KISAH PEMBUNUHAN KEJAM CYNTHIA HOFFMAN
Cynthia Hoffman |
Kisah pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 2019 bertempat
di negara Amerika Syarikat. Bulan Mei tahun tersebut, seorang wanita berusia 19
tahun bernama Denali Brehmer mula berkenalan dengan seorang lelaki jutawan
melalui laman media sosial. Lelaki jutawan yang berasal dari bandar Kansas itu
hanya dikenali sebagai Tyler. Tidak lama selepas perkenalan tersebut, Tyler
mula meminta Denali melakukan satu aksi pelik iaitu membunuh seseorang serta
pada masa sama disuruh untuk merakam aksi pembunuhan itu. Denali telah bersetuju dengan perkara tersebut
selepas Tyler menawarkan untuk memberikannya wang ganjaran sebanyak $9 juta.
Satu-satunya nama yang terlintas dalam fikiran Denali untuk
dia jadikan sebagai mangsa pembunuhan adalah Cynthia Hoffman yakni rakan
baiknya sendiri yang mempunyai masalah gangguan pembelajaran. Denali memilih
Cynthia kerana dia merasakan membunuh rakan baiknya itu adalah lebih senang
berbanding mangsa lain yang dipilih secara rawak. Perancangan asal Denali
sesudah membunuh Cynthia, wang ganjaran $9 juta tersebut akan dibahagikan sama
rata antaranya dengan empat orang lagi rakannya yang turut serta melakukan
pembunuhan kejam tersebut.
Denali Brehmer |
Maka pada 3 Jun 2019, Denali telah mengajak Cynthia untuk melakukan aktiviti pendakian bukit di sekitar kawasan laluan Sungai Eklutna. Setibanya Cynthia di kawasan itu, dia tiba-tiba diserang oleh Kayden McIntosh tidak lain tidak bukan rakan kepada Denali yang berusia 16 tahun. Mulut Cynthia telah dilekat dengan pita pelekat. Kedua-dua pergelangan tangan Cynthia pula diikat menggunakan tali, begitu juga dengan kedua-dua pergelangan kakinya. Cynthia mati dalam keadaan begitu sadis setelah Kayden menembak bahagian belakang kepalanya sebelum mayatnya dilemparkan ke dalam sungai. Denali ada mengambil foto dan video Cynthia dari awal hingga akhir kejadian untuk dihantarkannya kepada Tyler. Beberapa barangan peribadi milik Cynthia seperti telefon pintar dan beg duit kemudian dibakar oleh Denali bagi tujuan penghapusan bukti.
Pada hari sama kejadian, Timothy Hoffman yang juga merupakan
bapa kepada Cynthia mula berasa risau gara-gara telefon Cynthia gagal untuk
dihubungi berkali-kali. Rentetan daripada perkara tersebut, Timothy akhirnya membuat
keputusan bagi untuk melaporkan tentang kehilangan Cynthia kepada pihak polis.
Sehari selepas kehilangan Cynthia, mayatnya telah ditemui di kawasan tebing
Sungai Eklutna. Susulan penemuan mayat Cynthia, pihak polis tidak memerlukan
masa lama untuk menangkap Denali yang dipercayai sebagai satu-satunya suspek
utama pembunuhan. Penangkapan itu dibuat berikutan maklumat sahih yang
mengatakan bahawa Denali adalah indvidu terakhir yang dilihat keluar bersama
Cynthia. Hasil sesi soal siasat yang pihak polis jalankan terhadap Denani
membawa kepada pengakuannya mengenai pembunuhan Cynthia.
Kayden, Denali dan Caleb |
Menerusi pemeriksaan pada telefon pintar Cynthia, pihak polis telah berjaya mengenal pasti identiti serta lokasi Tyler. Namun perkara paling mengejutkan, Tyler rupa-rupanya bukanlah seorang jutawan seperti yang dia beritahu kepada Denali. Dalam erti kata lain, Tyler merupakan seorang penipu. Nama sebenarnya adalah Darin Schilmiller, lelaki berusia 21 tahun dari Indiana yang menjana pendapatan bersumberkan bahan pornografi kanak-kanak. Darin turut didapati pernah memaksa Denali melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak berusia 9 tahun. Seperkara lagi harus diketahui, Denali telah disuruh oleh Darin untuk merogol Cynthia pada hari kejadian. Walau bagaimanapun, tiada sebarang bukti menunjukkan perkara tersebut ada berlaku pada hari kejadian.
Tyler atau nama sebenarnya Darin Schilmiller |
Berhubung dengan perbicaraan kes, Denali dan Darin telah dikenakan pertuduhan melakukan konspirasi pembunuhan peringkat pertama selain memiliki bahan pornografi kanak-kanak. Turut menerima pertuduhan sama, Kayden McIntosh dan seorang lagi tertuduh berusia 19 yang ada berada di lokasi kejadian sewaktu pembunuhan Cynthia iaitu Caleb Leyland. Sebenarnya ada dua orang lagi rakan Denali yang bersubahat akan tetapi identiti kedua-dua tertuduh berkenaan tidak pernah didedahkan kepada pihak umum atas status mereka masih berada di bawah umur. Hingga kini, masih tiada sebarang perkembangan mengenai keputusan perbicaraan untuk kes ini.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM CYNTHIA HOFFMAN "