KISAH BENAR DI SEBALIK FILEM THE WATCHER
Siri televisyen terbaru daripada Netflix bergenre misteri
iaitu The Watcher merupakan satu kisah benar tentang sebuah keluarga yang telah
menjadi mangsa hendap oleh individu hanya dikenali sebagai The Watcher. Kisah The Watcher ini pada asalnya ditulis oleh
seorang wartawan bernama Reeves Wiedeman sebelum disiarkan dalam ruangan
Majalah New York The Cut terbitan bulan November 2018. Keluarga yang menjadi
mangsa The Watcher itu adalah keluarga Broaddus di mana keluarga tersebut mula
mendapat surat misteri selepas menjalankan proses pengubahsuaian rumah yang
baru mereka beli itu. Keluarga Broaddus dilaporkan mula membeli rumah yang
beralamat 657 Boulevard, Westfield, New Jersey tersebut dengan harga sebanyak
$1.3 juta.
Kisah bermula pada bulan Jun 2014 apabila Derek Broaddus
pergi memeriksa peti surat di depan rumah baru mereka itu. Dia seterusnya
mendapati terdapat satu surat misteri kiriman The Watcher dalam peti surat
tersebut. Menerusi kandungan tulisan dalam surat yang membuatkan bulu roma
Derek meremang itu, The Watcher ternyata mengalu-alukan kedatangan keluarga
Derek. Jelas The Watcher lagi, rumah yang Derek duduki tersebut telah diawasi
sejak dari tahun 1920-an dulu yakni bermula daripada datuk The Watcher.
Keluarga Broaddus kemudian mula berasa terganggu selepas membaca surat-surat yang dikirimkan oleh The Watcher pada waktu berikutnya. Apa yang membuatkan Derek dan isterinya iaitu Maria menjadi semakin hidup dalam ketakutan adalah fakta The Watcher mengetahui serba-serbi mengenai identiti dan segala aktiviti yang mereka jalankan di rumah itu. Perkara ini bermaksud pergerakan keluarga Broaddus seolah-olah sentiasa diperhatikan oleh The Watcher. Derek pernah membuat laporan polis tentang The Watcher tersebut. Walau bagaimanapun, tiada apa-apa yang boleh pihak polis lakukan kerana tiada sebarang bukti penting dapat mereka perolehi. Malah Derek telah membuat pengakuan bahawa dia tidak mempunyai sebarang musuh.
Keluarga Broaddus |
Derek dan isterinya turut pernah menghubungi pemilik rumah tersebut pada waktu sebelumnya secara e-mel untuk mendapatkan kepastian berkenaan dengan surat The Watcher. Menurut pemilik rumah sebelum itu, mereka tidak pernah menerima surat daripada The Watcher pada sepanjang tempoh 23 tahun menetap di rumah tersebut. Cuma pada hari terakhir pasangan itu berada di rumah tersebut, mereka mendakwa ada menerima sepucuk surat daripada The Watcher. Surat itu bagaimanapun telah dibuang begitu saja. Susulan gangguan daripada The Watcher, Derek mengambil pendekatan tersendiri dengan memasang kamera litar tertutup selain mengupah penyiasat persendirian termasuk bekas ejen FBI untuk menyiasat kes itu namun tetap menemui jalan buntu. Seperkara lagi harus diketahui, pihak polis mempunyai rekod penangkapan terhadap seorang lelaki yang dipercayai sebagai The Watcher. Lelaki yang bernama Michael Langford tersebut bagaimanapun dibebaskan semula berikutan tiada sebarang bukti untuk mengaitkannya sebagai The Watcher. Ada jiran-jiran lain yang berdekatan juga disyaki sebagai The Watcher akan tetapi sama seperti kes Michael Langford, tiada bukti bagi membuktikan dakwaan itu.
Dek kerana sudah tidak tahan dengan gangguan daripada The Watcher, Derek dan Maria akhirnya membuat keputusan untuk menjual rumah tersebut pada tahun 2019. Pasangan itu menanggung kerugian kerana terpaksa menjual rumah tersebut dengan harga sekitar $900 000, kurang $400 000 daripada jumlah pembelian asal. Tidak dapat dipastikan samada pemilik baru rumah itu pernah menerima surat daripada The Watcher. Hingga sekarang, identiti The Watcher masih lagi kekal menjadi misteri.
Catat Ulasan for "KISAH BENAR DI SEBALIK FILEM THE WATCHER "