KISAH PENCULIKAN TANYA KACH
Pada tahun 1996, Tanya Kach merupakan seorang gadis berusia
14 tahun yang tinggal di McKeesport, Pennsylvania, Amerika Syarikat bersama
dengan bapa kandung dan ibu tirinya. Ibu bapa kandung Tanya telah pun bercerai
sewaktu Tanya berusia 11 tahun. Kehadiran ibu tiri Tanya sebagai orang baru
dalam keluarganya ternyata benar-benar tidak disenangi oleh Tanya. Disebabkan
itulah Tanya membuat perangai seperti kerap ponteng sekolah dan suka
mencetuskan pergaduhan dengan pelajar lain sebagai tanda pemberontakan.
Hinggalah satu hari, Tanya telah berkenalan dengan seorang
lelaki berusia 37 tahun iaitu Thomas Hose yang juga merupakan pengawal
keselamatan di sekolahnya. Tidak lama selepas perkenalan tersebut, Tanya selalu
menceritakan hal-hal peribadi kepada Thomas yang dianggap sebagai pendengar
setia kepada semua permasalahannya. Dari sisi Thomas, dia menyedari Tanya belum
cukup matang dalam menempuh kehidupan. Thomas pun mengambil kesempatan ini
untuk menjadikan Tanya sebagai alat pemuas nafsu seksualnya. Thomas bagaimanapun
tidak tergesa-gesa bagi mencapai objektifnya itu. Apa yang dia lakukan adalah
untuk mendapatkan kepercayaan Tanya terlebih dahulu seperti memberikan hadiah
dan menghemburkan kata-kata berbaur pujian.
Sampai satu masa, Tanya tekad untuk hidup bersama dengan Thomas. Bagi Tanya, cuma Thomas saja yang mampu untuk membahagiakannya. Maka pada malam 10 Februari 1996, Thomas pun menceroboh masuk ke dalam rumah Tanya untuk membawa lari gadis tersebut. Sesudah kehilangan Tanya disedari oleh bapanya, dia terus membuat laporan polis. Bertindak atas maklumat itu, pihak polis berusaha sebaik mungkin untuk mencari Tanya. Walau bagaimanapun, Tanya gagal untuk dikesan sama sekali.
Thomas Hose |
Jadi ke mana Tanya sebenarnya melarikan diri? Jawapannya dia dikurung di dalam bilik tidur rumah Thomas. Di situlah tempat Tanya dirogol pada hampir setiap hari. Turut serta tinggal di rumah tersebut adalah ibu bapa Thomas. Cumanya, kehadiran Tanya dalam rumah itu tidak disedari oleh ibu bapa Thomas memandangkan pintu bilik Thomas yang sentiasa berkunci. Empat tahun pertama di rumah Thomas tersebut, Tanya langsung tidak dibenarkan untuk keluar dari bilik tidur berkenaan. Dia disuruh untuk membuang air kecil dan besar di dalam bekas baldi yang Thomas sediakan. Soal mandi, cuma sekali atau dua minggu dengan waktu mandi itu adalah semasa ibu bapa Thomas telah pun tidur. Tanya menghabiskan masa dalam bilik tidur tersebut dengan membaca majalah dan menonton televisyen. Tanya boleh saja melarikan diri dengan menjerit meminta pertolongan atau dengan cara lain akan tetapi dia takut untuk berbuat sedemikian kerana sentiasa menerima ugutan bunuh daripada Thomas. Seperkara harus diketahui, jarak lokasi rumah Tanya dengan rumah Thomas hanyalah sekitar tiga kilometer.
Pada tahun 2000 yakni sempena hari ulang tahu kelahiran
Tanya yang ke-18 tahun, barulah dia dibenarkan untuk keluar dari Thomas. Tanya
telah diperkenalkan Thomas kepada ibu bapanya dengan nama Nikki Diane Allen.
Walaupun Tanya sudah diberikan sedikit kebebasan, dia tetap berasa takut untuk
melarikan diri. Paling Tanya takutkan, tiada sesiapa akan mempercayainya jika
dia mendedahkan perkara yang sebenar. Lama kelamaan, Tanya mula menjadi rapat
dengan pasangan suami isteri yang menjalankan perusahaan sebuah kedai runcit.
Pasangan suami isteri tersebut bernama Joe dan Janet Sparico. Pada masa sama,
Tanya juga mendapat tahu bahawa hubungannya dengan Thomas selama ini bukanlah
satu perkara yang normal. Bermula saat itu, Tanya akhirnya mempunyai keberanian
untuk menceritakan segala-galanya kepada Joe dan Janet bahawa dia merupakan
mangsa penculikan pada sepuluh dekad lalu. Mendengar perkara tersebut, pasangan
Sparico itu pun terus menghubungi anak lelaki mereka yang dikenali sebagai
Shawn bagi memaklumkan mengenai pengakuan Tanya tersebut. Kebetulan Shawn
adalah seorang pesara polis yang pernah ditugaskan untuk menyiasat kes
kehilangan Tanya.
Tanya bersama dengan bapanya. |
Pada usia Tanya 24 tahun, dia akhirnya kembali semula ke pangkuan keluarganya. Sementara itu, Thomas telah ditangkap oleh pihak polis lalu dikenakan dengan beberapa pertuduhan. Thomas yang didapati bersalah atas semua kesalahan tersebut menerima hukuman penjara selama 15 tahun. Thomas dibebaskan pada bulan Februari 2022 dengan rekod sebagai pesalah laku seksual. Buku memoir tentang kisah tragis Tanya yang berjudul Memoir of a Milk Carton Kid: The Tanya Nicole Kach Story ini telah diterbitkan pada tahun 2011. Tanya kini yang sudah pun berusia 41 tahun hidup bahagia bersama dengan suami, anak tiri dan cucu tirinya.
Catat Ulasan for "KISAH PENCULIKAN TANYA KACH"