Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH WANG JIA : Cari Jodoh yang Berakhir Dengan Kematian

    Pada awal pagi 2 Ogos 2012 bertempat dalam sebuah bangunan apartment yang terletak di Xi’an, China, ada seorang lelaki telah berlari di ruang koridor sambil menjerit meminta pertolongan dengan keadaan badannya penuh dengan lumuran darah. Lelaki itu sebenarnya dikejar oleh seorang wanita yang sedang hamil.

    “Aku akan bunuh kau! Aku akan bunuh kau!” Jerit wanita tersebut sambil memegang pisau.

    Lelaki itu kemudian menjadi semakin lemah sebelum dia akhirnya jatuh rebah.

    “Sayang, tolong jangan bunuh saya. Tolonglah biarkan saya untuk hidup.” Rayu lelaki tersebut.

    Wanita hamil itu yang tidak mempedulikan rayuan tersebut terus bertindak untuk menikam bahagian kemaluan lelaki berkenaan. Sesudah berbuat sedemikian, wanita itu menikam pula dada dan perutnya sendiri hingga membuatkannya tidak sedarkan diri. Lelaki tersebut telah disahkan mati di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan akibat kekurangan darah. Wanita hamil yang dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan itu pula berjaya diselamatkan. Begitu juga dengan bayi kandungannya. Berdasarkan siasatan awal polis mendapati bahawa wanita hamil tersebut merupakan seorang selebriti internet. Jadi, apa sebenarnya yang telah berlaku pada malam itu hingga menyebabkan berlakunya pembunuhan tersebut?

    Wang Jia dilahirkan pada bulan Disember tahun 1979 di bandar Yan’an, Shaanxi, China. Wang Jia berasal dari keluarga berada di mana bapanya adalah seorang usahawan berjaya manakala ibunya pula bekerja sebagai seorang jururawat. Wang Jia yang juga merupakan seorang anak tunggal bukan saja memiliki paras rupa cantik malah bijak serta berpendidikan tinggi. Selepas menamatkan pengajian di universiti, Wang Jia telah diterima untuk bekerja di sebuah syarikat penerbitan buku dengan kadar pendapatan yang agak lumayan. Maka dengan statusnya sebagai wanita bekerjaya, Wang Jia memiliki segala-galanya. Ada wang, rumah dan keretanya sendiri. Namun apabila usia Wang Jia memasuki 30 tahun, dia mula berasa risau masih belum mempunyai calon yang sesuai untuk dijadikannya sebagai suami. Lebih membuatkan Wang Jia rasa tertekan, desakan daripada ibu bapanya yang memintanya untuk berkahwin pada secepat yang mungkin.

    Wang Jia sebenarnya pernah menjalinkan hubungan dengan beberapa orang lelaki termasuklah rakan sekerja sendiri. Walau bagaimanapun, semua hubungan itu terkandas gara-gara tidak mendapat restu daripada ibu bapanya dan sikap Wang Jia sendiri yang terlampau memilih. Hinggalah pada usianya 32 tahun, Wang Jia telah memasuki rancangan realiti televisyen cari jodoh popular di China yang berjudul “If You Are the One”. Usaha Wang Jia tersebut ternyata tidak sia-sia apabila dia menjadi pilihan seorang lelaki ahi perniagaan kaya-raya berusia 30 tahun iaitu Zhang Tianyi untuk dijadikan sebagai pasangan hidup. Selain itu, Wang Jia juga telah menjadi peserta paling digemari oleh para penonton atas faktor keperibadian dan juga latar belakang hidupnya. Pada masa sama, semakin ramai pengguna laman media sosial Weibo yang mengikuti akaun Weibo Wang Jia. Tamat rancangan realiti tersebut, Wang Jia pun Zhang Tianyi pun meluangkan masa bersama untuk mengenal isi hati masing-masing dengan lebih dekat. Semestinya ibu bapa Wang Jia berasa sangat gembira dengan kehadiran Zhang Tianyi yang dianggap sebagai calon paling sesuai untuk anak kesayangan mereka.

