Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH NASRA YUSSEF : Ku Tak Rela Bermadu

    Pada tahun 2009, negara Kuwait telah dikejutkan dengan berita serangan api kebakaran dalam sebuah majlis perkahwinan mengorbankan puluhan nyawa manusia termasuk kanak-kanak. Apa yang benar-benar mengejutkan, pelaku utama yang menyebabkan api kebakaran itu adalah seorang wanita muda berusia 23 tahun. Jadi, siapakah wanita tersebut dan apakah motif sebenarnya hingga sanggup untuk melakukan serangan dahsyat itu?

    Pada malam 15 Ogos 2009 bertempat di Oyoun, sebuah majlis perkahwinan telah berlangsung dengan begitu meriah sekali. Selaras dengan tradisi perkahwinan di Kuwait, para tetamu ditempatkan di bawah khemah yang sudah diasingkan iaitu khemah untuk kaum lelaki, wanita dan kanak-kanak. Sewaktu malam kejadian, seramai lebih daripada 100 orang wanita yang telah hadir pada majlis perkahwinan tersebut. Apa yang berlaku kemudian yakni semasa para tetamu wanita sedang leka menari dan makan, khemah tempat mereka berteduh itu tiba-tiba terbakar sekaligus menimbulkan suasana panik. Khemah tersebut telah terbakar sepenuhnya dalam tempoh masa 3 minit. Lebih menyedihkan, ramai antara mereka yang tidak sempat untuk melarikan diri memandangkan pintu khemah itu hanya mempunyai satu pintu keluar masuk.

    Kebakaran pada khemah tersebut telah mengorbankan seramai 57 nyawa tetamu wanita termasuk kanak-kanak. 90 orang lagi tetamu pula dilaporkan mengalami kecederaan parah. Pada mulanya, kebanyakan mangsa tidak dapat untuk dikenal pasti berikutan keadaan mayat mereka yang rentung satu badan sekaligus memaksa pihak berkuasa memanggil pakar forensik bagi melakukan kerja-kerja pemeriksaan identiti. Bayangkan, mangsa yang terkorban dalam khemah itu terbakar dengan suhu kepanasan mencecah 500 darjah celsius iaitu bersamaan sekitar 930 Fahrenheit. Mengenai pasangan pengantin pada malam berkenaan, mereka berdua telah terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

    Selepas pihak polis menjalankan siasatan, mereka tidak memerlukan masa lama untuk mengenal pasti dalang punca api kebakaran khemah tersebut yang dikenali sebagai Nasra Yussef Mohammad al-Enezi, 23 tahun. Majlis perkahwinan pada malam itu sebenarnya adalah majlis perkahwinan kedua suami Nasra yang bernama Zayed Zafira, 36 tahun. Jadi motif Nasra melakukan serangan pada malam itu dipercayai bermotifkan dendam kerana dia berasa dikhianati oleh suaminya serta pada masa sama tidak rela untuk bermadu. Dakwa Nasra lagi, dia telah menjadi mangsa penderaan mental dan fizikal oleh suaminya pada sepanjang tempoh perkahwinan mereka berdua.

    Tidak banyak yang diketahui tentang sejarah hidup Nasra. Namun seperkara dapat dipastikan, dia yang digambarkan sebagai seorang wanita baik mempunyai dua orang anak hasil perkahwinannya dengan Zayed. Selain itu, Nasra juga dikatakan bergelut dengan penyakit mental yang dialaminya sejak dari kecil lagi. Sesetengah pihak mempercayai bahawa Nasra tidak pernah merancang untuk melakukan pembunuhan pada malam kejadian akan tetapi dia hanya sekadar cuba merosakkan majlis perkahwinan itu. Walau bagaimanapun, keadaan kain khemah yang mudah terbakar telah menyebabkan perkara sebaliknya berlaku. Pihak pendakwaan bagaimanapun berjaya membuktikan bahawa kejadian kebakaran tersebut adalah satu pembunuhan terancang daripada Nasra.


    Orang awam telah menggesa pihak berkuasa supaya menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada Nasra susulan perbuatannya itu telah mengorbankan mereka yang tidak berdosa. Nasra sempat untuk mengubah keterangan dalam mahkamah di mana dia mendakwa bahawa api kebakaran khemah tersebut adalah berpunca daripada air hasil ilmu hitam yang diamalkannya. Keterangan daripada saksi dan bukti sedia ada telah menafikan perkara tersebut.

    Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Nasra yang didapati bersalah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Nasra telah menjalani hukuman mati itu pada 25 Januari 2017. Berdasarkan undang-undang Kuwait, hukuman mati boleh ditukar kepada hukuman penjara seumur hidup jika pesalah wanita tersebut sedang hamil. Sebelum Nasra digantung, dia pernah membuat dakwaan tentang dirinya yang telah hamil anak ketiganya. Samada benar atau tidak, Nasra mengalami keguguran semasa masih dalam tahanan setelah dia dipaksa untuk memakan ubat pemberian saudara Zayed yang bekerja sebagai pengawal penjara. 

Catat Ulasan for "KISAH NASRA YUSSEF : Ku Tak Rela Bermadu"