KISAH PEMBUNUHAN KEJAM STEVEN DAVIS : Menantuku Syaitan
Dari kiri gambar : Margaret, suami Margaret (suami kedua), Steven dan Evelyn |
Pada malam 17 Julai 2002 bertempat di dalam sebuah apartment
yang berlokasi di bandar Makati, Filipina, seorang lelaki berusia 32 tahun
dikenali sebagai Steven Davis berehat bersama dengan seorang rakannya iaitu Martin.
Namun tidak lama kemudian, apartment itu tiba-tiba telah diceroboh masuk oleh
sekumpulan lelaki yang lengkap bersenjata api. Kumpulan penceroboh tersebut
seterusnya melepaskan beberapa das tembakan kepada Steven sebelum mereka semua bergegas
melarikan diri. Sementara itu, Martin pula langsung tidak dicederakan sama
sekali. Steven yang mengalami kecederaan parah akibat tembakan tersebut telah
disahkan meninggal dunia di hospital.
Jadi, apa sebenarnya yang berlaku pada malam itu? Siapakah
kumpulan penceroboh tersebut dan apakah motif mereka membunuh Steven?
Mengenai Steven, dia merupakan seorang ahli perniagaan kaya-raya yang berasal dari negara England. Steven telah menggalas tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga sejak dari remaja lagi berikutan kematian bapa kandungnya semasa dia masih kecil. Steven digambarkan sebagai seorang anak yang baik dan begitu penyayang terhadap ibu serta adik-beradik perempuannya. Pada usianya 21 tahun, Steven telah berhijrah ke negara Hong Kong kerana mendapat tawaran pekerjaan dengan gaji yang sangat lumayan. Sewaktu bekerja di Hong Kong, Steven sering pergi berhibur di sebuah bar yang terletak di Filipina. Di bar itulah Steven mula mengenali dan jatuh cinta terhadap seorang gadis penari muda berasal daripada keluarga miskin yang bernama Evelyn. Tidak lama setelah perkenalan tersebut, Steven dan Evelyn akhirnya sah menjadi pasangan suami isteri. Hasil perkahwinan itu, pasangan suami isteri tersebut dikurniakan dua orang cahaya mata yakni seorang lelaki dan seorang perempuan.
Pada awal perkenalan Steven dan Evelyn, Margaret yang juga merupakan ibu kepada Steven tidak begitu menggemari Evelyn. Sudah naluri seorang ibu, Margaret dapat merasakan bahawa Evelyn bukanlah calon sesuai untuk Steven jadikan sebagai seorang isteri. Walau bagaimanapun, Margaret tetap cuba untuk bersangka baik. Beberpa bulan sebelum kematian Steven, rumah tangganya dengan Evelyn sudah semakin retak. Steven dikatakan lebih suka menghabiskan masa untuk melepak bersama dengan rakan-rakannya berbanding tinggal di rumah. Punca Steven bersikap sedemikian rupa adalah kerana wang miliknya kerap hilang selain perangai Evelyn yang semakin gemar untuk keluar dari rumah berbanding menjaga anak-anak mereka. Lagi menyakitkan hati Steven dan ibunya, Evelyn diketahui menjalinkan hubungan sulit dengan seorang lelaki pengawal keselamatan bernama Arnold Adoray. Lebih dahsyat, Evelyn sanggup menggadaikan cincin perkahwinannya hanya semata-mata untuk mendapatkan wang demi berjoli bersama Arnold. Sampai satu tahap, Steven mengugut Evelyn untuk tidak lagi memberikan wang nafkah. Jauh di sudut hati Steven, dia masih benar-benar menyayangi Evelyn.
Berbalik dengan siasatan awal pembunuhan Steven, pihak polis Filipina beranggapan bahawa Steven berkemungkinan besar telah dibunuh oleh musuh perniagaannya. Teori ini bagaimanapun ditentang hebat oleh Margaret yang mengesyaki menantunya sendiri adalah dalang utama pembunuhan. Disebabkan polis Filipina yang dilihat tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Evelyn, Margaret sanggup berpindah ke Filipina buat sementara waktu bagi membuktikan dakwaannya ini dengan menjalankan siasatan tersendiri. Kasih sayang seorang ibu, Margaret sanggup berhabis wang demi menegakkan keadilan untuk Steven hinggakan terpaksa menggadai rumahnya. Wang yang diperolehi Margaret tersebut digunakannya untuk mengupah penyiasat persendirian, urusan ulang-alik ke Filipina, upah peguam dan lain-lain lagi urusan.
Pengorbanan Margaret ternyata tidak sia-sia apabila pihak polis Filipina akhirnya menangkap tiga orang lelaki yang dipercayai sebagai suspek dalam kes pembunuhan Steven. Penangkapan itu dibuat adalah hasil maklumat yang disalurkan oleh penyiasat persendirian upahan Margaret. Pengecaman pula dibuat oleh Martin. Identiti ketiga-tiga suspek tersebut dikenal pasti sebagai Arnold Adoray, Robin Butas dan Alexander Dagami. Arnolnd dan Alexander yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun. Robin diberikan hukuman ringan atas kerjasama yang diberikannya dalam memberikan maklumat perincian mengenai penglibatan Evelyn dalam kes pembunuhan suaminya itu. Menurut Robin, Evelyn merancang segala-galanya dari awal hingga akhir di mana dia turut memberitahu lokasi dan menyerahkan kunci pendua apartment pejabat Steven. Selepas pendedahan Robin tersebut, Evelyn telah menyembunyikan diri akan tetapi tempat persembunyian itu dapat dikesan sekaligus menyebabkannya berjaya untuk ditangkap.
Pada perbicaraan kes tahun 2004, Evelyn yang didapati bersalah telah menerima hukuman penjara selama 40 tahun tanpa sebarang kemungkinan pembebasan bersyarat. Evelyn boleh saja untuk dihukum mati tetapi hukuman tersebut tidak dipersetujui Margaret kerana dia ingin bekas menantunya itu menderita atas perbuatan jahatnya. Berkenaan anak Steven, kedua-dua mereka dijaga oleh Margaret. Empat tahun selepas pemergian Steven, Margaret telah menerbitkan sebuah buku berjudul “For the Love of My Son, ‘A mother's harrowing journey in search of justice.’” Buku tersebut adalah berkisarkan pengalaman Margaret dalam menyelesaikan kes pembunuhan Steven.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM STEVEN DAVIS : Menantuku Syaitan"