Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH CHEN HAIYAN : Demi Anakku Wahai Bakal Menantuku

    Pada tahun 2003, seorang pelajar wanita di sebuah universiti yang terletak di Beijing, China telah membuat laporan polis tentang kehilangan ibunya. Hanya empat tahun selepas laporan polis tersebut, barulah terungkai misteri kehilangan ibu wanita itu yang disahkan mati akibat menjadi mangsa pembunuhan. Namun apa yang benar-benar mengejutkan, pembunuh terbabit merupakan bekas teman lelaki kepada pelajar wanita tersebut. Jadi, apakah sebenarnya yang berlaku hingga lelaki itu membunuh ibu kepada teman wanitanya?

    Kisah bermula pada tahun 2000 apabila seorang wanita bernama Chen Jing telah mendapat tawaran untuk belajar di sebuah universiti yang berlokasi di Beijing. Sebelum wanita tersebut memasuki universiti itu, dia beberapa kali diingatkan oleh ibunya iaitu Chen Haiyan supaya berhati-hati dalam memilih lelaki untuk dijadikan sebagai teman lelaki atau suami. Chen Haiyan memberikan nasihat sedemikian kerana dia sendiri pernah menjadi mangsa penipuan suaminya yang telah membawa kepada penceraian mereka pada tahun 1985. Disebabkan perkara ini, Chen Haiyan berusaha sebaik mungkin dalam memastikan Chen Jing yang dijaganya bersendirian sejak dari usia 3 tahun tidak akan mengalami nasib seperti dirinya.

    Satu hari, Chen Haiyan dikejutkan dengan pengakuan daripada Chen Jing yang mengaku dirinya sedang menjalinkan hubungan percintaan dengan seorang lelaki kacak dikenali sebagai Yan Zhuo, 20 tahun. Dakwa Chen Jing, Yan Zhuo merupakan seorang pengurus di sebuah syarikat perusahaan komputer. Mendengar perkara tersebut, Chen Haiyan mula menjadi tidak tentu arah kerana berasa risau anak yang disayanginya bagai menatang minyak penuh itu akan merana seumur hidup jika tersilap memilih calon pasangan hidup. Selepas bermasam muka untuk seketika, Chen Haiyan akhirnya telah meminta Chen Jing supaya membawa Yan Zhuo datang ke rumah mereka. Sesudah melihat sendiri perwatakan Yan Zhuo di depan matanya, Chen Haiyan begitu yakin bahawa lelaki itu bukanlah calon yang sesuai untuk dijadikannya sebagai menantu. Hasil siasatan yang Chen Haiyan sendiri lakukan, dia mendapati Yan Zhuo hanya berperanan sebagai seorang pembantu pemasangan peralatan  komputer serta pada masa sama tidak mempunyai pendapatan kukuh. Walaupun sudah diberitahu oleh ibunya mengenai perkara sebenar, Chen Jing masih tetap berdegil unutk meneruskan perhubungannya dengan Yan Zhuo.

    Sampailah satu masa, Chen Haiyan pun meminta pendapat daripada rakan-rakannya untuk menyelesaikan masalah kedegilan Chen Jing. Mendengar masalah Chen Haiyan, rakan-rakannya telah memintanya supaya mengupah mana-mana wanita cantik untuk menggoda Yan Zhuo. Godaan tersebut bertujuan untuk melihat samada Yan Zhuo adalah seorang lelaki sejati atau sebaliknya. Cadangan itu ternyata telah dipersetujui oleh Chen Haiyan. Walau bagaimanapun, Chen Haiyan membuat keputusan memilih dirinya sendiri untuk melakukan tugasan memperdayakan Yan Zhuo tersebut. Sejak itu, Chen Haiyan telah melayan Yan Zhuo dengan baik dan begitu mesra sekali. Dari sisi Chen Jing, dia beranggapan bahawa ibunya sudah mula menerima kehadiran Yan Zhuo dalam kehidupan mereka. Chen Jing benar-benar berasa gembira dengan situasi semasa tersebut.

    Pada bulan Ogos 2002, Chen Jing telah pergi ke Tianjin bersama dengan beberapa orang rakan sekelasnya selama dua hari untuk melakukan tugasan universiti. Yan Zhuo bagaimanapun tetap mengunjungi rumah Chen Cing selepas waktu bekerja untuk makan malam kerana itu memang rutin hariannya. Maka pada malam yang berkenaan, Chen Haiyan telah menyediakan makanan seperti kebiasaannya. Cuma kali ini, Chen Haiyan mempelawa Yan Zhuo untuk meminum minuman keras bersama-sama. Pada saat tersebut, Chen Haiyan telah meluahkan perasaan tentang segala masalah dan kesunyian yang dia lalui sejak berpisah dengan suaminya. Sesi luahan perasaan itu berakhir dengan Chen Haiyan meletakkan kepalanya pada bahu Yan Zhuo sambil menangis. Keesokan harinya, Yan Zhuo yang terjaga daripada tidurnya telah mendapati dirinya dalam keadaan bertelanjang. Saat tersebut, Yan Zhuo menyedari dirinya sudah melakukan kesilapan terbesar dalam hidup. Dia telah meniduri Chen Haiyan.

    Tidak lama selepas insiden tidur bersama tersebut, Yan Zhuo enggan lagi untuk berkunjung ke rumah Chen Haiyan sekaligus menyebabkan Chen Jing berasa sedih yang beranggapan bahawa teman lelakinya itu telah mempunyai teman wanita baru. Melihat Chen Jing sedih, Chen Haiyan pun pergi bertemu dengan Yan Zhuo untuk meminta lelaki tersebut meninggalkan anaknya. Jika Yan Zhuo enggan berbuat sedemikian, Chen Haiyan mengugut untuk membuat laporan tentang dirinya dirogol atas apa yang telah berlaku kepada mereka berdua pada waktu sebelumnya. Chen Haiyan bahkan ada menyimpan foto mereka berdua sedang melakukan hubungan seks.

    Bulan Disember 2002, Yan Zhuo telah kembali ke rumah Chen Haiyan. Dia merayu kepada Chen Haiyan supaya dia diberikan peluang kedua untuk bersama dengan Chen Jing. Rayuan itu ternyata langsung tidak dipedulikan oleh Chen Haiyan. Pada waktu ini, Chen Jing telah pun diperkenalkan oleh ibunya dengan seorang lelaki kaya raya. Pada tiga bulan berikutnya, Yan Zhuo sekali lagi pergi ke rumah Chen Haiyan dalam keadaannya mabuk. Niat Yan Zhuo tetap sama di mana dia ingin bersama dengan Chen Jing semula. Yan Zhuo menjadi marah apabila dia telah ditengking oleh Chen Haiyan supaya beredar pergi. Tanpa diduga, Chen Haiyan telah dicekik oleh Yan Zhuo sehingga mati. Melihat Chen Haiyan sudah tidak lagi bernyawa, Yan Zhuo menjadi panik. Selepas cuba bertenang untuk seketika, Yan Zhuo pun mengambil pisau dapur lalu mengerat mayat Chen Haiyan kepada enam bahagian sebelum disimpan ke dalam beberapa buah bungkusan. Yan Zhuo juga mengambil barangan peribadi milik Chen Haiyan seperti kad pengenalan, kad bank dan buku akaun bagi menampakkan wanita itu seolah-olah melarikan diri dari rumahnya. Keratan mayat Chen Haiyan tersebut telah dibuang Yan Zhuo ke beberapa buah lokasi berbeza.

    Chen Jing membuat laporan polis mengenai kehilangan Chen Haiyan setelah dia yakin ibunya itu tidak akan sesekali menghilangkan diri tanpa sebarang sebab munasabah. Hanya empat tahun kemudian, barulah terungkai misteri kehilangan ibunya selama ini yang telah disahkan sudah pun mati akibat dibunuh. Paling memeranjatkan Chen Jing, pembunuh ibunya adalah Yan Zhuo yakni cinta pertama dan lelaki yang pernah dia cintai. Jadi, bagaimana penangkapan Yan Zhuo ini dibuat? Pada mulanya, ada seorang rakan Yan Zhuo telah ditangkap oleh pihak polis kerana melakukan jenayah kecurian. Sewaktu disoal siasat, rakan Yan Zhuo ini membuka mulut mengenai pengakuan yang pernah dibuat Yan Zhuo sewaktu dalam keadaan mabuk di mana dia mengaku telah membunuh dan menanam mayat bakan mertuanya. Keterangan daripada rakan Yan Zhuo inilah yang menyebabkan tertangkapnya Yan Zhuo. Hasil siasatan terperinci yang pihak polis jalankan, ternyata benarlah status Yan Zhuo sebagai pembunuh Chen Haiyan dengan motif dendam. Pada bulan Disember 2008, Yan Zhuo yang didapati bersalah atas pembunuhan Chen Haiyan telah dijatuhkan hukuman mati.

Catat Ulasan for "KISAH CHEN HAIYAN : Demi Anakku Wahai Bakal Menantuku"