KISAH KEMATIAN LARRY MURILLO-MONCADA YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN
Pada hujung bulan November 2009 bertempat di Council Bluffs, Iowa, Amerika Syarikat,
seorang lelaki berusia 25 tahun iaitu Larry Ely Murillo-Moncada yang bekerja di
pasar raya bernama No Frills telah dilaporkan hilang oleh keluarganya. Kali
terakhir Larry dilihat oleh kedua-dua ibu bapanya adalah pada 28 November 2009.
Menerusi kenyataan
daripada ibu Larry yang dikenali sebagai Ana tentang sehari sebelum kehilangan
Larry, dia mendakwa bahawa Larry bertindak untuk keluar dari rumah dengan
berkaki ayam selepas berlaku pertengkaran antara mereka. Selain itu, Larry juga
didakwa kelihatan seperti tidak tentu arah. Kelakuan aneh Larry tersebut
berkemungkinan besar disebabkan kesan ubat anti kemurungan yang diambilnya. Malah
keadaan Larry sebelum itu juga dikatakan semakin teruk kerana dia telah mengalami
halusinasi.
Walaupun usaha untuk mencari Larry dijalankan oleh pihak polis secara skala besar-besaran dengan pelbagai kaedah, tiada sebarang petunjuk yang diperolehi sekaligus menyebabkan operasi pencarian tersebut terus menemui jalan buntu. Hinggalah pada tahun 2016, No Frills yakni pasar raya tempat Larry bekerja sebelum ini terpaksa ditutup pengoperasian sepenuhnya atas sebab yang tidak dapat untuk dipastikan. Tiga tahun selepas No Frills tersebut terbiar, sekumpulan pekerja lantikan kontrakror yang berkaitan telah diarahkan untuk mengalihkan rak serta peti sejuk beku yang sedia ada dalam premis itu. Namun apa yang benar-benar mengejutkan iaitu sewaktu kerja-kerja pengalihan tersebut dibuat, terdapat satu mayat manusia yang hanya tinggal tulang rangka berada di salah satu ruang berukuran 18 inci antara dinding dan peti sejuk beku.
Susulan penemuan mayat manusia itu, maka pihak berkuasa pun bergegas tiba di lokasi kejadian. Berdasarkan pemeriksaan awal pada mayat tersebut didapati sama dengan pakaian terakhir yang dipakai oleh Larry sebelum kehilangannya. Pada enam bulan berikutnya barulah mayat itu disahkan sebagai Larry. Pengesahan tersebut dibuat hasil keputusan DNA yang didapati sepadan dengan ibu Larry. Pihak polis meyakini punca kematian Larry adalah akibat kemalangan yang tidak disengajakan dengan tiada sebarang unsur jenayah berlaku. Larry dikhuatiri telah terjatuh ke dalam ruang yang sempit itu di mana jeritannya meminta pertolongan tidak didengari oleh sesiapa pun berikutan bunyi bising kompresor peti sejuk beku tersebut. Seperkara lagi harus diketahui, lokasi jarak pasar raya No Frills dengan rumah Larry hanyalah sekitar 1.6 kilometer.
Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN LARRY MURILLO-MONCADA YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN"