KISAH NOURA AL-TAQAQA : Wanita yang Menyanyi di Depan Ratusan Jin
Kisah seram ini dikatakan sebagai sebuah kisah yang
pernah berlaku di negara Kuwait pada sekitar tahun 1990-an. Diceritakan bahawa
ada seorang wanita bernama Noura Al-Taqaqa. Dia merupakan penyanyi utama
merangkap sebagai ketua sebuah kumpulan kugiran klasik terkenal yang sering
diundang untuk membuat persembahan nyanyian pada majlis perkahwinan orang kaya
serta kenamaan.
Kisah sebenar bagaimanapun bermula apabila kumpulan kugiran
klasik yang diketuai oleh Noura itu tiba-tiba menyepi dan enggan lagi untuk
meneruskan lagi membuat persembahan mereka mengikut jadual yang sedia ada.
Semua tempahan persembahan dan wang deposit yang diterima sebelum ini telah
dikembalikan kepada pelanggan. Kumpulan Noura tersebut dikhabarkan tidak lagi
akan membuat persembahan nyanyian atas sebab yang tidak diketahui. Noura bahkan
menolak untuk ditemu ramah oleh mana-mana pihak media sekaligus menimbulkan
pelbagai desas-desus cerita mengenai kumpulannya terutama cerita mengenai
gangguan jin yang mereka alami sewaktu membuat persembahan.
Diringkaskan cerita yakni pada beberapa bulan berikutnya,
ada seorang wartawan telah berjaya menelefon Noura. Menerusi perbualan telefon
itu, Noura akhirnya bersetuju untuk ditemu bual dengan syarat sesi temu bual
tersebut mesti dijalankan secara rakaman audio sahaja. Setelah mencapai
persetujuan bersama, maka wartawan berkenaan pun pergi ke rumah mewah Noura.
Saat wartawan itu melangkah masuk ke dalam rumah Noura, dia terus terhidu bau
kemenyan. Pembantu rumah Noura kemudian membawa wartawan tersebut memasuki ke
dalam bilik pejabat Noura di mana dinding bilik itu hampir dipenuhi dengan
bingkai tulisan ayat-ayat suci Al-Quran.
Tidak lama selepas itu, muncullah seorang wanita bertubuh
badan kurus ke dalam biik berkenaan. Apabila wartawan tersebut merenung tepat
wajah wanita itu, barulah dia menyedari bahawa wanita berbadan kurus tersebut
di duduk di depannya itu sebenarnya adalah Noura yang dahulunya jauh lebih
berisi. Maka sesi temu bual pun bermula. Noura sempat memberikan amaran kepada
wartawan itu supaya tidak sesekali menokok tambah pada cerita yang keluar
daripada mulutnya. Kata Noura, cerita tersebut adalah kisah benar yang telah
menyebabkan semua anggota kumpulannya untuk berehat buat selama-lamanya
daripada membuat sebarang persembahan.
***
Pada satu hari, aku telah mendapat sebuah panggilan telefon daripada seorang wanita tua yang tidak dikenali. Wanita tua itu telah meminta aku untuk membuat persembahan sempena majlis perkahwinan anak perempuannya pada malam hari panggilan telefon tersebut dibuat. Pada mulanya, permintaan itu terpaksa aku tolak memandangkan hari tersebut adalah hari cuti untuk kumpulan kami. Dalam erti kata lain, hari itu adalah hari kami untuk berehat. Walau bagaimanapun, wanita tua tersebut terus mendesakku untuk menyatakan persetujuan membuat persembahan memandangkan anak perempuannya itu adalah peminat setiaku. Aku akhirnya bersetuju kerana berasa begitu bersimpati terhadap wanita tua tersebut biarpun pada masa sama aku sebenarnya rasa tidak sedap hati. Tanpa berlengah, aku menghubungi anggota kumpulanku untuk membuat persediaan awal.
Lebih kurang pukul 9 malam, kami semua pun tiba di lokasi
rumah pengantin yakni sebuah rumah agam besar. Kedatangan kami pada waktu itu
telah disambut oleh seorang lelaki tua yang memperkenalkan dirinya sebagai bapa
kepada pengantin. Sebelum persembahan dimulakan, kami semua pun dibawa masuk ke
dalam sebuah bilik rehat yang terletak di tingkat satu. Tatkala kami semua
sedang sibuk melakukan persiapan di dalam bilik rehat tersebut, seorang wanita
tua tiba-tiba saja muncul. Wanita tua itu kemudian datang kepada aku dan
menghulurkan tangannya sebagai tanda untuk bersalam. Sewaktu bersalaman, aku
dapat melihat dengan begitu jelas sekali bibirnya yang sangat pucat. Tangannya
pula terasa keras dan sejuk. Sekali lagi, aku jadi berasa tidak sedap hati dan
terus seram sejuk dibuatnya.. Wanita tua tersebut tidak lain tidak bukan wanita
yang menelefonku pada waktu siang tadi. Selesai berborak dengan kami semua, wanita
tua itu pun melangkah keluar dari bilik rehat. Namun tidak lama selepas itu,
muncul pula sekumpulan gadis remaja ke dalam bilik rehat tersebut untuk
berborak serta bersalaman dengan kami semua. Sesudah kumpulan gadis itu beredar
pergi, ada seorang wanita anggota kumpulanku yang bernama Sham telah
menghampiriku lalu berbisik kepadaku. Bisik Sham, dia berasa tidak sedap hati
sewaktu kedatangan wanita tua dan kumpulan gadis remaja ke dalam bilik mereka. Manakan
tidak, bilik rehat tersebut tiba-tiba menjadi panas semacam. Bukan Sham seorang
berasa sedemikian, ada lagi beberapa orang anggota kumpulan merasakan perkara
yang sama. Aku yang berlagak tenang bagaimanapun cuba menenangkan semua anggota
kumpulan dengan mengatakan bahawa tiada apa yang perlu dirisau.
