KISAH PEMBUNUHAN JESSICA LAL : Tiada Siapa Bunuh Jessica
Pada malam 29 April 1999, seorang model wanita cantik
berusia 34 tahun iaitu Jessica Lal telah diupah untuk menjadi pelayan bar di
sebuah restoran mewah sempena majlis parti. Restoran yang diketahui tidak mempunyai sebarang
lesen untuk beroperasi itu terletak di Mehrauli, Delhi, India. Turut serta
bersama dengan Jessica untuk melayan sekitar seramai 300 orang tetamu pada malam
tersebut adalah rakan lelakinya yang bernama Shayan Munshi.
Menjelang pukul 12.30 malam, minuman keras di bar restoran itu telah kehabisan stok. Disebabkan perkara ini, Jessica terpaksa memutuskan untuk menutup bar restorant tersebut lebih awal. Belum sempat Jessica berbuat sedemikian, tiba-tiba muncul empat orang lelaki yang dikenali sebagai Manu Sharma, Amardeep Singh Gill, Vikas Yaadav dan Alok Khanna. Tidak lama selepas kemunculan empat orang lelaki tersebut, Manu Sharma yang juga merupakan anak kepada menteri dan anggota parlimen berpengaruh telah meminta Jessica untuk menghidangkan mereka minuman keras. Jessica bagaimanapun terpaksa menolak permintaan Manu Sharma itu berikutan masalah stok minuman keras yang sudah pun habis. Alasan yang diberikan Jessica tersebut bukan saja langsung tidak dipedulikan Manu Sharma, lelaki berkenaan bahkan turut menawarkan sejumlah wang kepada Jessica supaya minuman keras dapat disediakan dengan kadar segera. Perkara ini sekaligus semakin menimbulkan rasa tidak puas hati Jessica.
Maka Manu Sharma dan Jessica pun mula bertengkar. Dari sisi Jessica, memang tiada apa yang dia boleh lakukan atas permasalahan stok minuman keras pada malam itu. Dari sisi Manu Sharma pula sebaliknya. Reputasinya sebagai anak orang kaya sudah tercalar gara-gara permintaannya tidak dapat untuk ditunaikan. Sewaktu pertengkaran tersebut berlaku, Manu Sharma yang semakin marah telah mengeluarkan sepucuk pistol lalu melepaskan tembakan pertama pada siling restoran sebagai tanda amaran. Apabila Jessica masih tetap mempertahankan haknya, Manu Sharma sekali lagi melepaskan tembakan. Tembakan kali kedua ini tepat mengenai kepala Jessica yang telah membuatkannya terus jatuh tersungkur. Sesudah menembak Jessica, Manu Sharma yang menjadi panik bergegas untuk melarikan diri. Begitu juga dengan tiga orang rakannya yang lain. Jessica telah dihantar ke hospital namun disahkan sudah pun meninggal dunia.
Kes kematian Jessica ini seterusnya mendapat liputan luas
oleh pihak media di India memandangkan pelaku utama merupakan anak kepada ahli
politik yang begitu berpengaruh. Manu Sharma dan tiga orang rakannya tersebut
pada mulanya tidak dapat dikesan oleh pihak polis kerana kesemua mereka telah
menyembunyikan diri. Hinggalah pada 4 Mei 1999, Amardeep Singh Gill dan Alok
Khanna telah menyerah diri kepada pihak polis. Penyerahan diri mereka berdua
ini juga sekaligus membawa kepada penangkapan Manu Sharma dan Vikas Yaadav pada
beberapa hari kemudian. Mengenai proses siasatan, Manu Sharma pada mulanya
mengaku membunuh Jessica tentang pembunuhan itu akan tetapi pengakuan tersebut
digugurkan dengan alasan masalah teknikal. Ramai tetamu pada majlis parti
tersebut enggan untuk tampil menjadi saksi kerana ada antara mereka yang
diberikan wang sogokan selain menerima ugutan bunuh. Perkara ini telah
mendorong kakak Jessica berjuang habis-habisan untuk menentang ketidakadilan
dalam sistem perundangan di India demi keadilan adiknya.
Pada 3 Ogos 1999, pihak juri mahkamah Delhi India telah membuat keputusan perbicaraan kes kematian Jessica yang mengejutkan di mana Manu Sharma, Amardeep Singh Gill, Vikas Yaadav dan Alok Khanna telah dibebaskan daripada semua pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka. Keputusan ini menimbulkan kemarahan ramai pihak di India terutamanya keluarga Jessica, para aktivis dan orang awam yang bertindak melakukan protes secara besar-besaran dengan turun di jalan raya. Tahun 2006, pihak polis telah memfailkan petisyen kepada mahkamah tinggi India untuk menyemak semula kes perbicaraan Jessica. Pada tahun yang sama, bapa Manu Sharma iaitu Venod Sharma telah didedahkan oleh pihak media sebagai individu yang memberi wang sogokan dan memaksa saksi penting mengubah keterangan mereka dalam mahkamah. Susulan pendedahan ini, Venod Sharma akhirnya telah meletakkan jawatan daripada parti dan kabinet.
Pada bulan Disember 2006, Manu Sharma, Amardeep Singh Gill,
Vikas Yaadav dan Alok Khanna telah dibicarakan semula atas kes kematian
Jessica. Menerusi bukti sedia ada, Manu Sharma yang didapati bersalah membunuh
Jessica diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara seumur hidup. Sementara
itu, Amardeep Singh Gill, Vikas Yaadav dan Alok Khanna pula hanya dipenjarakan
selama empat tahun atas kesalahan membantu tertuduh menghilangkan bukti.
Sepanjang tempoh pemenjaraan Manu Sharma, dia pernah dibebaskan secara
bersyarat untuk seketika pada bulan November 2009 dan bulan Disember 2013
hingga bulan Januari 2014.
Bulan Jun 2020, Manu Sharma telah dibebaskan sepenuhnya dari penjara kerana didapati berkelakuan baik. Filem No One Killed Jessica lakonan Rani Mukherjee yang ditayangkan pada tahun 2012 adalah kisah yang diangkat daripada kes pembunuhan Jessica Lal ini.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN JESSICA LAL : Tiada Siapa Bunuh Jessica"