Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH SUZANNE MARIE SEVAKIS, WANITA DALAM DOKUMENTARI GIRL IN THE PICTURE

    Baru-baru ini, Netflix telah menayangkan sebuah filem dokumentari berjudul “Girl In The Picture” hingga menjadi bualan hangat pengguna laman media sosial. Manakan tidak, dokumentari yang benar-benar mengganggu emosi penonton ini telah mengungkap beberapa fakta mengejutkan yakni jenayah yang dilakukan oleh seorang lelaki psikopat. Hingga setakat ini, “Girl In The Picture” mendapat pun markah undian sebanyak 7.3/10 di laman sesawang IMDb.

    “Girl In The Picture” mengisahkan tentang siasatan kes terhadap seorang wanita muda yang menjadi mangsa korban kemalangan langgar lari. Kisah bermula pada tahun 1990 apabila seorang lelaki iaitu Clarence Hughes telah pergi ke sebuah hospital bagi mendapatkan rawatan untuk isterinya yang mengalami keadaan cedera parah. Clarence mendakwa bahawa punca kecederaan isterinya yang dikenali sebagai Tonya Hughes itu telah dilanggar lari oleh sebuah kenderaan. Tonya kemudian bagaimanapun disahkan meninggal dunia sewaktu sedang menerima rawatan. Harus diketahui, Tonya bukanlah isteri Clarence akan tetapi anak tiri Clarence yang telah dipaksa untuk menjadi isteri Clarence. Pelik bukan? Beginilah penjelasannya.

    Identiti Tonya Hughes yang sebenarnya adalah Suzanne Marie Sevakis manakala Clarence Hughes pula dikenal pasti sebagai Franklin Delano Floyd. Suzanne mempunyai tiga orang lagi adik-beradik yang lain. Franklin pada mulanya telah mengahwini ibu Suzanne yang bernama Sandi Chipman pada tahun 1974. Setahun selepas perkahwinan tersebut, Sandi dipenjaraka selama 30 hari atas kes penipuan cek. Jadi, Franklin telah mengambil kesempatan ini untuk menculik kesemua anak Sandi. Dua orang daripada anak Sandi diserahkan kepada sebuah agensi sosial dan seorang lagi pula diserahkan kepada keluarga angkat. Suzanne yang baru berusia 5 tahun pada waktu tersebut dijaga oleh Franklin sendiri.

    Sewaktu Suzanne dalam jagaan Franklin, dia telah menjadi mangsa penderaan secara seksual oleh bapa tirinya itu. Suzanne turut diperkenalkan kepada semua orang dengan nama Sharon Marshall. Franklin sendiri pula mengaku sebagai bapa kepada Suzanne menggunakan nama Warren Marshall. Tentang Suzanne, dia digambarkan oleh rakan-rakan di sekolahnya sebagai seorang perempuan yang baik, pintar dan sangat matang. Suzanne pernah hamil sebanyak dua kali di mana kandungannya yang pertama terpaksa digugurkan akibat dipaksa oleh Franklin untuk berbuat sedemikian. Anak pertama Suzanne yang diberikan nama Michael Hughes selamat dilahirkan tidak lama selepas Suzanne bekerja sebagai penari di kelab malam. Pada masa sama, Suzanne menjadi rapat dengan seorang penari wanita iaitu Cheryl Ann Commeso.

    Cheryl menerima nasib malang apabila dibunuh oleh Franklin pada tahun 1989. Mayatnya hanya ditemui pada beberapa tahun setelah pembunuhan itu. Sejurus selepas kematian Cheryl, Franklin telah melarikan diri bersama Suzanne dan Michael. Franklin yang juga merupakan seorang penjenayah buruan pihak polis seterusnya telah memaksa Suzanne untuk mengahwininya. Maka status Franklin dan Suzana yang sebelum itu adalah pasangan anak dan bapa tiri kini menjadi pasangan suami isteri sah.

    Berbalik semula dengan cerita sesudah kematian Suzanne atau Tonya Hughes, Franklin telah kehilangan hak penjagaan Michael Hughes. Tahun 1994, Franklin bertindak untuk menculik Michael Hughes yang sudah berusia 6 tahun pada waktu tersebut di sekolahnya. Ada satu plot twist, Michael Hughes sebenarnya bukan anak kandung Franklin. Beberapa bulan selepas penculikan itu, Franklin ditangkap atas pertuduhan melakukan penculikan terhadap Michael dan pembunuhan Cheryl. Franklin yang didapati bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut telah dijatuhkan hukuman mati. Dia yang kini masih hidup sedang meringkuk di sebuah penjara yang terletak di Florida. Tiada jelas mengenai tarikh sebenar Franklin akan menjalani hukuman mati itu. Menyedihkan, jasad Michael tidak pernah ditemui hingga pada hari ini dengan fakta Franklin telah pun membuat pengakuan tentang pembunuhan kanak-kanak itu. Tiada juga keterangan yang keluar dari mulut Franklin soal pembabitannya dengan kematian Suzanne.

Catat Ulasan for "KISAH SUZANNE MARIE SEVAKIS, WANITA DALAM DOKUMENTARI GIRL IN THE PICTURE"