KISAH LEGENDA HANTU LA LLORONA
Pernah menonton mana-mana filem seram hantu La Llorona? La
Llorona atau sebutannya “la jo ro na” merupakan hantu cerita rakyat yang
sangat popular di negara Mexico. La Llorona ini membawa maksud “The Weeping Woman” ataupun dalam bahasa
melayunya yang bermaksud “Wanita
Menangis.” Kebanyakan ibu bapa di negara Amerika Latin dikatakan gemar menceritakan
kisah La Llorona ini untuk menakut-nakutkan anak mereka yang suka bermain di
luar rumah hingga lewat senja.
Seperti kebanyakan cerita rakyat lain, kisah La Llorona ini
mempunyai pelbagai versi. Namun versi yang sering diceritakan dalam kalangan
rakyat Mexico adalah kisah tentang seorang wanita yang bernama Maria. Dia yang dilahirkan
dalam keadaan keluarga miskin memiiliki paras rupa yang cantik lagi menawan
hingga menjadi tumpuan penduduk lelaki setempat. Satu hari, ada seorang
pengembara dari golongan bangsawan telah melalui kawasan perkampungan Maria.
Sebaik saja lelaki si pengembara dan Maria saling bertentang mata, mereka
berdua pun terus jatuh hati. Maka Maria pun dilamar oleh lelaki itu. Lamaran
tersebut sebenarnya tidak berapa disenangi oleh bapa si lelaki disebabkan perbezaan
darjat keluarga mereka. Walau bagaimanapun, Maria dan lelaki itu akhirnya
membuat keputusan untuk tinggal bersama di kampung Maria demi mempertahankan
cinta mereka yang utuh.
Pada mulanya, Maria dilayan bagaikan seorang bidadari.
Semuanya indah-indah belaka. Saat yang lagi membahagiakan apabila Maria telah melahirkan
sepasang anak kembar yang comel yakni seorang lelaki dan seorang perempuan.
Hari demi hari berlalu, anak-anak Maria semakin membesar. Cuma apa yang
menyedihkan Maria, suaminya jarang berada di rumah atas urusan perniagaan.
Apabila suaminya pulang ke rumah, hanya anak-anak saja yang sering diberi
perhatian. Maria sendiri pula diabaikan.
Satu hari, suami Maria keluar dari rumah dan tidak pernah
lagi kembali selepas itu. Hidup Maria jadi gantung tidak bertali. Demi
anak-anaknya, Maria meneruskan kehidupan dengan penuh cekal. Sampailah satu
ketika, dia telah terserempak dengan seorang lelaki yang sangat dikenalinya
bersama dengan seorang wanita yang sangat cantik. Siapa lelaki tersebut?
Jawapannya, suami Maria sendiri! Hati Maria yang serta-merta menjadi remuk
telah menyebabkannya hilang pertimbangan. Dia yang berada berdekatan dengan
sungai waktu itu terus melemparkan kedua-dua anaknya ke dalam sungai. Hanya
selepas melihat mayat anak-anaknya terapung, barulah Maria sedar apa yang dia
sudah lakukan. Maria kemudian terus terjun ke sungai untuk mendapatkan anaknya
kembali. Malang sekali apabila jasad Maria pun turut lemas. Satu-satunya benda
yang terus hidup adalah sumpahannya iaitu La Llorona.
Selepas kejadian itu, hampir setiap malam penduduk kampung terdengar
suara tangisan Maria yang mencari anak-anaknya.
“Anakku, mana anakku?”
Diceritakan juga Hantu La Llorona memakai gaun berwarna putih. Salah satu cara pembunuhan La Llorona adalah dengan meminta maaf kepada mangsa yang diculiknya terlebih dahulu sebelum melemaskan mereka ke dalam sungai. Selain itu, La Llorona akan membunuh mangsanya jika dia menyedari mangsa yang ditatap tersebut bukan anaknya. Dalam versi Guatemala pula sedikit lain daripada yang lain. Jika mangsa terdengar suara tangisan La Llorona dari jarak berdekatan, dia sebenarnya jauh. Jika suara tangisannya kedengaran jauh, perkara tersebut bererti La Llorona ada berdekatan dengan mangsa.
Catat Ulasan for "KISAH LEGENDA HANTU LA LLORONA "