Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH LEGENDA URBAN HANTU TEKE TEKE (JEPUN) & LELAKI DI DALAM LIF (KOREA SELATAN)

    HANTU TEKE TEKE (JEPUN)

    Kisah hantu Teke Teke merupakan salah satu legenda urban seram yang popular di negara Jepun. Legenda urban hantu Teke Teke ini dimulakan penceritaan tentang seorang wanita muda yang terjatuh di atas rel sebelum badannya terputus dua akibat dilanggar oleh sebuah kereta api. Wanita itu kemudian menjadi hantu dengan membawa sebilah sabit untuk membunuh mangsanya. “Teke Teke” pula merujuk kepada bunyi yang dihasilkan oleh siku hantu ini sewaktu ia bergerak.

    Sama seperti kebanyakan kisah legenda urban legenda yang lain, asal-usul kisah hantu Teke Teke ini dikatakan mempunyai beberapa versi. Dalam versi pertama, seorang wanita telah bertindak untuk membunuh diri dengan cara terjun ke rel kereta api gara-gara menjadi mangsa penindasan di sekolahnya. Versi kedua, wanita tersebut mati bunuh diri berikutan menjadi mangsa buli oleh rakan sekelasnya. Versi ketiga, wanita berkenaan terbunuh di landasan kereta api itu selepas cuba untuk menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa rogol oleh sekumpulan tentera Amerika Syarikat.

    Wanita ini kemudian telah menjadi hantu yang sangat pendendam. Hantu Teke-Teke akan muncul di kawasan stesen kereta api tempatnya terbunuh. Hantu Teke Teke yang mempunyai kelajuan pergerakan mencecah 150km per jam ini akan mengejar mangsanya tanpa henti. Hantu Teke Teke melakukan pembunuhan dengan cara membelah dua badan mangsanya yakni sama seperti dengan nasib ia pernah alami.

    LELAKI DI DALAM LIF (KOREA SELATAN)

    Kisah  "Lelaki di Dalam Lif” ini merupakan legenda urban dari negara Korea Selatan mengenai seorang wanita berusia 19 tahun yang tinggal di tingkat 14 iaitu rumah jenis apartment.

    Wanita yang dimaksudkan bernama Haruko. Pada satu malam, Haruko terpaksa pulang lewat ke rumahnya kerana terpaksa menyiapkan tugasan universiti di sebuah perpustakaan. Pulang pada waktu lewat malam sememangnya perkara paling ditakuti Haruko kerana dia dapat merasakan bangunan apartment kediamannya bukanlah kawasan yang boleh dikatakan selamat. Seperti kebiasannya yakni selepas sampai di bangunan apartment, Haruko pun memasuki lif untuk naik ke apartment kediamannya.

    Belum sempat pintu lif itu tertutup, tiba-tiba ada seorang lelaki tampan serta bertubuh tinggi lampai telah menahan pintu lif tersebut dari luar. Lelaki itu kemudian masuk ke dalam lif berkenaan sebelum berdiri di sebelah Haruko.

    “Awak tinggal di tingkat 14 ke?” Tanya lelaki tersebut sambil tersenyum ke arah Haruko.

    “Ya. Betul.” Jawab Haruko dalam keadaan tersipu-sipu malu. Manakan tidak, ketampanan lelaki itu benar-benar telah memikat hati Haruko. Dalam fikiran Haruko, adakah lelaki tersebut sudi untuk keluar dengan wanita sepertinya.

    “Oh, yeke? Saya tinggal di tingkat 13.” Kata lelaki itu sambil menekan butang lif bernombor 13. Sekali lagi dia tersenyum kepada Haruko.

    Ting! Bunyi lif berhenti pada tingkat 13. Tanpa berlengah, lelaki tampan tersebut melangkah keluar dari lif. Saat pintu lif hampir tertutup, lelaki itu menoleh ke arah Haruko dengan jelingan yang sangat menakutkan.

    “Tingkat atas!” Kata lelaki tersebut dengan bunyi nada suara seorang mania. Pada masa sama, dia mengeluarkan pisau dari jaket. Sesudah berbuat sedemikian dia terus berlari laju menaiki tangga. Pada waktu ini, Haruko bukan saja dalam ketakutan malah menjadi panik. Pada masa singkat, lif pun berhenti pada tingkat 14.  Pintu lif pun terbuka dan lelaki tadi sudah berdiri benar-benar berada di depan mata Haruko sambil memegang pisau.

    Ada pihak mendakwa bahawa kisah ini sebenarnya kisah benar di mana wanita tersebut telah ditemui mati akibat ditikam oleh lelaki itu di dalam lif.                                                                                            

Catat Ulasan for "KISAH LEGENDA URBAN HANTU TEKE TEKE (JEPUN) & LELAKI DI DALAM LIF (KOREA SELATAN)"