Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH BENAR DI SEBALIK FILEM THE TAG-ALONG

    Pernahkah anda menonton filem seram Taiwan berjudul The Tag-Along yang telah ditayangkan pada tahun 2015? Filem yang mendapat markah sebanyak 5.8/10  dari laman IMDb ini merupakan salah sebuah filem yang mendapat kutipan terlaris dalam sejarah industri perfileman negara Taiwan. Namun tahukah anda bahawa filem ini dikatakan berdasarkan kisah benar yakni diangkat daripada kisah legenda urban popular Taiwan iaitu “Budak Perempuan Berbaju Merah”. Disebabkan inilah filem ini telah menjadi tular di laman media sosial sejurus selepas penayangannya.

    Kisah legenda urban “Budak Perempuan Berbaju Merah” ini bermula pada tahun 1998 sewaktu sekelompok keluarga melakukan aktiviti pendakian di sebuah kawasan pergunungan yang terletak di kota Taichung. Lebih kurang 10 hari selepas aktiviti pendakian itu, salah seorang anggota wanita keluarga tersebut tiba-tiba telah meninggal dunia akibat penyakit misteri. Pada hari pengkebumian wanita itu, keluarganya memasang rakaman video mendiang semasa berada di kawasan gunung tersebut. Rakaman video tersebut dimainkan sebagai tanda untuk mengenang mendiang wanita berkenaan. Tidak lama setelah rakaman video itu dimulakan tayangannya, anggota keluarga mendiang wanita tersebut berasa sangat terkejut. Puncanya, ada seorang budak perempuan berbaju merah di dalam video itu yang telah mengikuti perjalanan mereka. Masalahnya, tiada seorang pun daripada mereka yang mengenali atau menyedari kehadiran budak perempuan tersebut semasa hari kejadian.

    Rakaman video itu kemudian dihantar oleh pihak keluarga terbabit kepada sebuah syarikat produksi televisyen di Taiwan untuk tindakan selanjutnya. Hasil tinjauan yang dilakukan oleh krew syarikat tersebut di lokasi kejadian asal, rata-rata penduduk setempat mendakwa tidak pernah melihat budak perempuan tersebut yang diyakini bukan berasal dari kawasan situ. Sesudah cerita mengenai budak perempuan itu disiarkan di televisyen, ramai pihak mempercayai bahawa budak perempuan tersebut berkemungkinan besar adalah roh halus yang cuba memikat manusia sesat di kawasan pergunungan seperti dalam cerita rakyat Taiwan. Apa yang dapat dipastikan, budak perempuan itu tidak pernah dapat ditemui. Jadi, kemunculannya dalam rakaman tersebut kekal menjadi sebuah kisah misteri yang tidak berpenghujung.

Catat Ulasan for "KISAH BENAR DI SEBALIK FILEM THE TAG-ALONG"