KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MARIKO IGUCHI : Pengembaraan Maut
Hentian pertama Mariko di Taiwan adalah Taipei. Di situ dia
telah menginap di sebuah hotel bernama Taipei Youth Home Hotel. Waktu itu,
tiada kemudahan teknologi internet atau telefon bimbit seperti zaman sekarang.
Jadi, Mariko hanya menggunakan poskad sebagai medium komunikasi dengan
keluarganya yang berada di Jepun. Dia menghantar poskad yang pertama kepada
keluarganya pada pagi 4 April 1990.
Pada hari sama poskad pertama Mariko tersebut dihantar, dia telah menaiki kereta api untuk menuju bandar Tainan. Semasa dalam perjalanan itu, Mariko berkenalan dengan seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Li. Tidak lama selepas perkenalan tersebut, Li telah mengajak Mariko untuk bermalam di rumahnya. Dua hari berikutnya, Mariko bersiar-siar di bandar Tainan dengan Li menjadi pemandu pelancong kepadanya. Poskad kedua Mariko untuk keluarganya telah dihantar pada 7 April 1990. Menerusi isi kandungan poskad itu, Mariko memberitahu keluarganya bahawa dia akan menaiki sebuah kapal dengan ditemani oleh Li. Sejak dari itu, tiada lagi perkhabaran berita mengenai Mariko. Dalam erti kata lain, Mariko telah dilaporkan hilang.
Mengikut jadual asal Mariko, dia sepatutnya berlepas pulang ke Jepun pada 18 April 1990. Kehilangan Mariko hanya disedari oleh keluarganya setelah dia langsung tidak muncul di lapangan terbang Jepun pada hari penerbangan pulang tersebut. Ibu Mariko yang berasa panik terus bergegas pergi ke Taiwan untuk membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu. Susulan laporan yang dibuat ibu Mariko, pihak polis Taiwan yang enggan untuk melengahkan masa terus melancarkan operasi pencarian Mariko secara besar-besaran. Tindakan sedemikian pantas dilakukan oleh pihak polis Taiwan memandangkan status Mariko sebagai pelancong antarabangsa. Kelambatan dalam menangani kes sebegitu dikhuatiri akan menjejaskan industri pelancongan Taiwan pada waktu tersebut.
Salah seorang individu yang paling dicurigai sejak dari awal
sudah semestinya adalah Li. Namun sesudah pihak polis menjalankan sesi soal
siasat terhadapnya, Li dibebaskan kerana tiada sebarang bukti yang diperolehi
bagi mengaitkannya dengan kehilangan Mariko. Pihak polis Taiwan turut ada
menerima maklumat mengenai mayat Mariko yang dipercayai ditanam di sebuah
kawasan perkuburan Tainan. Walau bagaimanapun, usaha pencarian yang dilakukan
di kawasan berkenaan tidak membuahkan sebarang hasil. Hinggalah pada awal bulan
Mac 1991, pihak polis telah menangkap seorang lelaki pemandu teksi di mana
identitinya dikenal pasti sebagai Liu Xueqiang. Lelaki terbabit sebenarnya pernah
ditangkap pada bulan Oktober 1990 kerana dipercayai mempunyai kaitan terhadap
kehilangan Mariko akan tetapi dia dibebaskan semula atas faktor penyakit mental
yang dia alami. Penangkapan kali keduanya terpaksa membuat Liu membuat
pengakuan tentang pembunuhan Mariko.
Menurut Liu, kejadian bermula pada 7 April 1990 saat dia melihat Mariko berjalan seorang diri. Menyedari Mariko berasal dari Jepun, Liu telah mempelawa Mariko wanita itu untuk bermalam di rumahnya dengan undangan sebagai tetamu. Apa yang pasti, Liu menjadi tertarik dengan kecantikan Mariko. Sewaktu Mariko berada di rumah Liu, dia telah cuba digoda oleh Liu. Godaan tersebut bagaimanapun ditepis Mariko sekaligus membuatkan Liu berasa marah. Maka apa yang Liu lakukan selepas itu, dia telah memanah kepala Mariko dengan menggunakan empat anak panah. Lagi kejam, kepala Mariko dikerat manakala badannya dibungkus dengan kain cadar lalu dibakar sebelum dibuang. Beg galas milik Mariko termasuk anak panah yang digunakan sebagai senjata pembunuhan tersebut telah dibuang oleh Liu ke tempat berlainan. Dia juga membakar tilam yang Mariko gunakan untuk tidur di rumahnya bagi tujuan penghapusan bukti.
Mayat Mariko yang hanya tinggal tulang akhirnya telah ditemui oleh pihak polis dalam tanah bawah batang pokok yang terletak di Chongming, Tainan. Penemuan itu dibuat hasil daripada pendedahan Liu sendiri. Kepala Mariko? Jawapannya, tidak pernah ditemui hingga pada hari ini. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Liu yang didapati bersalah pada mulanya telah dijatuhkan hukuman mati. Disebabkan masalah mental yang dihidapi oleh Liu, dia bernasib baik apabila hukuman mati tersebut ditukar kepada hukuman penjara seumur hidup.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MARIKO IGUCHI : Pengembaraan Maut"