KISAH HASYIM DAN DEVI : Tragedi Cinta Berdarah
Kisah pembunuhan kerana cinta ini berlaku di Wilayah Asahan,
Indonesia pada awal tahun 2019. Kisah bermula pada 7 Januari 2019 apabila seorang
lelaki pekerja di Hotel Central Kiasan telah pergi mengetuk sebuah pintu bilik
hotel bernombor C12. Ketukan pintu itu dibuat bertujuan bagi memaklumkan penghuni
bilik berkenaan bahawa tempoh waktu penginapan untuk bilik tersebut sudah pun
tamat. Selepas pintu bilik itu masih tidak dibuka walaupun sudah berkali-kali
diketuk, maka pekerja lelaki tersebut terus pergi mengambil kunci pendua
seperti yang diarahkan oleh pihak majikannya. Apabila pihak pengurusan hotel memasuki
bilik hotel itu, alangkah terkejutnya mereka apabila mendapat dua mayat manusia
yakni seorang lelaki dan seorang wanita sedang terbaring dalam keadaan
berlumuran darah. Kedua-dua mangsa didapati hanya berpakaian dalam.
Hasil pemeriksaan, identiti dua orang mangsa tersebut dikenal pasti sebagai Hasyim Prasetya (33 tahun) dan Devi Istiana (23 tahun). Mangsa dilaporkan telah mendaftar masuk ke dalam bilik hotel itu pada sehari sebelum penemuan mayat mereka. Berdasarkan siasatan mendapati punca kematian Hasyim dan Devi ini adalah disebabkan bunuh diri. Kenyataan ini dibuat hasil daripada keterangan beberapa orang saksi serta penemuan beberapa bahan bukti penting di lokasi kejadian iaitu sepucuk pistol, dua telefon bimbit, beg sandang, sebilah pisau, dua buah motosikal, barangan peribadi dan nota bertulis daripada Hasyim untuk ibunya. Selain itu, pihak polis turut menemui kesan air mani pada tubuh Devi.
Siasatan lanjut mendapati Hasyim dan Devi sebenarnya pernah
bertunang. Pertunangan itu bagaimanapun diputuskan oleh keluarga Devi tanpa
sebab yang jelas. Ada yang mengatakan punca tali pertunangan tersebut putus
kerana Devi dikatakan ingin berkahwin dengan lelaki lain dan ada juga mendakwa
keluarga Devi tiba-tiba tidak merestui hubungan Devi dengan Hasyim. Menerusi
semakan perbualan aplikasi Whatsapp antara bekas pasangan tunang itu, Hasyim telah
menyatakan rasa kekecewaannya terhadap tindakan keluarga Devi yang tiba-tiba
memutuskan tali pertunangan mereka. Hasyim dan Devi sudah menjalinkan hubungan
sejak dari tiga tahun sebelumnya. Hasyim yang bekerja sebagai seorang pemandu
juga sering memuat naik fotonya bersama dengan Devi di laman akaun media sosial
Facebook dan adakala melakukan hantaran luahan perasaan tentang hubungan
mereka.
Jadi berbalik pada hari kejadian yakni pada 6 Januari 2019, Hasyim telah mengajak Devi untuk bertemu di hotel. Devi bersetuju akan tetapi tidak dapat dipastikan mengenai niat pada hari tersebut samada untuk bertemu dengan Hasyim buat kali terakhir atau sebaliknya. Sewaktu berada di dalam bilik hotel tersebut, Hasyim telah menembak bahagian belakang kepala Devi dari jarak dekat dengan menggunakan pistol. Sesudah berbuat sedemikian, Hasyim pun menembak kepalanya sendiri. Pengakhiran kisah, pihak polis mengesahkan bahawa tiada indvidu lain yang terlibat dalam kes kematian Hasyim dan Devi ini. Perkara ini bermaksud kes ini dianggap selesai.
Catat Ulasan for "KISAH HASYIM DAN DEVI : Tragedi Cinta Berdarah"