu adalah bas terakhir pada malam tersebut, maka dia pun terpaksa akur untuk mengambil kedua-dua lelaki tadi.

    Ternyata bukan dua orang lelaki tetapi ada tiga orang lelaki yang sebenarnya telah menaiki bas itu. Lelaki ketiga yang dimaksudkan berada di tengah dengan keadaannya dipapah oleh dua orang lelaki yang melakukan lambaian waktu sebelumnya. Tidak jelas muka lelaki di tengah yang berkepala botak tersebut kerana dia menundukkan kepalanya. Saat bas kembali bergerak, suasana bas itu tiba-tiba menjadi kecoh berpunca daripada si wanita tua yang telah menuduh lelaki muda tersebut mencuri beg duitnya. Rentetan daripada perkara itu, pemandu bas bertindak memaksa wanita tua dan lelaki muda tersebut untuk turun dari bas. Mereka berdua akur dengan arahan itu. Setelah bas tersebut beredar pergi, wanita tua terus memberitahu lelaki muda itu bahawa dia baru saja menyelamatkan mereka. Cerita wanita tua tersebut, ketiga-tiga lelaki yang baru menaiki bas itu sebenarnya bukan manusia tetapi hantu kerana mereka tidak mempunyai kaki dan berjalan dalam keadaan terapung. Dalam erti kata lain, cuma wanita tua tersebut yang menyedari perkara itu. Wanita tua dan lelaki muda tersebut seterusnya bersepakat untuk membuat laporan di balai polis berdekatan. Walau bagaimanapun, tiada sesiapa pun yang mempercayai cerita mereka berdua.

    Keesokan harinya, pihak polis menerima maklumat mengenai kehilangan bas 375 itu daripada syarikat operasi bas terbabit. Hanya pada hari ketiga operasi pencarian, bas tersebut akhirnya ditemui tenggelam di Empangan Miyun, Beijing. Hasil pemeriksaan, didapati ada 3 mayat manusia yang sudah mereput di dalam bas itu. Mayat itu adalah mayat si pemandu bas, konduktor dan seorang lagi lelaki yang tidak diketahui identitinya. Paling menyeramkan, tangki petrol bas tersebut dipenuhi dengan darah manusia.

- Tamat-

Catat Ulasan for "MISTERI BAS BERHANTU 375 "