***
Kami pun memulakan aksi persembahan di ruang besar rumah agam tersebut. Ratusan tetamu sudah pun bersedia untuk menyaksikan persembahan kami. Aku rasa majlis perkahwinan inilah majlis perkahwinan paling gah yang pernah aku hadiri. Cuma ada beberapa benda pelik pada pandangan mataku. Pertama, pelamin yang berbentuk patung kepala manusia dengan keadaan mulut sedang ternganga luas. Dalam mulut patung itu, kelihatan pasangan pengantin yang duduk saling bertentangan antara satu sama lain. Sedikit pun mereka tidak bergerak apatah lagi untuk memandang tetamu. Pengantin lelaki memakai pakaian ala zaman pemerintahan Uthmaniyah manakala pengantin wanita pula bergaun hitam. Tetamu? Mata mereka semua tidak lekang daripada memerhatikan kami. Apabila persembahan dimulakan, tetamu-tetamu tersebut pun mula menari dan ikut serta menyanyi. Ada antara mereka yang kelihatan sangat bengis dan ada juga tidak berhenti senyum sambil menjeling kami dengan renungan yang tajam sekali.
Tamat sesi persembahan pertama, kami pun berehat seketika di
bilik rehat. Pada waktu inilah kepala aku tiba-tiba berasa pening. Disebabkan
itu, aku pun keluar dari bilik rehat tersebut untuk berehat di bilik lain
secara bersendirian buat seketika. Apa yang aku lakukan adalah menuju ke
tingkat dua rumah agam tersebut. Sampai di tingkat dua rumah itu, aku mendapati
terdapat sebuah bilik yang tidak berkunci. Tanpa berfikir panjang, aku pun
terus memasuki ke dalam bilik tersebut yang dilengkapi dengan sebuah katil lama
itu. Saat berbaring di atas katil tersebut, mataku menjadi semakin layu hingga
membuatkan aku tertidur. Waktu tertidur inilah aku bermimpi tentang kemunculan
seorang wanita berbaju hitam yang mengejarku tanpa henti. Apa yang pasti, wajah
wanita itu sememangnya begitu menakutkan. Belum sempat dia dapat menangkapku, aku
terus terbangun. Aku yang diselubungi dengan rasa ketakutan bergegas untuk
keluar dari pintu bilik tersebut. Namun pintu bilik itu tiba-tiba saja tidak
dapat untuk dibuka, seakan dikunci dari luar. Pada masa sama, aku dapat
merasakan ada seseorang yang sedang berdiri di belakangku. Aku pejamkan mata,
lalu ku bacakan ayat-ayat suci Al-Quran. Syukur Alhamdulillah, pintu bilik
tersebut akhirnya dapat dibuka.
Baru saja keluar dari pintu bilik itu, aku sekali lagi
diuji. Kali ini, aku ternampak kelibat seorang budak lelaki di tingkat dua
tersebut. Sebaik saja budak lelaki itu melihatku, dia pantas melarikan diri.
Entah mengapa, aku terlampau ikutkan kata hatiku untuk mengejar budak lelaki
tersebut yang berlari menuju hingga ke tingkat tiga. Sampai di tingkat tiga
itu, alangkah terkejutnya aku apabila mendapati tingkat tiga rumah tersebut
dalam keadaan usang, jauh berbeza sekali daripada tingkat dua dan satu. Lagi
pelik, budak lelaki yang aku kejar itu sudah pun hilang dari pandangan mata. Jadi
aku pun membuat keputusan untuk turun semula ke tingkat satu. Sewaktu menuruni
anak tangga, telinga aku tiba-tiba dapat menangkap bisikan satu suara halus
yang memanggil namaku secara berulang kali.
“Noura....Noura....Noura...Noura...”
Mendengar suara tersebut, aku lajukan langkah kakiku memijak tangga. Belum sempat sampai di tingkat bawah, kaki aku tiba-tiba ditarik hingga menyebabkanku jatuh serta-merta. Masa terbaring di kawasan tangga itu, aku sempat mendengar satu lagi suara halus yang menyuruhku menyanyi.
