Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

DENDAM SEORANG SUAMI

    INDONESIA – Menerusi perkembangan terkini kes perbicaraan pembunuhan Abdul Halim, tertuduh iaitu Abdul Wahed dilaporkan hanya mampu menundukkan kepalanya sewaktu mendengar keterangan daripada dua orang saksi yang juga merupakan rakannya sendiri.

    Memetik daripada laporan media tempatan Indonesia, kedua-dua saksi yang dipanggil oleh pihak pendakwaan itu memberitahu bahawa Abdul Wahed berkemungkinan besar melakukan pembunuhan tersebut kerana tidak dapat mengawal emosi setelah mendapat tahu tentang kehamilan isterinya yakni hasil hubungan terlarang dengan mangsa.

    Kisah sebenar bermula apabila Abdul Wahed dibebaskan dari penjara pada bulan Jun tahun 2021 lalu tinggal semula bersama dengan isterinya. Enam bulan berikutnya, Abdul Wahed mula berasa curiga mengenai usia kandungan isterinya yang sudah mencecah 9 bulan. Perkara ini bermaksud isteri Abdul Wahed telah pun hamil pada tiga bulan sebelum pembebasan Abdul Wahed dari penjara. Sesudah didesak oleh Abdul Wahed untuk menceritakan perkara sebenar, isteri Abdul Wahed akhirnya membuat pengakuan tentang kecurangannya sepanjang tempoh Abdul Wahed berada dalam penjara.

    Isteri Abdul Wahed mengaku bahawa dia mula berkenalan dengan Abdul Halim menerusi laman media sosial Facebook. Dakwa isteri Abdul Wahed lagi, dia dan Abdul Halim pernah menjalinkan hubungan seks sebanyak tiga kali dalam sebuah hotel yang terletak di Surabaya. Mendengar perkara tersebut, Abdul Halem terus mendesak isterinya supaya memberitahu identiti pelaku. Isteri Abdul Wahed bagaimanapun enggan untuk mendedahkan identiti Abdul Halim secara terperinci. Apa yang diberitahunya kepada Abdul Wahed hanyalah butiran ringkas seperti ciri-ciri fizikal, jenis motosikal dan nombor pendaftaran motosikal berkenaan.

    Maka pada 18 Disember 2021, Abdul Wahed telah pergi mencari Abdul Halim. Pencarian tersebut dilakukan bersama dengan seorang lagi rakannya yang hanya dikenali sebagai “S” yang kini masih lagi dalam buruan pihak polis. Dua rakan itu kemudian terserempak dengan Abdul Halim yang sedang menunggang motosikal sebelum melakukan aksi serangan mereka di jalanan. Abdul Wahed yang benar-benar berasa marah telah bertindak untuk membunuh Abdul Halim menggunakan sabit dengan cara tetakan berkali-kali. Usai kejadian, Abdul Wahed telah ditangkap oleh pihak polis susulan laporan yang dibuat oleh saksi. Kes ini masih lagi dalam perbicaraan dengan Abdul Wahed menerima pertuduhan melakukan pembunuhan peringkat pertama. 

Catat Ulasan for "DENDAM SEORANG SUAMI "