KISAH KEMATIAN NONOI YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN
Nonoi bersama Mastura dan Ali |
Kisah pembunuhan yang menggemparkan negara Singapura ini berlaku
pada tahun 2006. Tahun tersebut, Nonoi atau nama sebenarnya Norasyura merupakan
seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun yang bersama dengan ibu
kandungnya iaitu Mastura Binti Kamsir serta bapa tirinya, Mohammad Ali Bin
Johari. Hasil perkahwinan Mastura bersama dengan Mohammad Ali, pasangan
tersebut dikurniakan seorang anak lelaki yang diberikan nama sebagai Daniel.
Jadi Ali, Mastura, Nonoi dan Daniel ini tinggal di sebuah rumah pangsapuri yang
terletak di Pipit Road, Geylang.
Kisah sebenar bermula pada petang 1 Mac 2006 di mana Nonoi telah dilaporkan hilang oleh keluarganya. Kali terakhir dilihat Nonoi dilihat adalah pada pukul 7 malam di rumah pangsapuri datuk tirinya yang dikenali sebagai Johari Bin Mohamad Yus, 59 tahun. Menurut kenyataan Johari, dia mendapati cucunya itu hilang dari rumah tidak lama selepas dia selesai melakukan solat Maghrib. Berita kehilangan Nonoi ternyata telah mendapat perhatian luas pihak media. Ramai pihak termasuk anggota sukarelawan dan orang awam sama-sama berganding bahu bagi membantu pihak berkuasa Singapura melakukan operasi pencarian Nonoi.
Tiga hari setelah kehilangan Nonoi, Ali tiba-tiba membuat
satu pengakuan mengejutkan di depan Mastura dan ibu mentuanya. Ali dengan nada
yang penuh penyesalan memberitahu bahawa Nonoi sudah pun mati serta pada masa
sama menjelaskan bahawa dia tidak pernah sama sekali berniat untuk membunuh
Nonoi. Mendengar perkara tersebut, ibu mentua Ali mengesyaki Ali berkemungkinan
sudah melakukan sesuatu yang buruk kepada Nonoi. Tidak lama sesudah pengakuan
Ali itu, dia pun menyerah diri kepada pihak polis lalu sebelum menceritakan
perkara sebenar yang sudah berlaku sekaligus membawa kepada penemuan mayat
Nonoi yang ditemui dalam keadaan bogel dan reput dalam semak samun di bawah
Jejambat Aljunied. Berdasarkan laporan forensik, punca kematian Nonoi
berkemungkinan besar disebabkan lemas di dalam air. Malah Nonoi juga dipercayai
didera secara seksual sebelum dibunuh.
Jadi apa sebenarnya yang berlaku kepada Nonoi dan bagaimana dengan kronologi kejadian pembunuhan ini? Pada hari kejadian, Ali tidak bekerja manakala Mastura pula bekerja waktu syif petang. Ali dan Mastura sempat untuk keluar bersama sebentar sementara anak-anak mereka dihantar ke rumah Johari. Selepas menghantar Mastura ke tempat kerja, Ali kembali ke rumah bapanya untuk membawa Nonoi pergi berjalan-jalan. Saat keluar bersama dengan Ali, Nonoi mula menangis kerana ingin kembali ke rumah Johari. Ali seterusnya cuba memujuk dengan membawa Nonoi ke sebuah kedai runcit untuk dibelikan gula-gula. Suara tangisan Nonoi bagaimanapun langsung tidak berhenti. Ali yang tidak mengendahkan Nonoi kemudian pergi ke rumah rakannya. Walau bagaimanapun, rakan Ali tersebut tiada di rumah pada waktu itu sekaligus memaksa Ali membawa Nonoi ke rumah mereka sendiri.
Sampai di rumah, Nonoi masih lagi menangis teresak-esak. Ali yang rasa semakin berserabut telah bertindak untuk menampar serta memukul kaki Nonoi. Pukulan tersebut langsung tidak membuatkan Nonoi berhenti menangis sebaliknya menyebabkan suara tangisannya semakin kuat. Disebabkan berasa sangat geram, Ali telah membenamkan kepala Nonoi ke dalam baldi berisi air. Pembenaman itu dilakukan Ali sebanyak tiga kali dengan pembenaman kali ketiga tersebut yang menyebabkan kematian Nonoi. Dakwa Ali, dia tidak sengaja meninggalkan Nonoi terbenam dalam air kerana terlupa selepas menerima beberapa panggilan telefon. Siasatan menunjukkan Ali tidak pernah menerima panggilan telefon pada waktu kejadian. Setelah menyedari Nonoi tidak lagi bernyawa, Ali menjadi sangat panik sebelum memakaikan mayat Nonoi dengan pakaian lalu dibawa semula ke rumah bapanya.
Setibanya di rumah Johari, Ali terus meletakkan mayat Nonoi
di atas katil. Harus diketahui, Johari pada waktu ini masih lagi tidak
mengetahui tentang kematian Nonoi dengan dia beranggapan cucunya itu sedang
tidur. Saat Johari sedang solat Maghrib, Ali yang konon sudah pun keluar pada
waktu tersebut kembali semula ke rumah itu untuk mengambil semula Nonoi. Mayat
Nonoi dibuang di sebalik timbunan sampah-sarap bahah jejambat Aljunied.
Menerusi keterangan yang diberikan oleh seorang psikiatri di mahkamah, laporan penilaiannya mendapati Ali ada menggunakan dadah pada dua hari sebelum kejadian selain memiliki perangai panas baran dan level IQ di bawah paras 89. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes tahun 2007, Ali yang didapati bersalah atas pertuduhan membunuh telah dijatuhkan hukuman gantung sampai. Sebelum dibawa pergi dari mahkamah, Ali dinasihati oleh Johari supaya bertenang, dan meminta keampunan daripada Tuhan atas jenayah dia yang sudah lakukan. Pelaksanaan hukuman Ali dijalankan pada bulan Disember 2008 di Penjara Changi. Jenazah Ali telah dikebumikan bersebelahan dengan kubur Nonoi kerana itu memang permintaan terakhirnya sebelum dia menjalani hukuman gantungnya.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN NONOI YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN "