Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SOFIA RODRIGUEZ

    Kisah pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 2006 bertempat di negara Australia. Tahun tersebut,  Sofia Rodriguez-Urrutia Shu merupakan seorang budak perempuan berusia 8 tahun. Dia yang memiliki tubuh badan agak kecil digambarkan berperwatakan periang selain mempunyai bakat tersendiri dalam bidang nyanyian serta tarian.

    Kisah sebenar bermula pada 26 Jun 2006 apabila Sofia telah pergi ke Livingston Marketplace yakni sebuah pusat membeli-belah yang terletak di Canning Valet, barat Australia. Dia pergi ke pusat membeli-belah itu bersama dengan bapa saudara dan dua orang lagi adik-beradiknya yang lain. Lebih kurang jam 4.00 petang hari tersebut, Sofia telah pergi ke tandas yang terletak di dalam pusat membeli-belah berkenaan. Sementara itu, bapa saudara serta adik-beradik Sofia pula duduk menunggunya di kawasan yang berdekatan dengan tandas itu. Selepas beberapa minit berlaku, Sofia masih tidak keluar dari tandas tersebut. Rentetan daripada perkara itu, bapa saudara Sofia telah menyuruh abang Sofia yang berusia 14 tahun untuk memanggil Sofia.

    Abang Sofia yang memasuki tandas tersebut kemudian telah memanggil nama Sofia berkali-kali. Namun tiada sahutan suara Sofia yang didengarinya. Sebelum abang Sofia beredar pergi, dia sempat terdengar bunyi bising dari sebuah bilik tandas orang kurang upaya yang dikunci dari dalam. Tidak lama selepas itu, abang Sofia melakukan pemeriksaan buat kali kedua di tandas tersebut setelah disuruh oleh bapa saudaranya untuk berbuat sedemikian. Saat mengejutkan untuk abang Sofia apabila dia melihat mayat adik perempuannya dalam keadaan berbogel terbaring di dalam tandas orang kurang upaya yang berkunci pada waktu sebelumnya. Kedua-dua kaki Sofia telah patah manakala lengan kirinya pula terkehel. Lagi sadis, Sofia juga mengalami koyakan faraj yang disebabkan serangan seksual. Tidak jelas juga samada Sofia telah dirogol sebelum atau sesudah dia dibunuh.

    Pembunuhan Sofia ini ternyata menimbulkan kemarahan orang ramai di Australia. Pihak polis tidak mengambil masa lama untuk menangkap pelaku iaitu Dante Arthurs, pemuda berusia 24 tahun yang bekerja sebagai pemetik buah-buahan dan sayur-sayuran di pusat membeli-beli tersebut. Penangkapan itu dibuat di rumah Dante yang terletak kurang satu kilometer dari lokasi kejadian. Pihak polis turut menemui beberapa bukti penting di rumahnya seperti 12 senarai nama berserta foto mangsa di bawah umur 15 tahun yang berpotensi untuk diserangnya. Nama Sofia bagaimanapun terkecuali daripada senarai nama tersebut. Perkara ini bermaksud insiden pembunuhan Sofia adalah serangan secara rawak. Lain-lain penemuan adalah peralatan seperti gari, sarung tangan, pita pelekat, tali, pisau kecil dan pakaian kanak-kanak. Soal bagaimana kejadian berlaku, Sofia telah diheret masuk oleh Dante ke dalam bilik tandas orang kurang upaya itu sewaktu dia ingin keluar dari kawasan bilik tandas tersebut. Berdasarkan laporan forensik, punca kematian Sofia adalah akibat dicekik.

    Sedikit mengenai Dante, tidak banyak yang diketahui tentang sejarah hidupnya. Setakat yang dapat dipastikan, dia yang dilahirkan pada tahun 1984 pernah didiagnos mengidap Sindrom Asperger. Tiga tahun sebelum kejadian pembunuhan Sofia, Dante sebenarnya pernah ditangkap kerana menyerang seorang budak perempuan juga berusia 8 tahun. Walau bagaimanapun, Dante dibebaskan semula berikutan pihak polis tidak mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwanya. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada tahun 2007, Dante yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa diberikan peluang pembebasan secara bersyarat selama 13 tahun. Tahun 2019, permohonan pembebasan bersyarat pertama daripada Dante ditolak. Permohonan pembebasan Dante yang seterusnya dijadualkan akan berlangsung pada penghujung bulan Jun 2022 kelak. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SOFIA RODRIGUEZ "