    Walau bagaimanapun, kegembiraan Wang Jia tidak berpanjangan apabila Zhang Tianyi tiba-tiba menghilangkan diri tanpa sebab. Menerusi mesej yang dihantar Zhang Tianyi kepada Wang Jia, dia cuma memberitahu mengenai dirinya akan pergi ke Amerika Syarikat untuk urusan perniagaan. Setelah penghantaran mesej itu, tiada lagi sebarang perkhabaran tentang Zhang Tianyi yang didengari. Wang Jia serta kedua-dua ibu bapanya benar-benar berasa sangat sedih dan terluka dengan perkara tersebut yang dianggap sangat memalukan mereka sekeluarga. Wang Jia seterusnya telah meluahkan perasaannya di laman media sosial Weibo sebelum mendapat balasan komen yang sangat positif daripada peminatnya. Salah seorang daripada peminat yang selalu memberikan komen itu adalah Wenwen atau nama sebenarnya, He Jiawen. Lelaki tersebut sudah lama menyukai Wang Jia yakni sejak dari kemunculan Wang Jia dalam rancangan “If You Are the One”.

    Setelah mendapat tahu berita menghilangnya Zhang Tianyi, He Jiawen tidak pernah berputus asa untuk memberikan kata-kata semangat kepada Wang Jia. He Jiawen bahkan menjadi seorang pendengar setia kepada semua permasalahan yang Wang Jia luahkan. Lama-kelamaan, ruang hati Wang Jia yang sudah tertutup untuk mana-mana lelaki kembali terbuka selepas dia melihat kesungguhan dan keikhlasan He Jiawen untuk memikatnya. Cumanya Wang Jia sedar bahawa jurang perbezaan yang begitu ketara antara He Jiawen dan Zhang Tianyi. He Jiawen hanyalah seorang pekerja bank biasa, bukan lelaki yang berduit seperti Zhang Tianyi. Wang Jia sendiri pernah bertekad untuk mencari seorang lelaki yang lebih kaya-raya daripada Zhang Tianyi bagi menebuskan kekecewaannya sebelum ini.


    Selepas bergelar sebagai teman wanita kepada He Jiawen, Wang Jia dapat merasakan bahawa perhubungan itu bukanlah satu kebahagiaan yang dia kerap impikan. Wang Jia mula membandingkan kehidupannya dengan para peserta wanita lain yang pernah berada sepentas dengannya dalam “If You Are the One”. Ada antara peserta wanita tersebut yang berkahwin dengan jutawan, ada yang menjadi artis, ada yang menjadi model dan ada yang menjadi duta produk berbanding dirinya yang kekal di takluk lama. Enggan untuk berasa malu, Wang Jia mengambil langkah awal untuk membatalkan perkahwinannya dengan He Jiawen. Niat Wang Jia itu bagaimanapun tidak kesampaian susulan mendapati dirinya telah hamil anak kepada He Jiawen. Perkahwinan tersebut pun terpaksa diteruskan jua.

    Selepas berkahwin dengan He Jiawen, Wang Jia semakin tertekan dengan perubahan bentuk fizikal badan dan kulit mukanya yang menjadi kasar. Wang Jia kini bukanlah Wang Jia yang dulu lagi. Wang Jia mula menyesali kerana mengahwini He Jiawen. Dalam fikiran Wang Jia, kehidupannya sudah pasti akan berubah jika dia tidak pernah hamil. Sampai satu masa, Wang Jia telah didiagnos mengidap penyakit kemurungan. Pada penghujung bulan Julai 2012, He Jiawen memarahi Wang Jia kerana isterinya itu masih tidak lagi menerima hakikat dengan realiti kehidupan yang dia sedang jalani. Wang Jia tidak boleh melihat atau mendengar berita kejayaan peserta wanita “If You Are the One”. Perkara tersebut akan membuatkan Wang Jia jatuh terduduk lalu timbul satu perasaan untuk membunuh diri.

    Dek kerana berasa tidak tahan dimarahi He Jiawen, Wang Jia pun tekad untuk membunuh suaminya. Pada lewat malam 1 Ogos 2012, He Jiawen ditikam Wang Jia sewaktu dia tidur. Dalam keadaan kesakitan, He Jiawen berusaha untuk melarikan diri tanpa mempunyai sebarang niat untuk melawan isterinya. Wang Jia pula sebaliknya, dia mengejar He Jiawen tanpa henti. Jadi berlakulah pembunuhan He Jiawen seperti yang diceritakan pada perenggan awal artikel ini. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Wang Jia yang didapati bersalah melakukan pembunuhan terancang telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun. Tempoh hukuman penjara yang singkat itu adalah atas status Wang Jia yang mengidapi penyakit kemurungan. Bayi kandungan Wang Jia selamat dilahirkan semasa dia berada dalam penjara. 

Catat Ulasan for "KISAH WANG JIA : Cari Jodoh yang Berakhir Dengan Kematian"