KISAH TRAGIS QUEENA PHU YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN
Queena Phu sebelum kejadian |
Kisah tragis ini berlaku pada tahun 2008 bertempat di
Florida, Amerika Syarikat. Tahun tersebut, Queena Phu merupakan seorang pelajar
tahun akhir di sekolah menengah Bloomingdale. Queena bukan saja cemerlang dalam
bidang akademik malah dia juga seorang yang sangat aktif di dalam bidang sukan.
Selain itu, Queena yang juga sangat meminati warna merah jambu telah menerima
tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Florida dengan tajaan
biasiswa.
Kisah sebenar bagaimanapun bermula pada malam 24 April 2008
iaitu bersamaan dengan seminggu sebelum majlis prom, Queena pergi ke
perpustakaan berdekatan sekolahnya untuk memulangkan buku yang dipinjamnya.
Queena sebenarnya berasa begitu teruja dengan majlis prom yang bakal diadakan
di sekolahnya itu. Dia bahkan telah pun membeli pakaian dan menempah jurusolek
sempena majlis prom tersebut. Berbalik dengan cerita kejadian yakni sewaktu
tiba di kawasan perkarangan perpustakan itu, Queena menyedari kehadiran seorang
lelaki mencurigakan sedang memerhatikannya dari sebuah kerusi bangku.
Disebabkan berasa tidak sedap hati, Queena telah menghubungi seorang rakannya
untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut. Apa yang ditakuti Queena kemudian
benar-benar berlaku, dia menjadi mangsa rogol dan pukul lelaki itu sebelum
ditinggalkan di kawasan sarang semut dalam keadaannya separuh bogel. Sejurus
selepas Queena ditemui oleh anggota keluarga dan rakan-rakan, dia terus
dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya.
Queena Phu selepas kejadian |
Biarpun Queena terselamat daripada serangan dahsyat tersebut, dia menerima nasib malang apabila terpaksa menjadi lumpuh untuk seumur hidup akibat kecederaan parah pada bahagian otaknya yang berpunca akibat pukulan. Queena tidak lagi boleh bercakap, berjalan dan melihat. Perkara ini juga bermaksud dia memerlukan penjagaan rapi secara berterusan. Menyedihkan, Queena terpaksa makan menggunakan tiub yang dimasukkkan melalui perutnya. Tentang perogol Queena, pihak polis telah berjaya menangkapnya pada dua hari setelah kejadian. Identitinya dikenal pasti sebagai Kendrick Devonte Morris, remaja lelaki berusia 16 yang juga merupakan pelajar di sekolah menengah Bloomingdale. Kendrick ditangkap berikutan penemuan cap jarinya pada bahan bukti yang ditemui di lokasi kejadian. Pada masa sama, penangkapan Krendrick ini juga telah membongkarnya sebagai pelaku yang merogol seorang wanita tua berusia 62 tahun di sebuah tempat asuhan pada sebulan sebelum kejadian.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes tahun 2011, Kendrick yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman penjara selama 65 tahun. Namun pada tahun 2017, hukuman Kendrick tersebut ditukar kepada hukuman penjara seumur hidup. Mengenai Queena, laman web khas untuknya telah dicipta dengan diberikan nama Join Queena. Menerusi laman web ini, pengunjung boleh melihat gambar atau menonton video Queena. Turut disediakan adalah pautan untuk menyumbang wang derma bagi menampung kos rawatan terapi Queena. Seperkara dapat dipastikan, pautan untuk sumbangan wang derma akan dihentikan pada satu hari kelak. Impian Queena untuk menyertai majlis prom yang pernah diingininya sebelum ini tercapai jua apabila rakan baiknya iaitu Derrick Perez telah mengajaknya menghadiri majlis berkenaan pada bulan April 2017.
Bulan Oktober 2020, ibu Queena menerbitkan sebuah buku biografi berjudul “The Life She Once Knew” yang berkisarkan tentang perjalanan hidup keluarga Queena pada waktu sebelum dan selepas kejadian berlaku. Queena yang masih lagi menjalani rawatan terapi hingga pada hari ini telah menunjukkan perkembangan baik dari masa ke semasa. Dia tetap tabah dan tidak berputus asa dalam mengharungi liku-liku kehidupan walaupun dirinya sudah tidak mampu lagi untuk hidup normal seperti dulu.
Catat Ulasan for "KISAH TRAGIS QUEENA PHU YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN"