Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH TANGKI SURAYA

    “Tangki Suraya” merupakan sebuah kisah legenda urban dari Brunei yang mengisahkan tentang seorang wanita bernama Suraya yang telah dibunuh secara kejam dengan mayatnya dikerat kepada beberapa bahagian dan kepalanya pula dipenggal. Kisah ini digelar sebagai “Tangki Suraya” berikutan penemuan mayat wanita itu di sebuah kawasan tangki air berdekatan dengan kawasan Mabohai, Ong Sum Ping dan Kumbang Pasang. Menerusi cerita yang tersebar di laman internet, kisah pembunuhan sadis Suraya ini dipercayai berlaku pada sekitar tahun 1970-an.

    Sebenarnya kisah Suraya ini mempunyai beberapa versi. Versi pertama, Suraya telah dirogol dan dibunuh oleh seorang lelaki yang berdendam kepadanya. Lelaki itu bertindak sedemikian selepas cintanya ditolak mentah-mentah oleh Suraya yang memiliki paras rupa cantik. Lebih dahsyat, lelaki tersebut telah mengerat kepala dan badan Suraya kepada beberapa bahagian lalu diletakkan di kawasan tangki air berkenaan. Kepala dan beberapa anggota badan Suraya tidak pernah ditemui hingga pada hari ini. Versi kedua, Suraya dibunuh di rumahnya terlebih dahulu sebelum mayatnya dibuang. Cumanya untuk versi kedua, cerita seperti tergantung. Versi ketiga, Suraya dibunuh bersama dengan bayi yang sedang dikandungnya. Dalam versi ketiga ini, pembunuh Suraya adalah teman lelakinya sendiri yang enggan untuk bertanggungjawab atas kandungan Suraya itu. Lelaki tersebut telah membunuh Suraya selepas wanita itu tidak mahu menggugurkan kandungannya seperti yang disuruh.

    Sesudah kematian Suraya, penduduk kawasan sekitar mula diganggu oleh roh Suraya selepas waktu Maghrib. Adakala pintu rumah mereka diketuk. Namun apabila pintu itu dibuka, tiada sesiapa pun yang dilihat yang berada di depan rumah. Lagi seram, kedengaran suara tangisan Suraya yang sedang mencari anaknya dan meminta kepalanya disatukan semula pada tubuh badannya. Ada juga cerita di mana pemandu kenderaan yang melalui jalan raya di lokasi kejadian melihat telah Suraya berdiri di tepi jalan sambil menuding jari ke arah satu tempat seakan-akan memberikan petunjuk bahawa tempat tersebut adalah tempat pembuangan mayatnya.

    Walaupun kisah Suraya ini sekadar legenda urban, seperkara dapat dipastikan adalah kebenaran seorang wanita bernama Suraya yang pernah ditemui mati di kawasan terbabit. Soal bagaimana dia menemui ajal, hanya Tuhan saja yang tahu. 

Catat Ulasan for "KISAH TANGKI SURAYA "