Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH LEGENDA URBAN CHINA : HANTU JARI KELENGKENG & SUP EKOR LEMBU

    HANTU JARI KELENGKENG

    Ada seorang lelaki mahasiswa yang sering menghabiskan masanya untuk belajar di perpustakaan kampus. Dia kebiasaannya akan beredar pergi hanya selepas waktu perpustakaan tersebut ditutup. Pada satu malam yakni semasa lelaki itu sedang dalam perjalanan pulang menuju ke asramanya, dia telah melihat ada seorang budak perempuan sedang bermain buaian seorang diri di sebuah taman kecil. Lelaki tersebut tersenyum sebelum mendekati budak perempuan itu. Mereka berdua kemudian saling berkenalan. Sejak itu, lelaki tersebut akan berborak dengan budak perempuan berkenaan pada setiap kali dia melalui kawasan taman kecil itu.

    Hinggalah satu hari, lelaki tersebut pun menceritakan perihal budak perempuan itu kepada rakan-rakannya. Apabila rakan-rakannya mendengar cerita tersebut, mereka meyakini budak perempuan yang dimaksudkan itu adalah anak kepada seorang pensyarah universiti yang telah pun meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Budak perempuan yang sering ditemui lelaki tersebut sebenarnya adalah hantu. Jadi bagi memastikan kesahihan mengenai perkara itu, lelaki tersebut pun disuruh oleh rakan-rakannya untuk memeriksa jari kelengkeng budak perempuan itu. Mereka menyuruh lelaki tersebut untuk membuat pemeriksaan kerana jari kelengkeng budak perempuan yang mati kemalangan itu dilaporkan telah hilang.

    Malam berikutnya, lelaki tersebut meminta budak perempuan itu untuk menunjukkan jari kelengkengnya. Pada mulanya budak perempuan tersebut enggan berbuat sedemikian. Hanya selepas dipaksa oleh lelaki itu, barulah budah perempuan itu menunjukkan jari kelengkengnya seperti yang disuruh. Ya, memang tiada jari kelengkeng. Sah, budak perempuan tersebut adalah hantu! Maka lelaki itu pun terus lari lintang-pukang kerana berasa ketakutan. Lelaki tersebut masih tetap melalui kawasan taman itu selepas kejadian menakutkan tersebut. Walau bagaimanapun, budak perempuan itu tidak pernah lagi kelihatan.


    SUP EKOR LEMBU                                                 

    Di dalam sebuah universiti, ada sepasang kekasih yang juga merupakan pelajar doktor perubatan. Pasangan tersebut tinggal di sebuah blok bangunan asrama yang sama namun berlainan tingkat. Si lelaki tinggal di tingkat bawah manakala si wanita itu pula tinggal di tingkat atas. Mereka berdua banyak menghabiskan masa untuk mengulang kaji pelajaran dalam masing-masing hingga tengah lewat malam dan hanya akan bertemu pada waktu tertentu. Satu-satunya masalah perhubungan yang dialami oleh pasangan kekasih tersebut adalah komunikasi antara mereka memandangkan alat teknologi masih lagi belum wujud pada waktu itu. Dalam erti kata lain, sukar untuk menerima sebarang perkhabaran berita.

    Setiap malam, lelaki tersebut kebiasaannya akan meminum sup kegemarannya iaitu sup ekor lembu yang dihidangkan oleh teman wanitanya itu. Hidangan tersebut dilakukan wanita itu dengan cara menurunkan mangkuk sup menggunakan tali dari tingkap bilik asramanya hingga ke tingkap lelaki berkenaan. Apa yang pasti, sup tersebut memang benar-benar menyedapkan.

    Hinggalah satu malam, lelaki itu telah tertidur selepas meminum sup tersebut. Keesokan harinya, lelaki itu pun pergi ke bilik teman wanitanya. Walau bagaimanapun, dia telah dikejutkan dengan berita tentang teman wanitanya yang sebenarnya sudah pun meninggal dunia pada beberapa hari sebelum itu. Maka lelaki tersebut menjadi benar-benar sedih hingga membuatkannya menitiskan air mata. Tidak lama kemudian, lelaki itu tiba-tiba berhenti menangis. Dalam fikirannya, “Tunggu sekejap! Siapa yang menghantar sup ekor lembu kepadaku sejak beberapa hari lepas?”

Catat Ulasan for "KISAH LEGENDA URBAN CHINA : HANTU JARI KELENGKENG & SUP EKOR LEMBU"