KISAH CHEN DANLEI : Cinta Yang Menakutkan
Pada pagi 20 Ogos 2005 bertempat di dalam sebuah apartment
di Amerika Syarikat, seorang wanita bernama Chen Danlei telah menembak mati
suaminya. Apa yang Chen katakan selepas tembakan itu,
“Sekarang aku tak
perlu risau dah tentang diriku yang akan ditinggalkan kamu.”
Sewaktu perbicaraan kes pembunuhan ini di mahkamah, Chen
telah membuat pengakuan di depan juri dengan berkata,
“Aku terlalu mencintai
suamiku. Aku hanya inginkan dirinya untuk bersama denganku buat selama-lamanya.
Aku takut dia akan meninggalkanku.”
Jadi, apa sebenarnya yang berlaku hingga memicu Chen
bertindak sedemikian? Ini adalah kisah Chen Danlei, cinta mati seorang isteri.
Pada tahun 1995, Chen telah berjaya melanjutkan pelajarannya
ke Universiti Tsinghua yang berlokasi di Beijing. Di universiti itulah dia mula
menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki yang bernama He Lei. Tahun 2001,
Chen menerima tawaran untuk belajar di Universiti Purdue, Amerika Syarikat.
Perkara ini bermaksud Chen harus berjauhan dengan He. Pada mulanya, He ingin
mengikut Chen berpindah ke Amerika Syarikat akan tetapi perkara tersebut tidak
kesampaian susulan permohonan visanya telah ditolak. Harus diingatkan, Chen dan
He pada waktu itu saling mencintai antara satu sama lain. Masing-masing tidak
rela berjauhan. Maka pada akhirnya, mereka berdua pun berkahwin walaupun
perkahwinan tersebut kurang mendapat restu daripada keluarga He.
Sesudah bergelar sebagai suami kepada Chen, barulah He dibenarkan untuk berhijrah ke Amerika Syarikat. Dia seterusnya belajar di universiti yang sama dengan Chen. Pada tempoh singkat, He mendapat ramai kawan di universiti itu kerana sikapnya yang mudah mesra dan sentiasa berfikiran positif. Bagaimana pula dengan Chen? Dia kekal berada dalam dunianya sendiri dengan memilih untuk mengasingkan diri daripada orang ramai. Sampai satu tahap, Chen nyaris tidak dapat menamatkan pelajaran kerana bergaduh dengan pensyarahnya. Mujur sajalah He masuk campur dalam hal tersebut dengan meminta bantuan daripada pensyarah yang lain untuk meluluskan Chen.
Dari hari ke hari, paranaoid Chen semakin menjadi-jadi. Dia
mengongkong sepenuhnya hidup He dengan cara pemantauan telefon bimbit dan
aktiviti harian suaminya itu. Chen sebolehnya inginkan He berada di sisinya
pada setiap masa. Perkara tersebut telah menimbulkan rasa rimas hingga
adakalanya dia enggan untuk pulang ke rumah. Paling membuatkan He berasa geram,
Chen sengaja tantrum pada setiap kali mereka berdua menghadiri majlis parti.
Chen pantang melihat He menghabiskan masa untuk berborak dengan orang lain
lebih-lebih lagi dengan kaum wanita. Dia akan menjadi cemburu tidak bertempat.
Lama kelamaan, He menjadi semakin malu dengan perangai Chen sampaikan dia
sering terpaksa untuk memohon maaf kepada orang di sekeliling atas kelakuan
tidak senonoh isterinya itu.
Satu hari, He dan Chen bertengkar di dalam apartment kediaman mereka dengan punca pertengkaran tersebut adalah berpunca daripada perangai Chen sendiri. Dalam pertengkaran itu, Chen yang gagal untuk mengawal emosi telah bertindak untuk menikam bahu He dengan menggunakan pisau dapur. Kecederaan yang He alami bagaimanapun tidaklah begitu parah selepas dia mendapatkan rawatan di hospital. Rentetan daripada insiden serangan itu, Chen pun ditangkap pihak polis dengan dia menerima pertuduhan cubaan melakukan pembunuhan. Walau bagaimanapun, Chen bernasib baik apabila dia dibebaskan dengan jaminan menunggu hari perbicaraan kes. Pembebasan tersebut dibuat hasil wang ikat jamin menerusi pembayaran daripada He sendiri. He sebelum itu bukan saja bersimpati dan memaafkan Chen, malah dia juga meminta peguamnya agar status pertuduhan isterinya itu ditukar daripada cubaan melakukan pembunuhan kepada serangan. Meskipun Chen telah bebas, pasport miliknya telah ditahan bagi mengelakkannya melarikan diri dari Amerika Syarikat.
Hinggalah pada malam bertarikh 19 ogos 2005, He dan Chen
sekali lagi bertengkar. Saat kemuncak pertengkaran tersebut, He mengancam untuk
meninggalkan Chen. Mendengar ancaman tersebut, Chen terus teringatkan nasib
ibunya sebelum ini yang menjadi terkontang-kanting selepas ditinggalkan oleh
bapanya. Chen pun menarik nafas sebelum mengambil pistol yang baru saja dia telah
beli daripada seorang lelaki dikenali sebagai Christopher Michael. Usai itu,
Chen mendekati katil tempat He sedang tidur. “Bang!”. Sedas tembakan Chen
lepaskan pada bahagian belakang kepala He. Chen membiarkan saja mayat He terbaring
di rumahnya selama tujuh hari.
Memasuki hari ketujuh setelah pembunuhan tersebut, Chen telah menerima teguran daripada jiran mengenai bau busuk yang datang dari rumahnya tidak lain tidak bukan bauan mayat He. Menyedari jirannya yang mula berasa curiga kepadanya, Chen mengambil pendekatan untuk mengerat mayat He kepada lapan bahagian. Keratan mayat He itu kemudian dimasukkan Chen ke dalam bungkusan plastik lalu dibuang ke kawasan parkir yang terletak di sebuah hotel. Selesai kerja pembuangan mayat tersebut, Chen segera melarikan diri ke China dengan menaiki kapal terbang menggunakan pasport milik He. Dia berjaya berbuat sedemikian menerusi cara penyamaran sebagai seorang lelaki.
Setibanya di lapangan terbang Shanghai, Chen telah ditahan oleh
pihak berkuasa di lapangan terbang berkenaan. Penahanan tersebut dibuat
berikutan pihak imigresen yang berjaya mengecam penyamaran Chen. Bermula dari
sinilah, terbongkar jenayah kejam yang dilakukan Chen. Tentang bungkusan mayat
He di Amerika Syarikat, bungkusan itu telah ditemui oleh pihak polis pada 30
Ogos 2005. Kerajaan China tidak menjalankan proses ekstradisi Chen akan tetapi
berjanji untuk mengadili kes pembunuhan tersebut secara adil serta pada masa
sama memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada Amerika Syarikat.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes tahun 2006, Chen yang disahkan waras telah didapati bersalah membunuh He. Pihak juri telah memutuskan untuk memberikan hukuman mati kepada Chen. Hukuman mati itu akan digantikan dengan hukuman penjara maksimum 15 tahun sekiranya Chen berkelakuan baik pada tempoh dua tahun awal pemenjaraannya. Tidak jelas dengan status terkini Chen. Mengikut perkiraaan, dia berkemungkinan besar sudah pun dibebaskan jika hukuman mati tersebut digantikan dengan hukuman seperti yang dinyatakan.
Catat Ulasan for "KISAH CHEN DANLEI : Cinta Yang Menakutkan"