Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SAMANTHA RUNNION

    Pada lewat petang 15 Julai 2002 bertempat di California, Amerika Syarikat, seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun iaitu Samantha Runnion sedang bermain di kawasan luar rumahnya bersama dengan rakannya yang bernama Sarah. Sewaktu Samantha dan Sarah sedang bermain itu, tiba-tiba ada sebuah kereta berwarna hijau telah berhenti berdekatan dengan mereka. Tidak lama kemudian, seorang lelaki dewasa keluar dari kereta tersebut lalu berjalan menghampiri Samantha. Lelaki itu telah mengajukan pertanyaan samada Samantha ada melihat anak anjing peliharaannya berkeliaran di kawasan situ. Belum sempat Samantha menjawab, dia tiba-tiba diheret masuk oleh lelaki tersebut ke dalam keretanya. Melihat keadaan itu, Sarah terus bergegas berlari mendapatkan ibunya untuk memberitahu tentang penculikan tersebut.

    Operasi pencarian Samantha seterusnya dijalankan secara besar-besaran oleh pihak polis dengan turut disertai oleh anggota sukarelawan. Namun apa yang benar-benar menyedihkan yakni sehari selepas kehilangan Samantha, mayatnya yang dalam keadaan berbogel serta dipenuhi dengan kesan leba telah ditemui di kawasan terpencil yang terletak kira-kira 80 kilometer dari tempatnya diculik.  Hasil laporan forensik, Samanth yang telah menjadi mangsa rogol dipercayai meninggal dunia akibat hentakan pada bahagian kepala selain patah leher. Waktu kematiannya dianggarkan pada sekitar jam 8 malam hingga 2 pagi sesudah penculikannya.

    Berdasarkan lakaran wajah suspek seperti yang digambarkan Sarah dan siasatan yang pihak polis jalankan, mereka tidak memerlukan masa lama untuk melakukan penangkapan terhadap suspek itu. Suspek berkenaan dikenal pasti sebagai sebagai Alejandro Avila, 27 tahun. Pada waktu itu, dia didapati tinggal bersama dengan kakaknya di bangunan apartment yang sama dengan Samantha. Semakan pihak polis juga mendapati bahawa Alejandro pernah didakwa atas kesalahan mencabul dua orang gadis di bawah umur. Walau bagaimanapun, dia telah dibebaskan daripada dakwaan tersebut atas sebab yang tidak dapat untuk dipastikan. Menurut keterangan daripada salah seorang kanak-kanak yang pernah menjadi mangsa cabulnya, Alejandro gemar untuk menyentuh dan mencium bahagian kemaluannya. Lebih dahsyat, lelaki pedofilia itu adakala memasukkan tiub ke dalam kemaluan mangsanya.

    Pada mulanya, Alejandro membuat penafian terhadap sebarang penglibatannya dengan kes kematian Samantha. Menerusi siasatan pihak polis, mereka mendapat maklumat mengenai Alejandro yang dikatakan sudah arif dengan selok-belok lokasi penemuan mayat Samantha. Pihak polis juga ada menemui bahan pornografi dalam komputer riba yang ada di rumah kakak Alejandro. Apa yang dapat dipastikan, komputer riba tersebut sering digunakan oleh Alejandro. Bukti yang lebih mengukuhkan, DNA Samantha juga telah dikesan pada pintu kereta Alejandro manakala DNA Alejandro pula ada di kuku Samantha. Pihak polis meyakini bahawa Alejandro menunggu hari menjadi gelap untuk merogol dan membunuh Samantha.

    Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes tahun 2005, Alejandro yang didapati bersalah atas melakukan penculikan, rogol dan pembunuhan terhadap Samantha telah diperintahkan oleh pihak juri untuk menjalani hukuman mati. Hingga setakat ini, dia dilaporkan masih menanti pelaksanaan hukuman mati tersebut di penjara San Quentin State Prison di Marin County, California.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SAMANTHA RUNNION "