Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH BENAR DI SEBALIK DRAMA CANDY

Candy Montgomery

    Kisah pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 1980 bertempat di Wylie, Texas, Amerika Syarikat di mana seorang wanita bernama Betty Gore telah mati dibunuh oleh rakan baiknya sendiri iaitu Candy Montgomery dengan cara tetakan kapak sebanyak 41 kali. Jadi apa sebenarnya yang berlaku hingga menyebabkan Candy sanggup bertindak kejam sedemikian?

    Kisah sebenar bermula pada tahun 1977 apabila Candy telah mengikut suaminya berpindah ke bandar Wylie. Candy yang 27 tahun pada waktu tersebut merupakan seorang suri rumah sepenuh yang mempunyai dua orang anak kecil yakni seorang lelaki dan seorang perempuan. Suami Candy yang dikenali sebagai Pat pula adalah seorang jurutera elektrik. Tidak lama selepas berpindah ke bandar itu, Candy menjadi rapat dengan Betty Gore, wanita yang dikenalinya di sebuah gereja.

Betty Gore

    Tahun 1978, Candy telah bermain permainan bola tampar dalam satu perlawanan anjuran oleh pihak gereja. Semasa perlawanan tersebut berlangsung, Candy secara tidak sengaja telah terlanggar dengan Allan Gore iaitu suami kepada Betty. Sejak insiden perlanggaran itu, Candy mula teringatkan bauan badan Allan yang dianggapnya berbau seksi. Candy ternyata tidak bertepuk sebelah tangan kerana Allan juga mempunyai perasaan yang sama sepertinya. Pada masa sama, Allan dan Candy sering kecewa bersendirian berhubung dengan isu layanan seksual yang mereka terima daripada pasangan masing-masing.

    Hinggalah satu hari, Candy yang enggan lagi untuk memendam perasaan telah berterus-terang kepada Allan tentang cadangan supaya mereka berdua menjalinkan hubungan sulit. Pada mulanya, Allan enggan berbuat sedemikian kerana memikirkan Betty yang sedang mengandungkan anak kedua mereka pada waktu tersebut. Namun dek kerana godaan daripada Candy, Allan ternyata tidak dapat untuk menahan nafsunya secara berterusan. Jadi, Allan dan Candy pun mula menjalinkan hubungan sulit pada bulan Disember 1978 tidak lain tidak bukan demi kepentingan seks semata-mata. Pasangan itu bagaimanapun bersepakat untuk menghentikan hubungan sulit tersebut jika timbul rasa cinta antara mereka.

Allan Gore bersama isteri dan anaknya.

    Bulan Julai tahun 1979, anak kedua Allan dan Betty yang dinamakan sebagai Bethany selamat dilahirkan. Waktu ini, Allan semakin berasa serba salah atas kecurangan yang dia telah lakukan kepada isterinya. Betty sebenarnya menyedari perubahan sikap Allan akan tetapi tiada apa yang boleh dia buat melainkan meratapi kesedihannya secara bersendirian. Hubungan Allan dan Betty kembali seperti sebelumnya sesudah mereka mendapatkan kaunseling dari pihak gereja. Rentetan daripada perkara berkenaan, Allan tekad untuk memutuskan hubungan dengan Candy. Cumanya daripada sisi Candy, tidak semudah itu untuk dia melupakan Allan.

    Maka pada tarikh 13 Jun 1980, Allan yang sedang berada di luar bandar atas urusan kerja ketika itu cuba menelefon Betty selama berkali-kali namun panggilan telefon tersebut langsung tidak berjawab. Disebabkan berasa risau, Allan telah meminta bantuan jirannya supaya pergi ke rumahnya untuk memeriksa keadaan. Hasil pemeriksaan, jiran itu menemui mayat Betty yang penuh dengan lumuran darah di dalam sebuah bilik. Anak-anak Betty pula ditemui dalam keadaan selamat. Berdasarkan siasatan pihak polis, Candy menjadi satu-satunya suspek utama dalam kes pembunuhan kerana dia dipercayai sebagai indvidu terakhir yang telah berjumpa dengan Betty.

    Soal motif pembunuhan Betty, perkara itu diyakini mempunyai kaitan dengan tindakan Allan yang telah mengakhiri hubungannya dengan Candy. Menerusi pengakuan yang dibuat oleh Candy sewaktu perbicaraan kes di mahkamah, dia terpaksa membunuh Betty atas alasan untuk mempertahankan diri. Dakwa Candy lagi tentang hari kejadian, Betty telah menyerangnya terlebih dahulu dengan menggunakan kapak. Serangan tersebut berlaku berpunca daripada Betty yang tidak berpuas hati dengan penjelasan Candy mengenai hubungan sulitnya dengan Allan sebelum itu. Biarpun secara faktanya Betty telah ditetak Candy sebanyak 41 kali, keputusan juri mahkamah benar-benar mengejutkan ramai pihak. Kesudahan kes, Candy didapati tidak bersalah. Selepas pembebasannya, Candy dilaporkan telah berpindah ke Georgia sebelum bercerai dengan suaminya.

    Kisah Candy Montogomery ini sudah pun diangkat ke layar filem sebanyak tiga kali. Filem pertama berjudul A Killing in a Small Town (1990). Filem kedua, siri drama Candy (2022) terbitan Hulu. Filem ketiga, siri Love & Death yang akan ditayangkan menerusi HBO Max pada tahun 2022.

Catat Ulasan for "KISAH BENAR DI SEBALIK DRAMA CANDY "