Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MARLEN OCHOA

    Kisah pembunuhan kejam ini berlaku di Chicagho, Illionis, Amerika Syarikat. Tahun tersebut, Marlen Ochoa yang ketika itu berusia 19 tahun sedang hamil anak keduanya. Marlen berkahwin muda yakni sewaktu dia berusia 16 tahun dengan mengahwini lelaki pilihannya yang bernama Yovani Lopez. Menjadi seorang ibu pada usia yang begitu muda bukan perkara mudah untuk Marlen memandangkan dia masih lagi berstatus sebagai pelajar sekolah waktu tersebut. Manakan tidak, kehidupan seharian Marlen begitu padat dengan jadual untuk menguruskan anak pertamanya iaitu Joshua serta pada masa sama dia perlu menumpukan perhatian pada pelajaran di sekolahnya.

    Kisah sebenar bermula pada 23 April 2019 apabila Marlen dilaporkan hilang oleh suaminya. Laporan kehilangan itu dibuat oleh Yovani selepas dia berkali-kali gagal untuk menghubungi Marlen yang sudah sarat hamil waktu tersebut. Marlen bahkan tidak datang menjemput Joshua di pusat asuhan pada hari itu. Pada mulanya, pihak polis termasuklah ibu bapa Marlen mengesyaki Yovani adalah individu yang disyaki bertanggungjawab atas kehilangan Marlen. Walau bagaimanapun, Yovani telah lulus dalam ujian poligraf yang dikenakan terhadapnya. Rentetan daripada perkara itu, keluarga Marlen akhirnya mengupah seorang penyiasat persendirian untuk menyiasat kes kehilangan Marlen.

    Berdasarkan hasil siasatan penyiasat persendirian tersebut, Marlen didapati telah pergi berjumpa dengan seorang wanita berusia 46 tahun yang dikenali sebagai Clarisa Figueora pada hari kejadian. Marlen mengenali Clarisa menerusi satu halaman kumpulan di Facebook yang bernama Help a Sister Out. Sebelum Marlen menghilang, dia sempat memuat sebuah status di halaman kumpulan berkenaan tentang dirinya yang memerlukan barang kelengkapan bayi sempena kelahiran anak keduanya dengan jangkaan tarikh pada pertengahan bulan mei 2019. Status itu kemudian mendapat respon komen daripada Clarisa di mana dia mendakwa memiliki beberapa kelengkapan bayi seperti yang dipinta Marlen. Mereka berdua saling berbalas komen sebelum Clarisa meminta Marlen supaya menghubunginya secara peribadi untuk butiran selanjutnya.

    Bertindak atas maklumat daripada penyiasat persendirian tersebut, pihak polis yang enggan untuk melengahkan masa telah pergi ke rumah Clarisa bagi memeriksa keadaan. Setibanya di lokasi, Desiree Figueora yang juga merupakan anak perempuan Clarisa memberitahu bahawa ibunya sedang dirawat di hospital akibat komplikasi bersalin. Dakwa Desiree lagi, ibunya baru saja melahirkan bayi lelaki. Disebabkan berasa curiga dengan perkara itu, pihak polis pun bergegas ke hospital untuk mendapatkan maklumat lanjut. Hasil pemeriksaan DNA pada bayi lelaki yang konon baru dilahirkan Clarisa tersebut disahkan sepadan dengan Yovani. Dalam erti kata lain, bayi lelaki itu adalah anak kepada Marlen, bukan Clarisa. Perkara ini sekaligus membolehkan pihak polis berjaya untuk mendapatkan waran penggeledahan di rumah Clarisa.

Clarisa Figueora

    Hampir sebulan setelah kehilangan Marlen, mayatnya akhirnya ditemui dalam tong sampah yang terletak di kawasan rumah Clarisa. Menerusi siasatan dan penemuan barang bukti, Marlen dibunuh oleh Clarisa dengan cara cekikan pada lehernya menggunakan wayar kabel. Lagi kejam apabila Clarisa telah membelah perut Marlen. Clarisa berbuat sedemikian kerana ingin mengambil bayi kandungan Marlen. Turut bersubahat dalam melakukan pembunuhan kejam tersebut adalah Desiree dan teman lelaki Clarisa yang dikenal pasti sebagai Piotr Bobak. Pihak polis tidak menolak kemungkinan motif sebenar pembunuhan Clarisa adalah kerana dia ingin membesarkan bayi lelaki susulan kematian anak lelakinya yang berusia 20 tahun pada tahun 2017.

Clarisa, Desiree dan Piotr Bobak

    Sementara itu, bayi lelaki Marlen yang diberikan nama Yovani Jadiel Lopez pula meninggal dunia pada bulan Jun 2019 berikutan mengalami masalah kegagalan fungsi otak. Berhubung dengan perbicaraan kes, Clarisa dan Desiree menerima pertuduhan melakukan pembunuhan peringkat pertama manakala Piotr Bobak pula dituduh bersubahat. Hingga kini, masih tidak jelas dengan keputusan perbicaraan memandangkan status perbicaraan kes sebelum ini terpaksa ditunda berikutan pandemik Covid-19. Ketiga-tiga tertuduh bagaimanapun bakal berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup tanpa pembebasan secara bersyarat jika disabitkan kesalahan.  

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MARLEN OCHOA"