Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

PENJELASAN KES AQUA CHOW, JURULATIH YOGA CANTIK YANG MATI DIBUNUH DENGAN KEJAM OLEH BEKAS TEMAN LELAKI

    Pada penghujung bulan Jun lepas, negara Hong Kong telah digemparkan dengan berita kematian seorang wanita jurulatih yoga terkenal iaitu Zhou Huixian atau lebih dikenali sebagai Aqua Chow yang dipercayai mati akibat dibunuh dengan kejam oleh bekas teman lelakinya. Jadi apakah punca sebenar pembunuhan tersebut berlaku dan bagaimana dengan kronologi kejadian?

    30 Jun 2022 sepatutnya adalah hari Aqua dijadualkan menaiki penerbangan ke Amerika Syarikat bagi mengikuti kursus yoga di sana selama tiga bulan. Namun apa yang berlaku kemudian, Aqua yang mempunyai lebih daripada 50 ribu orang pengikut di laman Instagram dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas dia gagal untuk dihubungi sama sekali. Menerusi pemeriksaan awal pada rakaman kamera litar tertutup di bangunan apartment kediaman Aqua, dia didapati telah keluar bersama dengan seorang lelaki. Hasil semakan lain, tiada sebarang rekod yang menunjukkan Aqua menaki penerbangan seperti yang dijadual pada hari berkenaan. Malah beg pakaian untuk Aqua bawa pergi ke Amerika Syarikat masih berada dalam apartment kediamannya itu.

    Pada hari sama kehilangan Aqua, bekas teman lelakinya yang dikenali sebagai Lao Nan telah pergi ke balai polis Wong Tai Sin bersama dengan peguamnya untuk menyerahkan sekeping kad akses bilik hotel kepada pihak polis. Susulan daripada serahan kad tersebut, pihak polis pun terus bergegas menuju ke sebuah hotel mewah yang menjadi tempat penginapan Aqua pada sehari sebelum kejadian. Di dalam bilik hotel itu, pihak polis telah menemui mayat Aqua terbaring di dalam tab dengan tubuh badannya mempunyai lebih daripada 30 kesan tikaman. Turut ditemui di lokasi kejadian adalah sebilah pisau berukuran 27 sentimeter yang diyakini sebagai senjata utama pembunuhan selain barangan peribadi milik Aqua seperti dompet. Telefon pintar Aqua pula berkemungkinan besar sudah dibuang oleh pelaku bagi tujuan penghapusan bukti.

    Hasil laporan forensik, punca kematian Aqua adalah akibat tikaman pisau sedalam 8 sentimeter pada bahagian dada kiri dan tekaknya. Sementara itu, Lao Nan telah pun ditangkap kerana disyaki melakukan pembunuhan terancang. Berdasarkan siasatan, bilik hotel tersebut ditempah Lao Nan selama dua hari yakni bermula dari 28 Jun 2022. Hingga setakat ini, Lao Nan masih lagi belum membuat sebarang pengakuan tentang pembunuhan itu. Lao Nan dan Aqua sebelum ini pernah menjalinkan hubungan. Mereka berdua bagaimanapun telah berpisah pada bulan Disember 2021. Selepas perpisahan tersebut, Lao Nan pernah ditangkap kerana melakukan ugutan terhadap Aqua. Lao Nan jugalah merupakan individu yang dilihat keluar bersama Aqua dalam rakaman litar tertutup itu pada sehari sebelum kejadian. Masih tidak jelas mengapa Aqua mengikut Lao Nan pada hari itu. Cumanya boleh jadi sama ada hati Aqua kembali terbuka untuk menerima Lao Nan semula atau Aqua bersetuju untuk bertemu dengan Lao Nan buat kali terakhir. 

Catat Ulasan for "PENJELASAN KES AQUA CHOW, JURULATIH YOGA CANTIK YANG MATI DIBUNUH DENGAN KEJAM OLEH BEKAS TEMAN LELAKI"