KISAH KEMATIAN SEBASTIAN KALINOWSKI YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN
Kisah pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 2021 bertempat
di Huddersfield, England. Pada tahun tersebut, Sebastian Kalinowski merupakan
seorang remaja lelaki berusia 15 tahun berasal dari Poland yang tinggal bersama
dengan ibu kandung dan bapa tirinya. Ibu kandung Sebastian bernama Agnieska
Kalinowska (35 tahun) manakala bapa tiri pula dikenali sebagai Andrezj
Latoszewski (38 tahun). Sebastian mula menetap di Huddersfield sejak dari
bulan Oktober 2020.
Sebastian digambarkan sebagai seorang pelajar yang berperwatakan pemalu akan tetapi mempunyai daya pemikiran bijak serta sentiasa berfikiran positif. Dalam erti kata lain, Sebastian bukanlah seorang remaja yang bermasalah sama sekali. Kisah sebenar bagaimanapun bermula pada 13 Ogos 2021 apabila Sebastian tiba-tiba dilaporkan oleh keluarganya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di rumahnya. Pihak ambulans kemudian telah menghantar Sebastian ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Namun malang sekali semuanya sudah terlambat apabila pakar perubatan mengesahkan bahawa Sebastian sudah pun meninggal dunia.
Hasil laporan forensik mendapati terdapat 81 kesan
kecederaan pada tubuh badan Sebastian di mana 23 daripada jumlah kesan kecederaan
tersebut adalah keretakan tulang dan bakinya pula merangkumi kesan lebam dan
luka. Kematian Sebastian dipercayai berpunca daripada kecederaan keretakan tulangnya
yang langsung tidak dirawat. Perkara ini juga bermaksud bahawa Sebastian telah
mengalami penderaan dahsyat sebelum meninggal dunia. Rentetan daripada perkara
itu, pihak polis bertindak untuk menangkap ibu bapa Sebastian untuk selanjutnya.
Berdasarkan siasatan awal yang dijalankan oleh pihak polis, Agnieska dan Andrejz hanya menghubungi talian kecemasan hanya selepas dua jam membiarkan anak mereka itu terbaring tidak sedarkan diri. Pihak polis juga telah mengumpul rakaman kamera litar tertutup di rumah Agnieska yang sebelum ini dipasang oleh Andrejz bagi tujuan pemantauan pergerakan Sebastian. Menerusi pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup tersebut, Sebastian ternyata telah didera oleh Andrejz dengan begitu kejam sekali. Salah satu rakaman menunjukkan Andrejz membelasah Sebastian Sebastian selama 30 minit tanpa henti. Bayangkan, Sebastian dipukul dan disepak Andrejz lebih daripada 100 kali! Adakalanya Sebastian dipukul dengan kayu.
Selain itu, Andrejz turut menyebat punggung Sebastian dengan
menggunakan kabel elektrik. Menyedihkan, Sebastian dipaksa untuk melakukan
tekan tubi dalam keadaannya sedang kesakitan. Lagi sadis, Sebastian menerima
cucukan jarum pada bahagian pahanya. Bagaimana pula dengan Agnieska? Dia
membiarkan saja penderaan itu dengan bersantai menonton televisyen sambil
memakan roti bakar. Dakwa Agnieska, dia tidak mempertahankan anaknya kerana
begitu takut dengan Andrejz. Penderaaan Sebastian ini berlaku pada hampir
setiap hari. Pada mulanya, Agnieska dan Andrejz membuat penafian tentang
kecederaan Sebastian yang berlaku disebabkan penderaan. Hanya selepas
ditunjukkan rakaman kamera litar tertutup tersebut, barulah mereka mengaku
dengan kenyataan penderaan itu adalah sebagai hukuman kepada Sebastian kerana
kenakalannya.
Sewaktu perbicaraan di mahkamah, Agnieska dilaporkan telah menangis teresak-esak setelah menonton video rakaman Sebastian. Kedengaran juga suara tangisan Sebastian dalam video rakaman berkenaan. Baru-baru ini yakni pada 22 Julai 2022, Agnieska dan Andrejz telah didapati bersalah atas pertuduhan melakukan pembunuhan terhadap Sebastian. Pasangan terbabit dijangka akan dijatuhkan hukuman pada perbicaraan kes bulan depan.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN SEBASTIAN KALINOWSKI YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN"