Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

WANITA DIBUNUH ADIK KANDUNG KERANA DENDAM

    INDONESIA – Baru-baru ini tular satu kes pembunuhan di Rokan Hilir di mana seorang wanita muda tergamak untuk membunuh kakak kandungnya sendiri iaitu Uli Susanti, 23 tahun. Suami Uli bernama Roni Hengki pula telah mengalami kecederaan parah dalam insiden pembunuhan yang berlaku pada malam Jumaat (22/7/2022) lepas tersebut. Suspek wanita yang hanya dikenali sebagai MA (20 tahun) itu melakukan pembunuhan tersebut bersama bekas suaminya, YS (20 tahun).

    Berdasarkan cerita yang tular di laman media sosial, MA dikatakan telah membunuh Susanti kerana berasa cemburu serta iri hati terhadap kakaknya itu. Susanti sebelum ini sering memuat naik video di laman media sosial untuk menunjukkan wang serta barang kemas yang dia miliki. Namun menurut keterangan rasmi daripada pihak polis, motif sebenar pembunuhan yang MA lakukan adalah kerana dendam berikutan hubungannya dengan YS tidak direstui oleh keluarganya terutama Susanti. Disebabkan berasa sakit hati, MA dan YS yang pernah berkahwin secara rahsia tekad untuk membunuh Susanti serta pada masa sama berniat melakukan rompakan harta.

    Sebelum kejadian berlaku, MA telah pergi ke rumah Susanti bagi memantau keadaan. Dia kemudian menghidangkan Susanti secawan teh manis yang dicampurkan dengan ubat tertentu. Susanti telah tertidur selepas meminum air teh itu. MA seterusnya telah meminta Roni untuk menghantarnya pulang semula ke rumah kerana ada urusan peribadi. Sebelum beredar pergi, MA sempat menghubungi YS untuk memberitahu tentang lokasi bilik tidur Susanti dan tempat parang disimpan.

    YS muncul tidak lama setelah Roni dan MA keluar dari rumah tersebut. Selepas itu, YS pergi mengambil parang di tempat seperti yang diberitahu sebelum memasuki bilik Susanti. YS telah menetak leher Susanti yang masih lagi tidur secara berulang kali hingga bekas kakak iparnya itu tidak lagi bernyawa. Selesai pembunuhan, YS mengambil barangan kemas dan telefon pintar milik Susanti. Namun belum sempat YS melarikan diri, dia terdengar bunyi motosikal Roni yang baru saja selesai menghantar MA. Rentetan daripada perkara tersebut, YS segera bersembunyi di sebalik pintu rumah. Saat Roni masuk ke dalam rumah itu, dia terus diserang oleh YS dengan ayunan parang tersebut terkena pada bahagian kepalanya.

    Penduduk setempat yang terdengar suara jeritan Roni bergegas menuju ke lokasi kejadian sebelum berjaya menangkap YS lalu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Maka dengan tertangkapnya YS juga telah membawa kepada penangkapan MA. Jika YS dan MA didapati bersalah, kedua-dua mereka berdepan dengan hukuman samada penjara seumur hidup atau dihukum mati. 

Catat Ulasan for "WANITA DIBUNUH ADIK KANDUNG KERANA DENDAM"