Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM IANA KASIAN

    Blake Leibel merupakan seorang lelaki penulis komik, pereka grafik dan pengarah filem yang berasal dari Toronto, Kanada. Dia yang dilahirkan pada tahun 1981 berasal daripada keluarga kaya-raya. Blake mempunyai seorang adik lelaki bernama Cody yang tinggal berasingan selepas ibu bapa mereka bercerai. Blake tinggal serumah dengan ibunya manakala Cody pula menetap bersama bapanya. Cody seterusnya mengikuti jejak langkah bapanya untuk menjadi seorang usahawan hartanah. Lain pula ceritanya dengan Blake apabila dia telah mewarisi harta kekayaan ibunya yang dianggarkan berjumlah sebanyak $12 juta selepas ibunya itu meninggal dunia pada tahun 2011.

    Tiga tahun sebelum kematian ibunya, filem pertama arahan Blake iaitu berjudul “Bald” tidak mendapat sambutan hangat seperti yang dia harapkan di mana filem tersebut hanya memperolehi markah undian sebanyak 2.5 daripada laman IMDb. Dua tahun berikutnya, Blake menebus kegagalannya sebelum itu setelah novel grafiknya yang bertajuk “Syndrome” mendapat pujian dalam kalangan pembaca. Novel Syndrome ini mengisahkan tentang seorang doktor perubatan yang melakukan pembunuhan berantai dengan cara mengerat dan mengeringkan darah mangsanya. Populariti Blake bagaimanapun tidak berkekalan lama apabila dia terpaksa bergelut semula bagi mengekalkan rentaknya dalam dunia seni.

    Blake sebenarnya pernah mempunyai seorang isteri yang dikenali sebagai Amanda Braun. Sesudah bercerai dengan Amanda, Blake bertunang pula dengan Iana Kasian yakni bekas seorang pendakwa raya dari Ukraine yang telah berhijrah ke Amerika Syarikat untuk menjadi seorang model. Blake dikatakan mengajak Iana berjumpa buat kali pertama saat dia masih lagi bergelar sebagai suami kepada Amanda. Namun satu lagi rahsia gelap Blake pada waktu itu, dia juga ada menjalinkan hubungan dengan seorang lagi wanita yang bernama Constance Buceafurri.

    Pada 3 Mei 2016, Iana selamat melahirkan seorang bayi perempuan hasil hubungannya dengan Blake yang diberikan nama sebagai Diana. Walaupun Iana baru saja melahirkan bayi sulung mereka, Blake tetap memaksanya melakukan hubungan seks. Enggan berbuat sedemikian, Iana diugut untuk ditinggalkan. Dalam erti kata lain, Blake mengugut untuk memutuskan hubungannya dengan Iana. Ugutan tersebut ternyata membuatkan Iana berasa ketakutan. Demi melayani nafsu gila Blake yang langsung tidak berhenti, Iana terpaksa menghantar Diana ke rumah ibunya buat sementara waktu.

    Satu hari bersamaan dengan tarikh 23 Mei 2016, Iana telah keluar pergi membeli-belah bersama dengan ibunya. Tidak lama selepas itu, Iana bergegas untuk pulang ke rumah selepas membaca beberapa pesanan teks mesej daripada Blake. Sehari kemudian, Iana gagal untuk dihubungi sama sekali. Perkara ini sekaligus memaksa ibunya pergi membuat laporan polis. Susulan laporan yang dibuat ibu Iana tersebut, pihak polis pun membuat pemeriksaan di rumah Blake. Sewaktu pihak polis tiba di rumah Blake itu, pintu masuk utama rumah tersebut didapati berkunci dari dalam. Rentetan daripada perkara itu, pihak polis terpaksa memecahkan pintu berkenaan. Sebaik saja pihak polis memasuki ke dalam rumah Blake, mereka telah melihat satu pemandangan yang sangat mengerikan. Bayangkan, kawasan dalam rumah tersebut bukan saja dalam keadaan berselera bahkan bahagian lantai dipenuhi dengan lumuran darah. Kedengaran suara jeritan Blake dari dalam bilik tidur utama yang menyuruh pihak polis beredar pergi dari situ kerana Iana tidak berada di rumah.

    Menyedari sesuatu yang tidak kena, pihak polis terus merempuh masuk ke dalam bilik Blake. Di atas katil bilik itu, kelihatan satu mayat manusia tanpa kepala yang sedang terbaring. Mayat tersebut tidak lain tidak bukan mayat Iana. Diana pula ditemui terbaring di sebelah mayat Iana dalam keadaan selamat. Berdasarkan laporan forensik, Iana dipercayai dibunuh Blake dengan cara kulit pada bahagian belakang kepalanya dicabut hingga kelihatan tulang tengkorak. Lebih kejam, telinga Iana  dikerat dan keseluruhan darah pada tubuh badannya telah dikeringkan. Satu lagi fakta, kulit muka Iana diyakini dirobek selain terdapat kesan lebam dan gigitan. Apa yang dapat dipastikan, Iana diyakini masih hidup sekurang-kurangnya selama 8 jam selepas kulit kepalanya dicabut dan dikerat sebahagian anggota badan. Perkara ini bermaksud Iana telah mati dalam keadaan yang sangat terseksa.

    Motif Blake bertindak kejam sebegitu? Tidak jelas. Tiada siapa tahu apa sebenarnya yang berlaku pada hari kejadian. Cumanya, cara pembunuhan Blake tersebut adalah hampir serupa seperti yang digambarkan dalam novel grafik Syndrome karyanya. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada bulan Jun tahun 2018, Blake yang merupakan satu-satunya suspek utama telah didapati bersalah melakukan pembunuhan peringkat pertama lalu menerima hukuman penjara seumur hidup tanpa diberikan peluang pembebasan secara bersyarat. Dia juga diperintahkan untuk membayar wang pampasan sebanyak $41.6 juta kepada keluarga Iana. Mengenai Diana, dia kini dilaporkan berada di bawah jagaan ibu Iana. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM IANA KASIAN"