“Nyanyi...Nyanyi...Nyanyi...Nyanyi...”
Sekali lagi, aku pejamkan mata dan baca ayat-ayat suci
Al-Quran. Alhamdulillah berkat doaku, aku berjaya bangun semula sebelum lekas
menuju ke bilik rehat. Masuk saja di dalam bilik rehat tersebut, aku melihat
semua anggota kumpulanku sedang mengerumi Sham yang dalam keadaan menangis
teresak-esak. Apabila ditanya tentang puncanya menangis, Sham menceritakan
bahawa dia telah terkena satu gangguan di tingkat dua rumah agam itu. Cerita
Sham, dia pada mulanya mencari aku yang sedang berehat pada di tingkat dua pada
waktu tersebut untuk memberitahu bahawa masa rehat telah pun tamat. Sewaktu
pencarian itu, Sham ada terdengar suaraku dari sebuah bilik yang ada di tingkat
dua tersebut. Apabila dibuka pintu bilik itu, tiada sesiapa pun yang berada di
situ. Sham kemudian menyedari ada satu susuk tubuh wanita yang sedang berdiri
di penjuru tingkat dua itu. Apa yang menakutkan Sham, badannya tiba-tiba
bergerak sendiri menuju ke arah wanita tersebut. Perkara ini bermaksud Sham
seperti ditarik dari jauh. Semakin dekat Sham pada wanita itu, semakin laju
jantungnya berdegup.
“Fappppp...”
Kedengaran bunyi tamparan pada pipi Sham hingga
menyebabkannya jatuh tersungkur. Ya, Sham ditampar makhluk tersebut. Sama
seperti yang aku amalkan, Sham memejam mata lalu membaca ayat-ayat suci
Al-Quran. Sham mendapat kekuatan untuk bangun sebelum melarikan diri dari tingkat
dua itu. Dalam keadaan kelam-kabut itu, Sham sempat bertembung dengan satu
lembaga berbadan besar yang menengkingnya supaya beredar pergi dari kawasan
tingkat dua tersebut yang sememangnya tidak boleh dinaiki oleh orang biasa.
Setelah puas bercerita, Sham menyuruh aku untuk menghentikan
persembahan dengan kadar segera dan terus pulang ke rumah masing-masing. Aku bagaimanapun
tidak bersetuju dengan permintaan Sham kerana aku sedar ada sesuatu yang tidak
kena di rumah agam itu. Jadi, persembahan pun tetap diteruskan. Cuma
lama-kelamaan, semakin ramai tetamu yang hadir. Mereka semua semakin rancak
menari dan menyanyi hingga suara nyanyian kami tenggelam. Saat paling
menakutkan, ada antara tetamu tersebut terlalu seronok menari sampai terselak kain
hingga menampakkan kaki mereka yang menyerupai kaki kambing. Sah! Kami
sebenarnya beraksi di depan ratusan jin. Sampai satu tahap, Sham yang semakin
ketakutan telah jatuh pengsan. Kami pun segera membawa Sham masuk ke dalam
bilik rehat. Selepas Sham kembali sedar daripada pengsannya, puas dia merayu
kepadaku supaya kami segera pulang. Aku sedar bahawa langkah sedemikian akan
memakan diri kami semua. Setakat yang
kami boleh lakukan adalah dengan meneruskan saja persembahan hingga menjelang
waktu Subuh. Aku meminta semua anggota kumpulanku untuk menyanyi dan memainkan
alat muzik dengan menundukkan kepala ke bawah termasuk si Sham yang disuruh
untuk berbaring di sebelahku. Pesanku lagi, jangan direnung wajah tetamu yang
sakan menari serta menyanyi ikut serta bersama mereka itu.
***
Makin lama, makin riuh suasana. Kami tetap terus menyanyi
biarpun sudah kepenatan dan suara pun menjadi kian sumbang. Aku juga dapat
merasakan bahawa semua tetamu yang sedang bersuka-ria tersebut masih mengharapkan
kami akan memandang wajah mereka. Kekal fokus! Sempatku laungkan kepada semua
anggota kumpulanku. Berkumandang saja azah Subuh, satu demi satu tetamu itu
menghilang. Kesempatan ini diambil oleh kami semua untuk meninggalkan rumah agam
tersebut dengan tergesa-gesa. Kesudahan cerita, kami semua berjaya keluar dari
rumah agam itu dalam keadaan selamat. Syukur Alhamdulillah. Cumanya beberapa
bulan selepas insiden menyeramkan tersebut, Sham telah meninggal dunia atas
sebab yang tidak diketahui. Sebelum menemui ajalnya, Sham sempat memberitahuku
bahawa dia sering mengalami kejadian penampakan makhluk halus. Lagi seram, aku
sendiri ada ternampak seorang wanita tua sewaktu hari pengkebumian Sham. Tahu
siapa wanita tua itu? Wanita tua yang menelefonku pada hari kejadian!
Catat Ulasan for "KISAH NOURA AL-TAQAQA : Wanita yang Menyanyi di Depan Ratusan Jin"