Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN ELISA IZQUIERDO YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN

 

    Pada bulan November 1995, sepasukan pihak polis serta perubatan telah tiba di sebuah apartment yang terletak di Manhattan. Mereka bergegas ke situ selepas menerima panggilan kecemasan mengenai kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun yang dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Hasil pemeriksaan mendapati tubuh badan kanak-kanak perempuan tersebut dipenuhi dengan kesan cucuh api rokok. Tulang tangannya juga didapati patah selain terdapat kesan lebam besar pada bahagian muka dan pinggang. Bahagian kemaluannya juga mempunyai kesan luka yang sangat mengerikan. Kata seorang petugas yang terlibat pada waktu itu,

    “Sepanjang tempoh 22 tahun tempoh perkhidmatan saya, ini adalah kes penderaan kanak-kanak paling kejam yang saya pernah lihat.”

    Elisa Izquierdo dilahirkan pada 11 Februari 1989 bertempat di Hospital Woodhull yang berlokasi di Brooklyn, New York. Bapa Elisa iaitu Gustavo Izqueirdo yang berasal dari Cuba adalah seorang pekerja pembersihan dan tukang masak. Ibu Elisa yang bernama Awilda Lopez pula juga berasal dari Cuba di mana dia sebelum itu sudah pun mempunyai dua orang anak lelaki hasil hubungan dengan pasangannya terdahulu. Gustavo dan Awilda dikatakan mula bertemu di sebuah rumah perlindungan. Awilda mempunyai masalah ketagihan dadah jenis kokain dan perkara ini berlanjutan hinggalah Elisa dilahirkan. Rentetan daripada perkara tersebut, Gustavo telah memfailkan hak penjagaan Elisa sepenuhnya di mahkamah. Pihak mahkamah kemudian membenarkan perkara itu.

    Gustavo ternyata tidak mensia-siakan peluang penjagaan Elisa yang diberikan kepadanya. Gustavo adalah seorang bapa yang sangat penyayang hingga dia sanggup menghadiri ceramah mengenai ilmu keibubapaan. Dia juga sentiasa bertanyakan pendapat daripada rakan-rakan di sekelilingnya tentang cara penjagaan bayi seperti menyuapkan makanan, menukar lampin dan memakaikan pakaian. Bagi Gustavo, Elisa adalah penyeri kehidupannya. Malah Gustavo sanggup berhabis duit untuk menghantar Elisa belajar di sekolah yang berprestij. Dalam fikiran Gustavo, dia sentiasa berharap Elisa akan menjadi manusia yang berguna pada satu hari nanti.

    Tahun 1991, pihak mahkamah memberikan hak kepada Awilda untuk melawat Elisa. Perkara ini berikutan Awilda telah berjaya membuktikan kepada pihak mahkamah tentang masalah ketagihan dadahnya sebelum ini yang sudah dapat dia tangani. Maka pada setiap hujung minggu, Awilda akan mengambil Elisa untuk tinggal di apartment kediaman yang dihuni bersama suami barunya dan dua orang lagi adik-beradik tiri Elisa. Dua orang adik-beradik tiri Elisa tersebut pernah mengadu kepada jiran mereka mengenai Elisa yang selalu dipukul oleh ibu bapa mereka. Namun atas sebab yang tidak jelas, jiran mereka itu tidak pernah melaporkan aduan tersebut kepada pihak berkuasa.

    Setiap kali Elisa pulang dari rumah Awilda, badannya akan mempunyai kesan lebam dan luka pada bahagian kemaluan. Elisa juga mengalami perubahan secara mendadak dengan dia sentiasa murung bersendirian. Gustavo yang menyedari perkara ini tidak berdiam diri. Dia membuat laporan kepada pihak berkenaan. Susulan aduan yang dibuat Gustavo itu, hak lawatan Awilda terhadap Elisa telah ditarik oleh pihak mahkamah. Cuma apa yang benar-benar mengecewakan Gustavo, penarikan tersebut hanyalah untuk seketika. Perkara ini bermaksud Awilda mendapat semula hak lawatannya selepas itu.

    Demi menyelamatkan anak perempuan kesayangannya daripada menjadi mangsa kekejaman Awilda secara berterusan, Gustavo telah merancang untuk membawa Elisa pulang ke negara Cuba. Perancangan tersebut dilakukan oleh Gustavo dengan bantuan seorang sepupunya yang dikenali sebagai Elsa Canizares. Manusia hanya sekadar mampu untuk merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya. Begitulah juga dengan nasib yang menimpa Gustavo. Belum sempat membawa lari Elisa, Gustavo telah meninggal dunia pada 24 Mei 1994 akibat masalah pernafasan akibat kanser paru-paru yang dialaminya. Lagi menyedihkan, Gustavo pergi meninggalkan Elisa buat selama-lamanya pada hari yang sepatutnya menjadi jadual penerbangan pulang dua anak-beranak itu terbang ke Cuba.

    Perjuangan Gustavo tidak terhenti di situ. Elsa Canizares telah berjuang untuk mendapatkan hak penjagaan Elisa. Nasib bagaimanapun tidak menyebelabi Elsa apabila pihak mahkamah memilih untuk menyerahkan Elisa kepada Awilda. Maka di sinilah bermulanya episod hitam Elisa didera tanpa henti oleh Awilda. Elisa tidak lagi dibenarkan untuk bersekolah. Dia telah dikurung selama 24 jam di dalam bilik. Di situlah tempat Elisa membuang air kencing dan air besar. Elisa dibiarkan kelaparan dengan dia dipaksa untuk memakan najisnya sendiri. Elisa bukan saja selalu dipukul malah dicucuh dengan api rokok dan menjadi mangsa penderaan secara seksual. Pada 15 November 1995, Elisa tidak sedarkan diri di atas katil walaupun Awilda cuba mengejutkannya berkali-kali. Keesokan harinya, seorang jiran Awilda telah membuat panggilan kecemasan untuk memberitahu tentang keadaan Elisa. Panggilan kecemasan dilakukan oleh jiran Awilda itu tidak lama setelah dia dipanggil oleh Awilda sendiri untuk melakukan pemeriksaan terhadap Elisa.

    Pasukan kecemasan yang tiba telah mengesahkan kematian Elisa. Pada masa sama, Awilda mendakwa bahawa dirinya ada menghentakkan kepada Elisa di dinding pada dua hari sebelumnya. Elisa tidak sedarkan diri sejak insiden hentakan tersebut. Berdasarkan laporan forensik, Elisa telah mengalami luka luaran dan dalaman yang sangat parah. Luka ini termasuklah di bahagian kemaluan dan usus. Jari-jemari Elisa juga telah patah manakala bahagian kepala, muka dan badannya dipenuhi dengan luka lecur. Setahun selepas pembunuhan Elisa, Awilda yang dihadapkan ke mahkamah telah menerima rundingan pertuduhan untuk membuat pengakuan bersalah atas melakukan pembunuhan peringkat kedua. Keputusan hukuman mennyaksikan Awilda dijatuhkan hukuman penjara untuk seumur hidup dengan dia layan untuk dibebaskan secara bersyarat hanya selepas 15 tahun dipenjarakan. Hingga setakat ini, Awilda masih lagi berada dalam penjara. Permohonan pembebasan bersyaratnya telah pun ditolak pada bulan Januari 2022.

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN ELISA IZQUIERDO YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN"