MAYAT KANAK-KANAK PEREMPUAN DI DALAM BEG PAKAIAN, DISYAKI JADI MANGSA PEMBUNUHAN
PERANCIS – Pihak polis telah menangkap seorang wanita Algeria
berusia 24 tahun yang dikenali sebagai Dahbia B. selepas disyaki melakukan
pembunuha kejam terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun
baru-baru ini. Penangkapan tersebut dilakukan oleh pihak polis di rumah kakak suspek
yang terletak di Bois-Colombes, selatan Paris. Identiti Dahbia sebagai suspek
berjaya dikenal pasti susulan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup di
sekitar lokasi kejadian. Dia yang dipercayai mempunyai masalah mental berdepan
dengan pertuduhan membunuh, merogol dan menyeksa kanak-kanak bawah umur 15
tahun. Turut ditahan bagi membantu siasatan adalah seorang lelaki berusia 43
tahun.
Pihak media sebelum ini melaporkan bahawa mangsa yang dikenal
pasti sebagai Lola Daviet telah ditemui di dalam sebuah beg pakaian berdekatan
dengan blok pangsapuri tempatnya tinggal. Mayat Lola dilaporkan berada dalam
kaki serta tangan terikat manakala mulutnya disumbat dengan kain. Lagi dahsyat,
dada Lola ditoreh dengan tulisan angka nombor 1 dan 0. Bukti forensik setakat
ini menunjukkan Lola yang menjadi mangsa penculikan telah diseksa serta dirogol
terlebih dahulu sebelum dicekik dan dikelar bahagian lehernya. Punca kematian
Lola bagaimanapun disahkan akibat sesak nafas.
Ibu bapa Lola membuat laporan kehilangan Lola pada hari Jumaat minggu lepas. Laporan itu dibuat usai Lola didapati langsung tidak pulang ke rumah selepas waktu sesi persekolahannya tamat. Menerusi rakaman kamera litar tertutup, Lola dilihat telah mengusung beg sekolahnya menuju ke blok pangsapuri bersama dengan Dahbia. Terdapat seorang saksi mendakwa ada melihat Dahbia mengheret beg pakaian sesudah itu. Dahbia disyaki berniat untuk menjual bahagian tertentu badan mayat Lola. Seorang lelaki gelandangan kemudian telah menemui beg pakaian yang mengandungi mayat Lola tersebut lalu terus menghubungi pihak polis bagi memaklumkan tentang perkara berkenaan.
Buat masa sekarang, pihak polis masih menyiasat motif sebenar pembunuhan itu.
Catat Ulasan for "MAYAT KANAK-KANAK PEREMPUAN DI DALAM BEG PAKAIAN, DISYAKI JADI MANGSA PEMBUNUHAN"