Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH BENAR DI SEBALIK FILEM NOBODY KNOWS

    Pernah menonton filem Jepun yang berjudul Nobody Knows (2004)? Filem ini merupakan inspirasi kisah benar tentang empat orang adik-beradik yang berlainan bapa telah dibiarkan tinggal bersendirian oleh ibu mereka di apartment selama 9 bulan. Kejadian ini berlaku di kawasan kejiranan Sugamo, Toshima, Tokyo. Paling menyedihkan, salah seorang daripada empat orang adik-beradik itu telah menjadi mangsa pembunuhan. Bagaimana kisah selanjutnya? Baiklah, mari mulakan bacaan. Seperkara harus diketahui, identiti semua individu yang terlibat dalam kisah ini tidak pernah didedahkan kepada pihak umum. Jadi, nama-nama yang ada dalam artikel kali ini hanyalah sekadar nama samaran.

    Yamato yang dilahirkan pada tahun 1973 merupakan anak kepada seorang wanita bernama Keiko. Sewaktu Yamato baru berusia 5 tahun, bapa kandungnya tiba-tiba saja telah menghilangkan diri tanpa sebab. Rentetan daripada perkara tersebut, Keiko yang berusia 25 tahun pada waktu itu terpaksa menggalas tanggungjawab bagi mencari nafkah kehidupan mereka anak-beranak. Bergelar sebagai ibu tunggal pada usia muda bukan satu perkara mudah untuk Keiko. Lebih-lebih lagi selepas dia mendapat tahu bahawa perkahwinannya sebelum ini tidak pernah didaftarkan oleh suaminya. Begitu juga dengan soal kelahiran Yamato. Akibatnya, Yamato tidak mendapat sebarang keistimewaan sebagai rakyat Jepun seperti tidak dibenarkan untuk bersekolah dan mendapat rawatan kesihatan percuma di hospital. Hingga pada akhirnya, Keiko terpaksa menjadi seorang pelacur bagi mendapatkan wang dengan cara yang mudah.

    Pada tahun 1981, Keiko selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang dinamakan sebagai Hana. Sama seperti Yamato, kelahiran Hana juga tidak didaftarkan secara rasmi. Dua tahun setelah kelahiran Hana, Keiko sekali lagi melahirkan anaknya iaitu seorang bayi lelaki. Keiko memilih untuk tidak mendaftarkan kelahiran anak ketiganya itu. Walau bagaimanapun, bayi lelaki tersebut kemudian telah meninggal dunia pada usia beberapa bulan akibat jatuh sakit. Entah apa yang bermain dalam fikiran Keiko, dia memasukkan mayat bayi lelaki itu di dalam beg pakaian lalu disimpannya ke dalam almari. Dua orang lagi anak yang dilahirkan Keiko adalah Aiko dan Asami. Aiko dilahirkan pada tahun 1985 manakala Asami menyusul pada setahun berikutnya. Harus diingatkan, keempat-empat anak Keiko tersebut adalah hasil hubungan Keiko dengan lelaki yang berbeza-beza.

    Pada musim luruh 1987, Keiko telah membuat keputusan untuk membiarkan semua anaknya tinggal bersendirian tanpa pengawasan dirinya. Waktu ini, Yamato sudah pun berusia 14 tahun, Hana 6 tahun, Aiko 2 tahun dan Asami 1 tahun. Keputusan itu dibuat Keiko bagi membolehkannya untuk tinggal bersama dengan lelaki barunya. Memandangkan Yamato anak sulung, maka dia diamanahkan oleh Keiko untuk menjaga adik-adiknya. Malah Yamato juga telah disuruh untuk melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, membasuh pakaian dan mengemas. Ingat tentang mayat bayi lelaki Keiko yang disimpan di dalam almari? Ya, mayatnya yang sentiasa disembur dengan bahan pewangi masih berada dalam apartment tersebut. Pada masa sama, pemilik apartment juga tidak menyedari kewujudan Hana, Aiko dan Asami kerana dia diberitahu bahawa hanya Keiko serta Yamato saja yang tinggal dalam apartment miliknya itu.

    Tatkala Yamato sibuk menguruskan adik-adiknya, Keiko pula bersuka-ria dengan teman lelakinya. Keiko memang ada melakukan kiriman wang dan bekalan makanan akan tetapi lama-kelamaan jumlah kirimannya semakin berkurangan. Sampai satu masa, Yamato terpaksa melakukan catuan makanan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Barangkali tertekan dengan pengabaian yang dilakukan Keiko, Yamato akhirnya telah berkawan dengan dua orang remaja nakal di kawasan kejiranan berkenaan. Tiga sekawan tersebut sering meluangkan masa untuk melepak bersama sekaligus menyebabkan Yamato melakukan pengabaian terhadap adik-adiknya.

    Pada satu hari yakni bertempat dua orang lelaki itu berada di apartment Yamato, mi segera Ramen milik salah seorang daripada mereka didapati telah hilang. Apabila disiasat, mi tersebut rupa-rupanya dimakan oleh Aiko yang sedang kelaparan. Salah seorang rakan Yamato itu berasa sangat marah lalu terus mengangkat Aiko untuk dibawanya ke dalam bilik mandi. Di situ, Aiko bukan saja dihempas pada lantai malah turut disepak secara berulangkali sebagai hukuman mencuri. Kawan Yamato tersebut bagaimanapun hanya menghentikan aksinya sesudah menyedari Aiko mati. Yamato yang sebelum itu berasa buntu melihat Aiko tidak lagi bernyawa telah memasukkan mayat adiknya ke dalam beg pakaian. Beberapa hari kemudian, keadaan mayat Aiko yang semakin mereput menyebabkan apartment itu berbau busuk. Perkara ini telah memaksa Yamato dan dua orang kawannya untuk membuang mayat Aiko dalam sebuah kawasan hutan terpencil.

    Sepandai-pandai tupai melompat, jatuh ke tanah jua. Begitulah juga dengan nasib Yamato. Pada bulan Julai 1988, pemilik apartment berserta sepasukan pihak polis telah melakukan pemeriksaan mengejut ke dalam apartment sebelum menemui Yamato, Hana dan Asami dengan keadaan fizikal mereka yang sangat kurus. Pemeriksaan tersebut dibuat gara-gara pemilik apartment yang mendapat notis tunggakan bil air dan elektrik selain aduan daripada jiran sekeliling berhubung bunyi bising dari dalam apartment tersebut. Pemeriksaan itu juga telah membawa kepada penemuan mayat bayi lelaki Keiko. Pihak polis juga turut menemui mayat Aiko di dalam hutan hasil pengakuan yang dibuat Yamato.

    Sebaik saja mendengar berita mengenai penemuan anak-anaknya yang dalam keadaan menyayat hati, Keiko segera menyerah diri kepada pihak polis. Paling tidak disangka, Keiko langsung tidak tahu-menahu mengenai kematian Aiko. Pengakhiran kisah, Keiko yang menerima pertuduhan melakukan pengabaian kanak-kanak telah menerima hukuman penjara selama 3 tahun. Yamato dan dua orang kawannya telah dihantar ke pusat tahanan juvana. Yamato dituduh melakukan pembuangan mayat manakala dua orang rakannya pula menerima satu pertuduhan tambahan iaitu kesalahan yang menyebabkan kematian. Tidak jelas tentang keberadaan Yamato sejurus selepas pembebasannya. Keiko? Dia berkahwin dan telah membawa Hana dan Asami untuk tinggal sekali bersama dengannya. 

Catat Ulasan for "KISAH BENAR DI SEBALIK FILEM NOBODY KNOWS"