Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN LIU XUEZHOU : Siapa Lagi yang Boleh Terimaku?

    Pada penghujung bulan Januari 2022 lalu, negara China dikejutkan dengan berita kematian seorang remaja yang telah membunuh diri selepas disisihkan oleh ibu bapa kandungnya tidak lama setelah pertemuan semula antara mereka. Jadi apa sebenarnya yang berlaku hingga memicu remaja tersebut bertindak sedemikian?

    Liu Xuezhou dilahirkan pada tahun 2005. Dia kemudian dijual kepada orang lain sejurus selepas kelahirannya. Dalam erti kata lain, Liu dijaga oleh keluarga angkat. Liu bagaimanapun terpaksa bergelar sebagai anak yatim piatu seawal usia 4 tahun ekoran ibu bapa angkatnya yang telah meninggal dunia akibat menjadi mangsa letupan. Sejak dari itu, Liu tinggal bersama datuk dan nenek angkatnya berserta dengan beberapa orang lagi saudara lain.

    Pada tahun 2021 yakni menerusi laman akaun media sosial Weibo Liu, dia mendedahkan bahawa dirinya telah bekerja sambilan bagi menampung wang perbelanjaan pendidikannya. Pada masa sama, Liu juga berusaha untuk menjejaki ibu bapa kandungnya. Tidak lama sesudah pendedahan tersebut dibuat, Liu telah mendapat khidmat nasihat daripada pihak polis supaya dia menggunakan kaedah mencari maklumat ibu bapa kandungnya melalui maklumat dalam sistem pangkalan data DNA yang sedia ada. Hasilnya tidak sia-sia apabila Liu berjaya mendapatkan maklumat terkini tentang keberadaan ibu bapanya. Liu bahkan berkongsi kegembiraannya itu di akaun Weibo.

    Kebiasaannya kisah sebegini akan berakhir dengan kegembiraan. Namun lain pula ceritanya dengan Liu. Semua tidak seperti yang dia harapkan. Ibu bapa kandungnya yang telah pun bercerai itu enggan untuk menerima kehadirannya semula dengan masing-masing memberikan alasan sudah mempunyai keluarga baru. Lebih menyedihkan Liu, ibu bapa kandungnya juga tidak mahu memberikan sebarang bantuan kewangan kepadanya. Liu turut meminta supaya disediakan tempat tinggal samada menduduki rumah sewa atau dibelikan rumah memandangkan dia tidak mempunyai rumah sendiri. Permintaan Liu tersebut bukan saja tidak dilayan malah menyebabkannya semakin disisih dengan dia telah disekat oleh ibunya di aplikasi WeChat. Liu yang seterusnya telah memfailkan saman kepada ibu bapanya kerana menjadi mangsa pengabaian. Seperkara harus diketahui, ibu bapa kandung Liu ada menjelaskan bahawa permintaan Liu untuk dibelikan rumah itu adalah benar-benar di luar kemampuan kewangan mereka.

Liu dan ibu bapa kandungnya

    Selepas kisahnya tersebar di laman media sosial, Liu telah menjadi mangsa buli siber dengan dia menerima tuduhan hanya berniat untuk mendapatkan rumah berbanding kasih sayang ibu bapa kandungnya selain cuba untuk meraih simpati orang ramai. Liu yang mengalami kemurungan ada membuat pengakuan mengenai dirinya yang pernah menjadi mangsa cabul oleh seorang guru lelaki di sekolahnya. Pada 22 Januari 2022, mayat Liu telah ditemui di sebuah pantai Sanya yang terletak di selatan Pulau Hainan. Liu mati membunuh diri dengan cara menelan pil anti kemurungan secara berlebihan. Sebelum Liu mati, dia sempat untuk memuat naik hantaran di laman media sosial tentang apa yang berlaku kepada dirinya. 

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN LIU XUEZHOU : Siapa Lagi yang Boleh Terimaku? "