Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM CAROLINE CROUCH

    Kisah pembunuhan kejam ini merupakan salah satu kes pembunuhan yang telah menjadi heboh pada tahun 2021. Tahun tersebut, Caroline Crouch adalah seorang wanita berasal dari British yang menetap di Pulau Alonissose, Greece bersama dengan ibu bapanya sejak dia berusia 8 tahun lagi. Bapa Caroline iaitu David Crouch merupakan seorang pesara tentera manakala ibunya yang bernama  Susan Dela Cuesta pula menjalankan perusahaan kerja-kerja pembersihan.

    Mengenai Caroline, dia dikatakan sebagai seorang yang sangat baik, peramah dan disenangi oleh orang-orang di sekelilingnya selain begitu menggemari binatang. Caroline telah berkahwin dengan seorang juruterbang helikopter kacak lagi kaya-raya yang dikenali sebagai Babis Anagnostopoulos pada tahun 2019 bertempat di Portugal. Pasangan yang mempunyai perbezaan usia 12 tahun itu mula menjalankan hubungan sejak dari Caroline remaja lagi. Selepas setahun bergelar isteri kepada Babis, Caroline selamat melahirkan anak sulung mereka pada tahun 2020 yakni bayi perempuan yang diberikan nama sebagai Lydia.

    Kisah sebenar bagaimanapun bermula pada awal pagi 11 Mei 2021 apabila pihak polis menerima kecemasan daripada Babis yang membuat aduan tentang rumahnya telah diceroboh masuk oleh tiga orang perompak. Lagi kejam apabila kumpulan perompak itu membunuh Caroline di depan Lydia yang baru berusia 11 bulan waktu tersebut. Menerusi keterangan awal daripada Babis, dia mendakwa dirinya diikat oleh perompak berkenaan pada kerusi dengan menggunakan tali. Sementara itu, Caroline bersembunyi di dalam loteng bersama bayinya. Malangnya, perompak tersebut telah mengetahui tempat persembunyian Caroline. Isteri Babis itu kemudian dipaksa untuk memberitahu tempat simpanan wang dan barang kemas sebelum dia dibelasah lalu dicekik sampai mati. Kumpulan perompak tersebut dilaporkan berjaya membawa lari wang berjumlah £30,000 dan beberapa barangan kemas. Turut dibunuh adalah anjing peliharaan Caroline.

    Babis terus menghubungi pihak polis sejurus selepas dia berjaya melonggarkan ikatan tali. Soal Lydia, dia telah ditemui dalam keadaan selamat. Hasil siasatan awal pihak polis mendapati terdapat kesan DNA dan cap jari di lokasi kejadian. Cumanya penemuan kesan DNA dan cap jari tersebut tidak membantu perkembangan kes. Siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan seorang lelaki warganegara Georgia berusia 30 tahun yang dipercayai sebagai suspek. Penangkapan itu dibuat di sempadan Bulgaria pada beberapa hari selepas kejadian di mana lelaki tersebut didakwa cuba untuk melepasi sempadan dengan menggunakan dokumen pengenalan palsu. Lelaki Georgia itu bagaimanapun dibebaskan berikutan pihak polis tidak dapat mengaitkannya dengan kematian Caroline. Rentetan daripada perkara tersebut, Babis telah disoal siasat semula oleh pihak polis bagi membantu siasatan. Kali ini, pakar psikologi dibawa masuk bagi menilai secara terperinci dengan segala keterangan yang keluar daripada mulut Babis. Maka bermula dari sini, terdedahnya satu plot twist di luar jangkaan di mana pembunuh Caroline yang sebenar adalah Babis sendiri.

     Mengikut pengakuan yang dibuat oleh Babis, dia bertindak mencekik dan menekup muka Caroline dengan bantal hingga menyebabkan isterinya itu mati akibat mengalami kesukaran untuk bernafas. Babis berbuat sedemikian gara-gara tindakan Caroline yang membuat ugutan untuk meninggalkannya serta bayi perempuan mereka. Setelah Caroline mati, Babis merancang dengan teliti untuk menampakkan pembunuhan tersebut seakan-akan berlaku akibat rompakan. Babis turut diyakini sebagai suspek utama pembunuhan Caroline susulan data aplikasi yang ada di dalam telefonnya didapati tidak selari dengan pergerakannya sewaktu kejadian berlaku. Pada masa sama, rekod nadi Caroline pada jam pintarnya juga menunjukkan nadinya telah berhenti lebih awal dari jangkaan waktu pembunuhan berlaku seperti yang didakwa oleh Babis.

    Menurut sumber tertentu, pihak polis mempercayai Caroline berkemungkinan mati dibunuh selepas dia mendapat tahu tentang aktiviti penyeludupan dadah yang dilakukan oleh Babis. Pihak polis turut melakukan pemeriksaan dan semakan pada akaun wang milik Babis kerana Babis dan Caroline sebelum ini dilaporkan hidup dengan penuh mewah. Sebelum kejadian pembunuhan berlaku, mereka berdua ada melancong ke Dubai dengan pakej percutian mewah. Malah, pasangan itu juga telah membeli sebuah rumah mewah di Greece dengan anggaran harga hampir RM1 juta. Babis diyakini membuat pembelian rumah tersebut hasil daripada wang keuntungan aktiviti penyeludupan dadah yang dia jalankan dengan menggunakan helikopter. Boleh jadi Babis membunuh Caroline kerana isterinya itu bersuara lantang dalam menentang aktiviti jenayah yang dia lakukan tersebut. Terdapat sumber memberitahu tentang Babis yang telah mengongkong penuh hidup Caroline. Ini termasuklah memasang aplikasi penjejak pada telefon Caroline. Ada kalanya Babis pergi mengekori Caroline menjalani rawatan terapi. Babis benar-benar berasa bimbang terhadap Caroline yang dikhuatiri akan membuka mulut. 

    Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada bulan Mei 2022, Babis yang didapati bersalah melakukan pembunuhan terancang telah dihukum penjara untuk seumur hidup dan tambahan 11 tahun 6 bulan penjara kerana membunuh anjing peliharaan Caroline. Kebanyakan laporan media Inggeris bertarikh 8 Jun melaporkan Babis diserang oleh banduan hingga memaksanya dipindahkan penjara lain yang lebih selamat. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM CAROLINE CROUCH"