Pada penghujung tahun 2006, Indonesia dikejutkan dengan
berita kematian penyanyi popular negara itu iaitu Alda Risma yang ditemui mati
di dalam bilik sebuah hotel. Perkara yang masih menjadi perdebatan ramai pihak
hingga pada hari ini adalah samada benar Alda mati disebabkan dos berlebihan
akibat penggunaan bahan terlarang atau dia sebenarnya menjadi mangsa pembunuhan
terancang.
Alda Risma atau nama sebenarnya Alda Risma Elfariani dilahirkan
pada 23 November 1982 di Bogor, Jawa Barat, Indonesia. Dia merupakan anak
ketiga daripada lapan orang adik-beradik yakni anak kepada pasangan Halimah dan
Amir Farid Faisal. Nama Alda mula dikenali orang ramai seawal usianya 14 tahun
selepas dia berkolaborasi dengan kumpulan pop British iaitu Code Red menerusi
lagu berjudul “We Can Make It” yang
dilancarkan album Scarlet kumpulan
tersebut. Setahun berikutnya, populariti Alda kian meningkat setelah melancarkan
lagu pertamanya yang berjudul “Aku tak
Biasa” di mana lagu itu telah menjadi hit hingga menembus pasaran di Malaysia.
Mengenai kehidupan peribadi Alda, dia pernah bertunang dengan Iwan Sastawijaya iaitu seorang penerbit di syarikat muzik tempatnya bernaung. Walau bagaimanapun, jodoh pasangan tersebut tidak berkekalan lama apabila mereka berdua putus tunang pada tahun 2002 kerana Alda dilaporkan telah menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Ferry Surya Prakasa. Sejak berita putus tunang itu, nama Alda terus tenggelam di persada industri hiburan Indonesia. Nama Alda bagaimanapun kembali mendapat perhatian media setelah dia terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya pada bulan Jun tahun 2002. Seperkara harus diketahui, hubungan Alda dan Ferry tersebut kurang mendapat restu daripada Halimah atas faktor anutan agama masing-masing.
Kisah sebenar bermula pada 12 Disember 2006 apabila mayat Alda telah ditemui di dalam sebuah bilik bernombor 432, Hotel Grand Menteng yang terletak di Jakarta Timur. Berdasarkan pemeriksaan awal, tubuh badan mayat Alda didapati mempunyai sekitar 20 kesan suntikan pada bahagian tangan dan kaki akan tetapi tiada sebarang kesan kecederaan yang disebabkan pukulan atau serangan fizikal. Susulan penemuan beberapa bahan terlarang dan peralatan seperti picagari, ubat penenang, botol infusi dan ubatan berbentuk kapsul di lokasi kejadian, maka kematian Alda diyakini berpunca daripada dos berlebihan. Menurut seorang pakar forensik, Alda mati kerana mengalami keracunan psikotropik kesan daripada penggunaan bahan terlarang itu hingga menyebabkan buih serta darah dari mulutnya. Jadi apa sebenarnya yang berlaku kepada Alda dan bagaimana dengan kronologi kejadian?
10 Disember 2006, Ferry telah datang menjemput Alda di rumahnya dengan menaiki kereta sebelum menuju ke Hotel Grand Menteng. Sewaktu dalam perjalanan, Ferry sempat singgah di sebuah kedai ubat untuk membeli beberapa jenis bahan terlarang. Sesudah melakukan pembelian, Ferry dan Alda meneruskan perjalanan serta pada masa sama ada seorang wanita yang hanya dikenali sebagai M yang turut serta bersama mereka. Tujuan kedatangan M ke Hotel Grand Menteng tersebut adalah bagi membantu Ferry melakukan kerja-kerja suntikan kepada Alda. Keesokan harinya, Ferry sekali lagi membeli bahan terlarang dari kedai ubat yang sama dengan kali ini dia membuat pesanan melalui panggilan telefon. Dua orang lelaki kemudian muncul di bilik 432 untuk menghantar bahan terlarang itu. Kedua-dua mereka juga diminta oleh Ferry untuk menahan badan Alda bagi melancarkan proses suntikan tersebut supaya Alda terus tertidur. Sebagai ganjaran, Ferry telah memberikan dua orang lelaki itu emas 100 gram yang dianggarkan berjumlah 15 juta mata wang rupiah agar mereka menutup mulut.
Pada 12 Disember 2006, Ferry menelefon pihak pengurusan hotel supaya menempah teksi. Tempahan teksi tersebut dibuat untuk menghantar Alda yang sudah tidak lagi bernyawa ke hospital. Ferry juga sempat menghubungi Halimah untuk memberitahu keadaan Alda pada waktu itu. Pihak polis yang mendapat laporan mengenai berita kematian Alda bergegas menuju ke Hotel Grand Menteng untuk melakukan pemeriksaan. Pihak polis menemui beberapa bukti penting seperti yang telah dinyatakan selain terdapat kesan darah pada katil bilik 432. Ferry? Dia telah terbang ke Singapura. Rentetan daripada perkara tersebut, pihak polis Indonesia meminta bantuan pihak berkuasa Singapura untuk mengesan Ferry. Hasil kerjasama itu, Ferry telah dapat dikesan sebelum dia kembali ke Jakarta pada 28 Disember 2006 dan seterusnya ditangkap oleh pihak polis Indonesia untuk proses soal siasat.
Dalam kes ini, Alda memang disahkan mati akibat dos berlebihan. Cumanya ada dua persoalan besar. Adakah Alda sendiri yang menyuntik dirinya sendiri secara berterusan atau Ferry memang jelas sebagai penyuntik. Sebagai rekod, Alda memang terlibat dengan dadah pada waktu sebelum kematiannya. Alda bahkan pernah mengalami dos berlebihan pada tahun 2005 akan tetapi mujur sajalah dia sempat untuk diselamatkan pada waktu tersebut. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes tahun 2007, Ferry yang menerima pertuduhan melakukan pembunuhan terancang telah didapati bersalah lalu dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun.
Tahun 2011, pihak mahkamah membuat satu keputusan yang begitu mengejutkan ramai pihak. Hukuman penjara Ferry tiba-tiba ditukar dari 15 tahun penjara kepada 8 tahun penjara. Salah satu alasan yang membawa kepada pindaan hukuman penjara itu adalah kerana tiada sebarang bukti kukuh untuk mengaitkan bahawa Ferry melakukan pembunuhan terancang tersebut. Tentang dua orang lelaki yang ada membantu Ferry pada salah satu hari kejadian, mereka berdua telah menerima hukuman penjara yang sama seperti Ferry. Nasib wanita si M? Tidak diketahui mengenai nasibnya. Ferry tidak pernah membuat pengakuan bersalah. Jika benar sekalipun dia menjadi dalang utama kepada kematian Alda, motif sebenar dia berbuat sedemikian kekal menjadi misteri.
Catat Ulasan for "MISTERI KEMATIAN ALDA RISMA "