KISAH PEMBUNUHAN KEJAM CARLY RYAN
Kisah pembunuhan kejam ini berlaku pada tahun 2007 bertempat
di negara Australia. Tahun itu, Carly Ryan merupakan seorang gadis remaja
cantik berusia 15 tahun yang tinggal bersama dengan ibunya iaitu Sonya Ryan.
Soal bapa Carly, tidak banyak yang diketahui berikutan tiada sebarang maklumat
mengenai lelaki tersebut. Cuma apa yang dapat dipastikan, Carly dikatakan
sebagai seorang gadis yang baik dan sering mendengar nasihat daripada ibunya.
Kisah sebenar bermula pada tahun 2006 yakni sewaktu Carly
berusia 14 tahun di mana dia telah berkenalan secara dalam talian dengan
seorang lelaki yang dikenali sebagai Brandon Kent melalui laman Myspace. Brandon
yang tiga tahun lebih tua daripada Carly mendakwa dirinya merupakan seorang
pemuzik kelahiran Texas yang tinggal bersama dengan keluarganya di Melbourne. Brandon
dan Carly kemudian bertukar nombor telefon hingga mereka berdua akhirnya
menjadi semakin rapat lalu terjalinnya hubungan cinta biarpun tidak pernah
berjumpa. Menyedari Carly yang sudah kemaruk cinta, Sonya sentiasa berpesan
kepada anaknya itu supaya sentiasa berhati-hati dengan orang baru dikenali.
Maka Sonya mengambil pendekatan awal dengan memantau penggunaan telefon dan
komputer Carly.
Memasuki bulan Januari tahun 2007, Carly mula berasa gembira keraran bulan itu merupakan hari ulang tahun kelahirannya. Lebih menggembirakan Carly apabila Brandon telah berjanji akan datang ke majlis parti hari jadinya. Namun beberapa hari sebelum majlis tersebut, Brandon memberitahu bahawa dia tidak dapat menghadiri majlis parti hari jadi itu. Walaupun Carly berasa agak kecewa dengan perkara tersebut, kekecewaannya itu terubat setelah dia dimaklumkan bahawa bapa Brandon bakal menggantikan Brandon pada majlis hari jadi tersebut. Paling membuatkan Carly teruja, bapa Brandon akan memberikan hadiah kepadanya hasil kiriman daripada Brandon.
Mendengar berita bapa Brandon akan datang ke majlis jadi
anaknya, Sonya yang berasa curiga telah mengajak lelaki berkenaan untuk
berjumpa terlebih dahulu di sebuah restoran. Sesudah melihat sendiri perwatakan
dan penampilan bapa Brandon, barulah Sonya membenarkan lelaki itu untuk datang
ke rumahnya. Sewaktu majlis hari jadi Carly berlangsung, Sonya sekali berasa
curiga kepada bapa Brandon yang memperkenalkan dirinya sebagai Shane. Perkara
ini berikutan Shane dilihat telah memerhatikan segala gerak-geri tubuh Carly
dari awal hingga akhir tempoh majlis parti tersebut berlangsung. Selesai majlis
parti itu, beberapa orang rakan Carly telah bermalam di rumah tersebut. Begitu
juga dengan Shane yang turut diminta oleh Carly untuk bermalam di situ. Sonya
sebenarnya keberatan untuk membenarkan Shane tidur di rumahnya akan tetapi dia
terpaksa bersetuju kerana tidak mahu merosakkan suasana hari jadi Carly.
Saat waktu tengah malam, Carly masih lagi berborak santai dengan rakan-rakannya di ruang tamu. Naluri seorang ibu, Sonya yang masih berasa tidak sedap hati dengan kehadiran Shane telah keluar dari bilik tidurnya untuk melakukan pemeriksaan di dalam bilik tidur Carly. Sebaik saja Sonya memasuki bilik tidur Carly, alangkah terkejutnya Sonya apabila melihat Shane sedang berbaring di atas katil Carly. Tanpa berlengah, Sonya yang dalam keadaan kemarahan telah menghalau Shane untuk keluar dari rumahnya. Hasil pemeriksaan pada hadiah yang dibawa Shane, hadiah itu didapati mengandungi pakaian dalam wanita. Sejak kejadian tersebut, penggunaan telefon dan komputer Carly telah dipantau dengan ketat oleh Sonya.
Pada 19 Februari 2007, Carly meminta izin daripada Sonya
untuk bermalam di rumah rakannya. Keesokan harinya, Carly langsung tidak pulang
ke rumah serta pada masa sama dia gagal untuk dihubungi sama sekali. Rentetan
daripada perkara itu, Sonya telah membuat laporan polis mengenai kehilangan
Carly. Pada hari sama laporan tersebut dibuat, mayat seorang gadis ditemui
terapung di kawasan pantai Horseshoe Bay yang terletak di Port Elliot.
Mengejutkan, mayat gadis itu telah dikenal pasti sebagai Carly. Berdasarkan
laporan forensik, terdapat 19 kesan kecederaan pada tubuh Carly yang disebabkan
pukulan selain dipercayai dilemaskan. Perkara ini bermaksud Carly adalah mangsa
pembunuhan.
Menerusi pemeriksaan pada kamera litar tertutup di sekitar lokasi kejadian, Carly dikesan berjalan bersama dengan dua orang lelaki dengan kali terakhirnya dilihat hidup adalah pada sekitar pukul 9.30 malam. 11 hari selepas pembunuhan Carly tersebut, pihak polis berjaya mengesan identiti kedua-dua lelaki itu sebelum melakukan serbuan di rumah mereka. Dua orang lelaki tersebut merupakan pasangan anak-beranak, seorang dikenali sebagai Garry Newman yang berusia 50 tahun manakala seorang lagi pula adalah anak lelaki . Identiti anak Garry itu tidak pernah didedahkan kepada umum atas faktornya yang masih berada di bawah umur. Penggeledahan di rumah dua beranak tersebut telah membawa kepada penemuan sebuah buku nota milik Garry yang mengandungi butiran nama penyamarannya dalam internet bagi melakukan penipuan terhadap kanak-kanak di bawah umur. Ini termasuklah nama Brandont Kent dan Shane yang dia gunakan untuk menipu Carly. Perkara ini juga bermaksud Gary adalah seorang pedofilia.
Berbalik pada cerita malam kejadian, Gary yang menyamar sebagai “Brandon” telah mengajak Carly untuk bertemu untuk memohon maaf atas kelakuan “Shane” sewaktu majlis hari jadi itu. Gary mengajak anaknya sekali untuk turut serta dalam pertemuan tersebut supaya dia disangka Carly sebagai “Brandon”. Anak lelaki Gary itu sebenarnya mengetahui rancangan jahat bapanya yang ingin membunuh Carly pada malam kejadian. Dalam erti kata lain, anak lelaki Gary tersebut tidak bersubahat walaupun secara faktanya dia merupakan saksi utama pembunuhan. Motif pembunuhan Gary, dia diyakini ingin membalas dendam gara-gara dihalau keluar dari rumah Carly semasa majlis parti hari jadi itu. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Gary yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan dia layak untuk diberikan pembebasan secara bersyarat setelah 29 tahun dipenjarakan.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM CARLY RYAN"