KISAH LEGENDA URBAN NENEK GAYUNG
Pada penghujung tahun 2011, negara Indonesia tiba-tiba saja
dihebohkan dengan kisah mistik yakni tentang kemunculan seorang wanita tua
menakutkan yang dikenali sebagai Nenek Gayung. Kisah seram ini mula tersebar
serta menjadi bualan hangat masyarakat Indonesia dari bulan Disember 2011
hingga Januari 2012.
Menurut pelbagai sumber daripada internet, susuk hantu Nenek Gayung ini dikatakan berkeliaran
di sekitar wilayah Jakarta Timur. Dia akan muncul secara tiba-tiba di pinggir
jalan dengan berpakaian serba hitam sambil membawa gayung yang diperbuat
daripada tempurung kepala dan segulur tikar dandan. Rambutnya berwarna
keputihan berserta dengan kulit badan pucat manakala matanya pula sepet. Kononnya
Nenek Gayung ini dahulu merupakan seorang wanita biasa yang ingin menguasai
ilmiu hitam. Salah satu syarat utama supaya ilmu hitam itu menjadi sempurna
adalah dengan mengorbankan beberapa nyawa manusia.
Mengenai gayung dan tikar yang dibawa Nenek Gayung, dua
alatan itu sebenarnya dia gunakan untuk upacara ritual. Mangsa yang dijadikan
Nenek Gayung sebagai korban akan bermimpi dirinya dibaringkan di atas tikar
dandan dan seterusnya dimandikan dengan gayung seperti jenazah dimandikan. Satu
lagi mitos, sesiapa yang mengalami bermimpi mandian tersebut bererti dia tidak
akan dapat lagi bangun buat selama-lamanya.
Ada beberapa pantang larang utama apabila terserempak dengan Nenek Gayung. Pertama, jangan sesekali menegurnya. Kedua, jangan menjawab sebarang soalan yang dia acukan. Ketiga, jangan mempelawa diri untuk menghantarnya pulang. Jika pantang larang ini dilanggar, maka individu yang berkenaan akan mati sebagai korban tuntutan untuk ilmu hitamnya. Apa yang dilakukan oleh Nenek Gayung ini untuk membuatkan orang-orang mendekatinya adalah dengan berpura-pura berada dalam keadaan kebingungan. Perkara ini akan menyebabkan individu yang terserempak dengan Nenek Gayung akan mula berasa simpati kepadanya lalu bertanyakan soalan, “Nenek nak pergi mana?” Jawapan menyeramkan daripada Nenek Gayung, “Nenek nak pergi mati.”
Diceritakan pernah berlaku satu kejadian di mana ada dua orang pemuda melalui sebuah kawasan jalan raya sebelum mereka ternampak Nenek Gayung. Kedua-dua pemuda itu kemudian mempelawa Nenek Gayung untuk membonceng motosikal bersama mereka. Sewaktu dalam perjalanan, motosikal yang dinaiki oleh dua orang pemuda tersebut telah mengalami kemalangan. Salah seorang daripada pemuda terbabit meninggal dunia manakala seorang lagi pula terselamat. Nenek Gayung? Dia hilang secara misteri dari lokasi kejadian. Malah saksi kemalangan itu mendakwa tidak melihat susuk tubuh wanita tua tersebut sewaktu kemalangan berlaku.
Catat Ulasan for "KISAH LEGENDA URBAN NENEK GAYUNG"