Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM GRETCHEN CROOKS

    Pada 24 Mac 2012, seorang lelaki bernama William Crooks telah menerima satu teks mesej daripada anak lelakinya yang berusia 13 tahun iaitu Noah Crooks. Mesej tersebut bertulis, “Ayah, ini Noah. Aku sudah membunuh ibu. Aku berasa sangat menyesal. Sila pulang ke rumah sekarang.” William bagaimanapun beranggapan mesej itu sebagai sekadar gurauan daripada Noah. Jadi William pun membalas, “Okay. Lemparkan mayatnya ke dalam lubang kubur. Nanti kita berdua uruskan bersama.”

    Sebelum mesej tersebut dihantar kepada William, Noah pada waktu sebelum itu sedang berada di rumah bersama dengan ibunya yang dikenali sebagai Gretchen Crook, 37 tahun. Sedikit tentang Gretchen pada waktu tersebut, dia merupakan seorang jururawat yang sedang menyambung pengajian Ijazah Sarjana di Universiti Iowa dalam bidang kejururawatan. Gretchen digambarkan sebagai seorang wanita yang baik, berdisiplin, sentiasa bekerja kerja keras dan begitu komited dalam melakukan tugas.

    Berbalik kepada cerita waktu kejadian, Gretchen sedang sibuk menyiapkan makan malam di dapur. Tanpa dia sedari, Noah yang berada di belakangnya sudah bersedia untuk melepaskan tembakan terhadapnya dengan menggunakan senapang. Noah bagaimanapun membatalkan niatnya itu lalu dia kembali ke tingkat atas rumah. Tidak lama kemudian, Gretchen memanggil nama Noah untuk makan malam. Jadi, Noah pun turun semula ke tingkat bawah dengan tangannya masih memegang senapang. Dia melihat Gretchen sedang duduk di atas sofa ruang tamu sambil membelek buku. Noah pun menghalakan senapang ke arah Gretchen. Entah apa yang bermain dalam fikiran Noah, dia telah menembak Gretchen sebanyak 21 kali dengan dua tembakan di kepala, empat tembakan di leher dan 15 tembakan di dada. Lagi dahsyat yakni sesudah tembakan maut tersebut, Noah mula menanggalkan pakaian Gretchen dengan niat untuk merogol mayat ibunya itu. Selepas berfikir sejenak, Noah membatalkan niatnya. Seperkara harus diketahui, senapang yang Noah gunakan tersebut adalah hadiah pemberian Gretchen pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-11.

    Setelah pembunuhan tersebut, barulah Noah menghantar teks mesej kepada bapanya. Noah juga telah menghubungi pihak talian kecemasan untuk memberitahu tentang apa yang sudah berlaku. Menerusi pengakuan yang dibuat Noah kepada operator talian kecemasan itu, dia memberitahu,

    “Aku baru lepas menembak ibuku. Aku tidak membuat lawak jenaka. Dia sudah pun mati. Aku berasa takut. Aku bunuh ibu dengan senapang. Aku tidak tahu mengapa aku melakukan perkara tersebut. Aku cuba untuk merogolnya. Aku cuba untuk merogolnya tetapi aku tidak boleh meneruskan perbuatan itu. Beritahu mereka senjataku tidak mempunyai sebarang peluru. Aku berharap semua yang berlaku ini sekadar mimpi supaya apabila aku terjaga, aku boleh mencium dan memeluknya. Ada sesuatu yang berlaku kepadaku. Nampak gaya, aku tidak akan dapat memperolehi pekerjaan yang bagus dan tidak boleh berkahwin. Aku akan ke penjara.”

    Setibanya pihak polis di lokasi kejadian, mereka telah menemui mayat Gretchen yang terbaring berlumuran darah di ruang tamu dalam keadaannya separuh bogel. Noah pula telah ditangkap dengan serta-merta. Sewaktu penangkapannya dibuat, Noah tidak menunjukkan sebarang reaksi penyesalan. Dia langsung tidak menangis dan kelihatan begitu tenang. Noah tidak memiliki sebarang rekod jenayah akan tetapi dia mempunyai penyakit kegelisahan selain gemar untuk membuli kanak-kanak lain dan membenci binatang. Menurut William, Gretchen dan Noah kerap bertengkar. Cumanya, pertengkaran tersebut kebiasaannya tidak akan berpanjangan. Biarpun tidak jelas motif sebenar Noah membunuh ibunya, pembunuhan itu dipercayai berpunca daripada tindakan Gretchen memarahi Noah yang terlampau leka bermain permainan video hingga menyebakan pretasi akademiknya di sekolah semakin merosot.

    Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada bulan Mei 2012, Noah yang didapati bersalah melakukan pembunuhan peringkat kedua telah diperintahkan untuk dipenjarakan di pusat tahanan juvana sehingga dia berusia 18 tahun di mana selepas itu hukuman penjaranya akan ditambah kepada 50 tahun. Berdasarkan penjelasan daripada pakar psikologi yang melakukan pemeriksaan terhadap Noah, dia mendakwa personaliti jahat remaja tersebut tidak pernah berubah sama sekali. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM GRETCHEN CROOKS"