Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM ALICE RUGGLES

    Kisah pembunuhan kejam ini telah berlaku pada bulan Oktober 2016 bertempat di Gateshead, England. Tahun itu, Alice Ruggles adalah seorang wanita berusia 24 tahun yang digambarkan dengan perwatakan baik, peramah dan selain mementingkan hubungan kekeluargaan. Dalam erti kata lain juga, Alice bukanlah seorang wanita yang bermasalah sama sekali.

    Pada bulan Oktober 2015, Alice mula mengenali seorang lelaki berusia 26 tahun bernama Trimaan Dhillon yang lebih dikenali sebagai Harry melalui laman media sosial. Waktu tersebut, Harry yang berketurunan India merupakan seorang anggota tentera British yang sedang bertugas di Afghanistan. Disebabkan hubungan jarak jauh itu, Harry dan Alice hanya berhubung melalui panggilan telefon dan panggilan video sebelum akhirnya secara rasmi menjadi pasangan kekasih.

    Pasangan tersebut telah bertemu buat kali pertamanya pada bulan Januari 2016 yakni saat kepulangan Harry ke England untuk bercuti. Waktu ini, Alice ternyata begitu gembira dengan layanan yang diberikan oleh Harry terhadapnya. Manakan tidak, Harry telah melayan Alice dengan begitu baik sekali serta memberikan perhatian sepenuhnya kepada teman wanitanya itu. Enam bulan berikutnya, Harry sekali lagi menghabis waktu cutinya turut serta dalam percutian bersama keluarga Alice. Cumanya kali ini, kehidupan Alice berubah 180 darjah. Dia yang kelihatan semakin kurus mula menjauhkan diri daripada semua orang.

    Perubahan Alice tersebut rupa-rupanya kerana hidupnya telah dikongkong oleh Harry di mana dia tidak dibenarkan untuk pergi bertemu dengan mana-mana kenalan tidak kira sama ada lelaki atau perempuan. Alice juga tertekan dengan tuduhan daripada Harry yang sentiasa menuduhnya berlaku curanng sedangkan dia benar-benar setia dalam hubungan walaupun mereka berdua saling berjauhan. Hinggalah pada bulan Ogos 2016, Alice yang sudah tidak tahan lagi dengan sikap Harry telah tekad untuk memutuskan hubungan mereka. Keputusan tersebut dibuat Alice selepas dia mendapat tahu Harry ada menjalinkan hubungan sulit dengan wanita lain.

    Sesudah perpisahan itu, Harry ternyata tidak dapat menerima hakikat bahawa Alice telah pun meninggalkannya. Biarpun nombor telefonnya disekat Alice, Harry tetap mencari cara untuk menghubungi semula bekas teman wanitanya itu. Ini termasuklah dengan menggodam laman Facebook Alice. Puas Harry merayu dengan tangisan supaya Alice kembali ke pangkuannya. Menyedari Alice langsung tidak mempedulikannya, Harry menukar pendekatan daripada pujuk rayu kepada bermacam jenis ugutan seperti menyebarkan fitnah dan lebih dahsyat, mengugut untuk membunuh Alice. Lebih membuatkan Harry marah, Alice didapati telah memiliki teman lelaki baru iaitu Mike, seorang anggota tentera yang dia kenali sewaktu berada di negara Jerman.

    Alice yang hidup dalam ketakutan kerana diganggu Harry secara berterusan telah bertindak untuk melaporkan perihal Harry kepada pihak polis. Walau bagaimanapun, pihak polis dilihat tidak begitu mengambil serius terhadap perkara tersebut. Sampai satu masa, Alice menjadi paranoid dengan kemunculan Harry pada waktu setiap kali dia keluar bersendirian. Pada 12 Oktober 2016, Alice sedang berseorangan di rumahnya. Tanpa diduga, Harry telah menceroboh masuk ke dalam rumahnya itu. Alice yang berada di dalam bilik mandi pada waktu itu seterusnya dikelar oleh Harry pada bahagian leher sebanyak enam kali. Setelah melakukan pembunuhan kejam tersebut, Harry pun bergegas melarikan diri dari lokasi kejadian. Mayat Alice yang berlumuran darah itu pula telah ditemui oleh rakan serumahnya tidak lama selepas waktu kejadian. Hasil laporan forensik menunjukkan Alice mengalami 24 kecederaan akibat insiden serangan tersebut.

    Pihak polis tidak memerlukan masa yang lama untuk mengesan dan melakukan penangkapan terhadap Harry. Kesan darah Alice pada stereng kereta milik Harry sudah cukup memadai bagi membuktikan penglibatannya sebagai pembunuh. Sepanjang tempoh perbicaraan kes, Harry dilihat tidak menunjukkan sebarang tanda penyesalan atas kematian Alice. Bulan April 2017, dia yang akhirnya didapati bersalah atas kesalahan jenayah membunuh telah dihukum penjara untuk seumur hidup dengan layak untuk membuat permohonan parol hanya selepas 22 tahun dipenjarakan. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM ALICE RUGGLES"