Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH JUNE & JENIFFER GIBBONS : The Silent Twins

    Pernah dengan tentang kisah pasangan kembar yang bernama June & Jennifer Gibbons? Kisah mereka ini dikatakan sebagai salah satu kisah aneh dan misteri yang pernah berlaku dalam dunia ini. Manakan tidak, pasangan kembar ini seakan bisu serta pada masa sama enggan untuk berborak dengan sesiapa pun melainkan sesama mereka sendiri. Punca sebenar June & Jennifer bertingkah laku sedemikian masih lagi tidak diketahui dan menjadi antara bahan kajian oleh pakar psikologi.

    June dan Jennifer Gibbons yang dilahirkan pada 11 April 1963 di Barbados, Karibia. Mereka berdua merupakan anak kepada pasangan suami isteri yang bernama Aubrey dan Gloria Gibbons. Seperti yang diberitahu, June dan Jennifer lebih banyak mendiamkan diri daripada bercakap dengan mana-mana individu termasuklah ibu bapa mereka. Perkara ini berlaku sejak June dan Jennifer dari kecil lagi hingga menyebabkan mereka digelar sebagai pasangan The Silent Twins. Lebih menghairankan, pasangan kembar tersebut hanya berkomunikasi sesama mereka saja. Itu pun menggunakan bahasa isyarat mulut dan tangan yang ternyata sukar untuk difahami.

    June dan Jennifer juga menjadi mangsa perkauman di sekolah mereka hanya kerana berkulit gelap. Disebabkan perkara tersebut, kedua-dua mereka menjadi semakin terasing. Beberapa individu yang pernah terdengar perbualan antara June dan Jennifer mendakwa bahasa yang pasangan kembar itu gunakan sebenarnya adalah bahasa Bajan atau Barbadian iaitu bahasa Inggeris dengan logat Afrika yang digunakan dalam kehidupan seharian penduduk Barbados. Walau bagaimanapun, June dan Jennifer dikatakan bercakap terlalu laju di mana percakapan tersebut hanya boleh difahami mereka berdua saja.

    Sewaktu June dan Jennifer berusia 14 tahun, pasangan kembar itu telah dibawa oleh ibu bapa mereka untuk mendapatkan rawatan terapi daripada pakar psikiatri. Pada mulanya, pakar psikiatri tersebut mencadangkan supaya June dan Jennifer diasingkan tempat tinggal mereka. Rawatan terapi itu bagaimanapun tidak berjaya susulan keadaan emosi June dan Jennifer yang semakin parah dan tiada sebarang perubahan dikesan berlaku kepada mereka. Rentetan daripada perkara tersebut, June dan Jennifer terpaksa disatukan semula untuk kembali tinggal sebumbung.

    Pada tahun 1979 yakni bersamaan dengan malam Krismas, June dan Jennifer telah menerima diari yang dihadiahkan oleh ibu bapa mereka. Tiada siapa sangka, diari itu menjadi titik permulaan June dan Jennifer mengasah bakat mereka dalam bidang penulisan. Mereka berdua kemudian mampu untuk menyiapkan penulisan artikel dan skrip drama radio. Hingga pada akhirnya, June dan Jennifer berjaya menjadi penulis novel yang bertemakan jenayah. Cumanya Jennifer lebih menyerlah dengan tiga terbitan novel berbanding June yang hanya menerbitkan sebuah novel. Apa yang malangnya, semua novel tersebut tidak mendapat jualan laris di pasaran.

    Kegagalan novel itu ternyata memberikan kesan yang begitu mendalam terhadap June dan Jennifer hingga memaksa mereka untuk melakukan pelbagai jenis jenayah seperti kecurian, rompakan dan pembakaran bangunan. Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah juga dengan nasib June dan Jennifer yang akhirnya berjaya ditangkap oleh pihak polis. Sesudah dibicarakan di mahkamah, pihak juri telah memutuskan untuk menghantar pasangan kembat tersebut mendapatkan rawatan di Hospital Sakit Jiwa Broadmoor. Meskipun mereka berdua ditempatkan di bilik berlainan, June dan Jennifer seakan dapat berkomunikasi antara satu sama lain. Bayangkan, mereka berdua menjamah makanan secara bersilih ganti. Sebagai contoh, June tidak akan menyentuh makanan jika hari itu adalah giliran Jennifer untuk makan. Keesokan harinya pula, giliran Jennifer pula akan menahan diri daripada makan. Rutin tersebut berulang pada setiap hari sepanjang tempoh penahanan mereka di hospital berkenaan.

    Ada seorang wartawan yang dikenali sebagai Marjorie Wallace kemudian telah menyiarkan kisah June dan Jennifer ini dalam akhbar The Sunday Times hingga mendapat perhatian orang ramai. Cerita Marjorie, June dan Jennifer memiliki satu perjanjian aneh di mana salah seorang daripada mereka harus menjalani kehidupan normal seperti orang lain seandainya salah seorang daripada mereka meninggal dunia. Pada tahun 1993 yakni setelah 14 tahun dirawat di Hospital Sakit Jiwa Broadmoor, June dan Jennifer telah dipindahkan ke sebuah klinik psikiatri Caswell. Tidak lama selepas dipindahkan ke klinik itu, Jennifer telah meninggal dunia secara mengejut. Hasil laporan forensik, kematian Jennifer dipercayai akibat serangan jantung.  

    Selepas pemergian Jennifer, barulah June mula berkomunikasi dengan orang di sekelilingnya tanpa sebarang pemantauan daripada mana-mana pakar psikiatri atau pakar perubatan yang lain. Sesuai dengan perjanjiannya dengan Jennifer pada waktu sebelumnya. Apa yang dapat dipastikan hingga setakat ini, June masih lagi hidup. Pada bulan September 2022 kelak, sebuah filem berjudul The Silent Twins yang diadaptasi daripada kisah June dan Jennifer ini akan mula ditayangkan di negara Amerika Syarikat.

Catat Ulasan for "KISAH JUNE & JENIFFER GIBBONS : The Silent Twins"