Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH BENAR DI SEBALIK FILEM THE GOOD NURSE : Charles Cullen, Jururawat Pencabut Nyawa

    Netflix baru saja menayangkan filem drama jenayah terbaru yang berjudul The Good Nurse. Filem ini diadaptasi daripada kisah benar tentang seorang jururawat lelaki bernama Charles Cullen yang telah membunuh seramai 40 orang pesakit di hospital tempatnya bekerja. Namun jumlah sebenar mangsa yang dibunuh lelaki ini dari tahun 1987 hingga 2003 dipercayai sekitar 400 orang sekaligus menjadikannya sebagai salah seorang pembunuh bersiri paling prolifik dalam sejarah di Amerika Syarikat.

Charles Cullen

    Charles Cullen dilahirkan di New Jersey pada tahun 1960. Bapa Charles meninggal dunia ketikanya masih bayi lagi. Sewaktu Charles berusia 17 tahun, giliran ibunya pula pergi buat selama-lamanya akibat kemalangan kereta. Charles pernah menjadi anggota tentera laut Amerika Syarikat akan tetapi terpaksa ditamatkan perkhidmatan pada tahun 1984 setelah dia didapati melakukan percubaan bunuh diri. Tiga tahun kemudian, Charles berjaya menamatkan pengajiannnya di sebuah kolej kejururawatan. Kehidupan Charles nampak sempurna apabila dia berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai jururawat dan berkahwin dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Adrienne Taub. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu mempunyai dua orang anak. Rumah tangga Charles dan Adrienne tidak berpanjangan apabila mereka sah bercerai pada tahun kelima perkahwinan mereka.

    Sepanjang 16 tahun tempoh karier Charles sebagai jururawat, dia telah bekerja di beberapa buah hospital dan rumah kebajikan. Modus operandi Charles, mangsanya dibunuh menerusi cara suntikan insulin dan Digoxin dengan kadar dos yang tinggi selain menyembunyikan ubat-ubatan mereka. Kebanyakan mangsa Charles tersebut merupakan pesakit yang bukan berada di bawah penjagaannya. Sepandai-pandai tupai melompat, jatuh ke tanah jua akhirnya. Begitulah juga dengan nasib Charles.

Babak dalam filem The Good Nurse

    Sisi gelap Charles mula terbongkar pada tahun 2003 yakni sewaktu dia bekerja di Pusat Perubatan Somerset, Sommerville di mana seorang pesakit bernama Florian Gall dilaporkan tiba-tiba meninggal dunia akibat serangan jantung sedangkan pemeriksaan pada waktu sebelum itu menunjukkan keadaannya semakin beransur pulih. Selepas siasatan dijalankan, Florian didapati disuntik dengan Digoxin secara dos berlebihan. Rentetan daripada perkara tersebut, Amy Loughren iaitu rakan sekerja Cullen di pusat perubatan itu telah disoal siasat oleh pihak polis bagi membantu siasatan. Sesudah Amy ditunjukkan dokumen yang berkaitan tentang pembunuhan yang Charles lakukan, dia bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak polis bagi mendapatkan bukti serta pengakuan daripada Charles sendiri. Sebelum Amy memulakan siasatan, dia dan Charles pada waktu sebelumnya merupakan kawan baik. Kedua-dua mereka sering berkongsi masalah kehidupan masalah masing-masing dan saling bantu-membantu antara satu sama lain. Ini termasuklah kesanggupan Charles untuk menjaga dua orang anak perempuan Amy sewaktu rakannya itu berada dalam keadaan tidak sihat.


    Charles akhirnya telah ditangkap pada 12 Disember 2003. Pada hari penangkapan tersebut dibuat, Amy ditugaskan oleh pihak polis bagi menemani Charles di sebuah restoran.Waktu itu, Amy yang  disuruh untuk memakai wayar peralatan perakam suara bagi tujuan merakam pengakuan daripada Charles. Walaupun Charles tidak membuat sebarang pengakuan sewaktu sesi perbualan dalam restoran tersebut, pihak polis sudah mempunyai bukti lain yang kukuh untuk menangkap Charles. Charles mengaku telah membunuh pesakit sekitar dari 30 hingga 40 orang. Seperti yang dijelaskan pada perenggan pertama artikel, pihak polis mempercayai  jumlahsebenar pesakit hospital yang dibunuh Charles adalah lebih dari 400 orang. Dia bagaimanapun hanya didapati bersalah untuk 29 pertuduhan membunuh sebelum diperintahkan oleh pihak mahkamah untuk menjalani 11 hukuman penjara seumur hidup. Tidak dapat dipastikan juga motif sebenar pembunuhan Charles biarpun dia ada membuat dakwaan perbuatan jahatnya itu bertujuan untuk menamatkan kesengsaraan yang dialami oleh pesakit. Kesangsian terhadap perkara tersebut timbul kerana ada segelintir mangsa yang Charles bunuh tidak mempunyai sebarang komplikasi penyakit teruk.

Catat Ulasan for "KISAH BENAR DI SEBALIK FILEM THE GOOD NURSE : Charles Cullen, Jururawat Pencabut Nyawa"