Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH LOUISE OGBORN, KISAH BENAR DI SEBALIK FILEM COMPLIANCE

    Pada 9 April 2004, Donna Summers iaitu seorang wanita penolong pengurus di sebuah restoran McDonald di Mount Washington, Kentucky telah menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai anggota polis bernama Scott. Menerusi panggilan telefon itu, Donna menerima pemakluman daripada Scott tentang salah seorang pekerja wanita di restoran tersebut yang disyaki melakukan jenayah kecurian. Berdasarkan ciri-ciri fizikal pencuri itu seperti yang dijelaskan oleh Scott, Donna meyakini bahawa individu yang dimaksudkan tersebut adalah Louise Ogborn. Maka seperti yang dipinta Scott, Donna pun meminta Louise yang baru berusia 18 tahun pada waktu itu untuk datang ke dalam bilik pejabatnya. Harus diingatkan, Scott hanya bercakap melalui telefon.

    Selepas Louise memasuki ke dalam bilik pejabat Donna, dia tiba-tiba disuruh oleh penyelianya itu untuk menanggalkan pakaian lalu hanya memakai kain apron berwarna hitam bagi menutupi tubuh badannya. Donna menyuruh Louise berbuat sedemikian adalah atas arahan daripada Scott. Puas Louise merayu kepada Donna agar dia dilepaskan kerana dirinya bukanlah seorang pencuri seperti yang Scott dakwa. Walau bagaimanapun, tiada apa-apa yang boleh dilakukan Donna memandangkan dia menerima ugutan daripada Scott di mana dia bakal kehilangan pekerjaannya jika melepaskan Louise.

Nix dan Louise

    Hampir sejam setelah penahanan Louise, Donna telah meminta izin daripada Scott untuk beredar pergi kerana dia perlu bertugas di bahagian kaunter pembayaran restoran tersebut. Rentetan daripada perkara itu, Scott meminta Donna supaya dia memanggil mana-mana individu untuk menggantikannya menjaga Louise. Individu pertama yang dipanggil oleh Donna adalah Jason Bradley yakni tukang masak di restoran berkenaan. Jason bagaimanapun keluar dari bilik pejabat tersebut selepas dia enggan untuk menuruti arahan Scott yang menyuruhnya menanggalkan kain apron pada badan Louise. Satu kesilapan besar yang dibuat Jason, dia tidak melaporkan insiden itu kepada pihak polis. Tidak lama kemudian, Donna bertindak menghubungi tunangnya yang dikenali sebagai Nix Walter Jr. untuk datang ke restoran tersebut tidak lain tidak bukan untuk mengawasi Louise.

Nik dan Donna

    Sepanjang tempoh dua jam setengah Nix berada dalam bilik pejabat Donna, dia telah melakukan bermacam-macam perkara kepada Louise atas perintah Scott. Ini termasuklah menyuruh Louise menari dan melompat bintang dalam keadannya berbogel. Tak cukup dengan itu, Louise juga dipaksa untuk berinteraksi secara seksual dengan Nix seperti melakukan aksi bercumbu dan seks oral. Nix yang kurang senang dengan insiden tersebut akhirnya meninggalkan bilik pejabat tersebut selepas mendapat keizinan daripada Scott. Sesudah Nix, giliran pekerja penyelenggaran di restoran itu yang bernama Thomas Simms pula mengambil alih tugas menjaga Louise. Bagusnya tentang Thomas, dia tidak melayan sebarang permintaan daripada Scott yang dianggapnya sangat merepek. Pada waktu inilah baru terdetik dalam hati Donna untuk menelefon pengurus restoran tersebut berhubung nasib yang sedang dialami oleh Louise. Sebaik mendengar penjelasan pengurusnya itu, barulah Donna menyedari bahawa panggilan telefon Scott tersebut merupakan satu panggilan palsu. Dalam erti kata lain, Scott bukanlah polis akan tetapi dia sebaliknya adalah seorang lelaki tidak dikenali yang telah mempermainkan mereka semua.

    Louise akhirnya dibebaskan selepas ketibaan pihak polis sebenar di lokasi kejadian. Apa yang menyedihkan, semua aksi Louise pada malam itu telah terakam dengan kamera litar tetutup yang ada di dalam di bilik pejabat tersebut. Susulan penangkapan Nix yang menerima pertuduhan melakukan aksi serangan seksual terhadap Louise, Donna telah membuat keputusan untuk memutuskan ikatan pertunangan mereka berdua.

 

David Stewart

    Sebelum kejadian malang yang menimpa Louise itu, terdapat beberapa siri kejadian serupa yang telah berlaku di Amerika Syarikat sejak dari tahun 1992. Cumanya ada satu lagi persoalan, siapakah individu sebenar yang berselindung di sebalik panggilan palsu tersebut. Berdasarkan siasatan yang dilakukan oleh pihak polis, mereka telah berjaya mengesan panggilan telefon itu dibuat menerusi telefon awam yang berlokasi di bandar Panama, Florida. Pemanggil telefon yang menyamar sebagai Scott tersebut dikenal pasti sebagai David Stewart, seorang pegawai penjara. Secara faktanya, siri panggilan telefon palsu itu terhenti selepas penangkapan David. Tahun 2004, David dibebaskan oleh pihak mahkamah berikutan ketiadaan bukti kukuh untuk mengaitkannya dengan semua siri panggilan telefon palsu tersebut.

    Mengenai Nix, dia tidak bernasib baik kerana terpaksa meringkuk di penjara selama 5 tahun atas pertuduhan melakukan serangan seksual terhadap Louise. Donna? Dia telah dipecat daripada bekerja di restoran itu. Pengakhiran kisah, Louise mengalami kemurungan serta trauma berterusan akibat insiden tersebut. Dia turut memfailkan saman terhadap pihak McDonald dengan jumlah wang sebanyak $200 juta akan tetapi pengakhirannya dia hanya menerima $1 juta dari jumlah keseluruhan tersebut. Kisah Louise ini telah diangkat ke layar filem pada tahun 2012 dengan judul Compliance. Saksikan video trailer filem itu di sini : https://youtu.be/WdONydDX44I

Catat Ulasan for "KISAH LOUISE OGBORN, KISAH BENAR DI SEBALIK FILEM COMPLIANCE"