KISAH MAX DAN KAY : Gara-Gara Hasutan Seorang Wanita
Wang Haozhi atau Max |
Kisah sadis ini berlaku pada tahun 2017 bertempat di
Toronto, Kanada. Tahun tersebut, Max atau nama sebenarnya Wang Haozhi merupakan
seorang pelajar universiti berusia 19 tahun yang berasal dari bandar Chengdu,
China. Dia yang juga berwajah tampan memiliki ketinggian setinggi 193
sentimeter. Max digambarkan sebagai seorang lelaki yang memiliki perwatakan
baik dan begitu disenangi oleh rakan-rakan di sekelilingnya. Dalam erti kata
lain, Max bukan seorang lelaki yang bermasalah sama sekali.
Pada bulan Ogos tahun 2015, Max telah berkenalan dengan
seorang wanita berusia 18 tahun yang bernama Kiki Tan Jiaqi atau lebih dikenali
sebagai Kiki. Max dan Kiki kemudian saling jatuh cinta sebelum bergelar sebagai
pasangan kekasih. Sejak menjalinkan hubungan dengan Kiki, Max sering
menghabiskan wang untuk teman wanitanya itu. Ini termasuklah menghadiahkan Kiki
dengan pemberian barang seperti jam dan tas tangan yang mahal. Malah Max dengan
rela hatinya juga memberikan kad kredit kepada Kiki untuk dibelanjakan. Semuanya
kerana dasar cinta. Dalam masa beberapa bulan saja, jumlah wang perbelanjaan
Max adalah sebanyak $100 000 mata wang Kanada. Seperkara harus diketahui, semua
wang perbelanjaan Max tersebut merupakan wang kiriman ibu bapanya dari kampung.
Max dan Kiki |
Sampai satu masa, Max menyedari tabiat perbelanjaannya yang semakin boros. Memikirkan kesusahan ibu bapanya di kampung, maka Max tekad untuk berubah memandangkan dia adalah anak harapan dalam keluarganya. Max mula menghabiskan masa untuk berada di rumah berbanding keluar berhibur tanpa sebarang hala tuju. Max juga sanggup mencatu makanan bagi menyimpang wang. Perubahan sikap Max ini bagaimanapun tidak digemari oleh Kiki. Jadi Kiki mula menjauhkan dirinya dari Max sebelum bercinta dengan seorang lelaki kaya-raya berusia 19 tahun iaitu Boqiao Fan atau nama popularnya, Kay. Apabila Max mendapat tahu tentang hubungan Kiki dan Kay ini, dia benar-benar berasa dikhianati. Max pasrah dengan perpisahan itu walaupun dirinya dengan diselubungi dengan rasa kecewa.
Boqiao Fan atau Kay |
Tentang Kay, dia berasal dari keluarga kaya-raya yang berpengaruh. Ditambah dengan wajah tampan dan penampilan kemasnya, Kay menjadi idaman wanita pada waktu tersebut. Kiki boleh dikatakan beruntung kerana dapat menambat hati Kay. Bagusnya mengenai Kay, dia tidak memilih dalam berkawan selain mempunyai sikap yang sangat merendah diri. Kay juga aktif bertinju selain banyak menghabiskan masa di pusat gim dalam rumahnya untuk membina otot badan.
Kisah sebenar bermula pada malam 7 Februari 2017 apabila Kay
dan Kiki telah pergi ke apartment kediaman Max. Kay ingin bertemu dengan Max
selepas Kiki mengadu sering diganggu oleh Max menerusi panggilan telefon.
Kesilapan besar Kay, dia mempercayai bulat-bulat apa yang diperkatakan Kiki
sedangkan Max tidak pernah pun mengganggu Kiki pun setelah mereka putus
hubungan. Sampai di lokasi apartment itu, Kay dan Kiki dibenarkan masuk oleh
salah seorang daripada dua orang rakan Max yang turut tinggal dalam apartment tersebut.
Apa yang berlaku sesudah itu, Kay dan Max saling bersemuka sebelum kedua-dua
mereka saling bertengkar. Pertengkaran tersebut cuba untuk dileraikan oleh dua
orang rakan Max pada waktu itu. Walau bagaimanapun, Kay yang semakin berada di
luar kawalan telah membelasah Max hingga tidak sedarkan diri. Melihat keadaan
Max sedemikian, Kay dan Kiki bergegas untuk beredar pergi dari lokasi kejadian.
Salah seorang rakan Max telah menghubungi pihak kecemasan. Setibanya pihak
ambulans, Max yang mengalami kecederaan parah pada bahagian muka dibawa ke
hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Menyedihkan, Max disahkan
meninggal dunia pada keesokan harinya akibat kecederaan yang dia telah alami
itu.
Kay dan Kiki |
Dua hari setelah kematian Max, pihak polis pun melakukan penangkapan terhadap Kay. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes tahun 2019, Kay yang didapati bersalah atas pertuduhan membunuh telah dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun. Kay yang tidak pernah mempunyai rekod mencederakan mana-mana orang juga sempat melakukan permohonan maaf kepada keluarga Max dengan berkata,
“Aku berasa sangat
bersalah dan bersedih atas kematian Max. Aku tidak tahu apa yang dapat aku
lakukan untuk membetulkan semula apa yang telah berlaku. Perasaan bersalah ini
sudah pasti akan menghantuiku untuk seumur hidup.”
Bagaimana pula dengan nasib Kiki? Sejak Max mati, dia gagal untuk dikesan sama sekali kerana telah menghilangkan diri. Semua akaun laman media sosial dan nombor telefonnya juga dinyahaktifkan. Kiki dipercayai telah melarikan diri ke China. Perkara ini sekaligus menyebabkan motifnya menghasut Kay untuk menyerang Max kekal tidak diketahui. Seorang bekas teman lelaki Kiki pernah tampil mendakwa bahawa Kiki sememangnya seorang wanita yang mempunyai tabiat suka untuk melakukan hasutan dan hanya mencari lelaki berduit demi kepentingan diri.
Catat Ulasan for "KISAH MAX DAN KAY : Gara-Gara Hasutan Seorang Wanita"