KISAH SHEILA DAVALLOO : Wanita Tarikan Maut
Sheila Davalloo |
Sheila Davalloo merupakan seorang wanita berasal dari negara
Iran di mana dia telah dibawa keluarganya untuk berhijrah ke Amerika Syarikat
pada sekitar tahun 1970-an. Sheila yang digambarkan sebagai seorang wanita yang
sangat pintar dikatakan telah berkahwin pada usia muda. Selepas memperolehi
ijazah sarjana muda dalam bidang biokimia, Sheila melanjutkan pelajaran ke
sebuah kolej perubatan. Di kolej itulah dia mula menjalinkan hubungan sulit
dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Paul Christos. Apabila suami Sheila
mendapat tahu tentang kecurangan isterinya itu, mereka berdua pun bercerai. Sesudah
penceraian tersebut, Paul dan Sheila pun melangsungkan perkahwinan mereka pada
tahun 2000. Paul bekerja di sebuah universiti manakala Sheila pula menjadi
penyelidik untuk sebuah syarikat farmaseutikal iaitu Phurdue Pharma yang
terletak di Stamford, Connecticut.
Sheila dan Nelson |
Tahun 2001, Sheila sekali lagi berlaku curang. Kali ini, dia menjadikan rakan sekerja lelaki yang bernama Nelson Sessler sebagai kekasih gelapnya. Seperkara harus diketahui, Nelson pada waktu tersebut langsung tidak mengetahui tentang status Sheila yang sebenarnya masih berstatus sebagai isteri orang. Adakalanya Sheila akan menyuruh Paul untuk bermalam di rumah ibu-bapa atau kenalannya. Paul bersetuju dengan perkara itu selepas diberitahu oleh Sheila tentang adik lelakinya yang ada mengidap penyakit mental akan datang bermalam di rumah mereka. Adik lelaki tersebut kononnya akan berasa marah jika dia mendapat tahu kakaknya itu sudah berkahwin. Hakikat sebenar, Sheila berbohong kepada suaminya bagi membolehkan Nelson datang ke rumah. Dari sisi Nelson pula, dia beranggapan bahawa Sheila tinggal bersendirian.
Nelson dan Anna |
Nelson sebenarnya mempunyai seorang lagi teman wanita selain Sheila. Wanita itu adalah Anna Lisa Raymundo yakni juga pekerja di Phurdue Pharma. Hingga pada akhirnya, Nelson memilih untuk lebih serius dalam perhubungannya dengan Anna. Jadi, Nelson pun menetap bersama Anna di sebuah apartment. Bagaimana pula dengan Sheila? Dia ditinggalkan oleh Nelson. Perkara ini sekaligus membuatkan Sheila benar-benar berasa marah kerana dia menganggap Anna telah merampas Nelson daripadanya. Dalam fikiran Sheila, Anna harus dibunuh. Bagi Sheila, hanya dia yang layak untuk memiliki Nelson. Pada masa sama, Sheila juga kerap bercerita serta meminta nasihat daripada Paul mengenai kisah cinta tiga segi “Jack, Melissa dan Anna” yang sedang berlaku di tempat kerjanya. Cerita Sheila, Jack sedang bermain cinta dengan kedua-dua wanita tersebut. Cuma tanpa Paul sedari, watak Jack itu sebenarnya merujuk kepada Nelson dan Melissa pula Sheila sendiri.
Pada 8 November 2002, Sheila telah menceroboh masuk ke dalam apartment kediaman Anna untuk melakukan pembunuhan. Selesai membunuh Anna, Sheila pun menelefon talian kecemasan untuk memberitahu tentang jirannya yang telah ditikam oleh seorang lelaki. Panggilan tersebut dibuat Sheila menggunakan telefon awam di sebuah restoran yang berdekatan dengan kawasan apartment itu. Sheila bagaimanapun tidak mendedahkan butiran identitinya kepada operator talian kecemasan tersebut. Setibanya pihak polis di lokasi kejadian, mereka telah menemui mayat Anna yang telah ditikam secara berkali-kali pada bahagian muka, leher dan dada. Kepala Anna turut didapati mempunyai kesan pukulan yang kuat. Terdapat juga kesan darah pada sinki dalam bilik mandi yang dipercayai darah milik pelaku. Hasil siasatan awal yang pihak polis jalankan, mereka mendapati terdapat kesan pergelutan akan tetapi tiada sebarang tanda rompakan atau rumah dipecah masuk.
Nelson dikeluarkan daripada senarai suspek kerana dia
mempunyai alibi kukuh berada di tempat kerjanya sewaktu kejadian pembunuhan
Anna berlaku. Perkara yang agak menyukarkan pihak polis adalah untuk mengesan
pengadu yang membuat panggilan kecemasan pada waktu kejadian. Sheila yang
menyedari kesukaran yang dialami pihak polis tersebut mengambil kesempatan
sedia ada untuk mendekati semula Nelson. Lebih kurang dua bulan selepas
kematian Anna, Nelson dan Sheila telah tidur bersama. Tidak lama kemudian, Sheila
mempunyai satu lagi niat jahat iaitu berniat untuk membunuh Paul supaya dia dan
Nelson boleh hidup bahagia buat selama-lamanya.
Pada 22 Mac 2003, Sheila dan Paul telah bermain satu
permainan di rumah mereka. Cara permainan tersebut, salah seorang daripada
mereka akan ditutup mata dan diikat kedua-dua tangan sebelum dikehendaki untuk meneka
objek yang akan menyentuh pada badannya. Pada saat itulah Sheila menikam Paul
dengan menggunakan pisau. Sheila mendakwa tikaman tersebut adalah tidak
disengajakan dan seterusnya berpura-pura menghubungi talian kecemasan. Hanya
selepas sejam berikutnya barulah Sheila membawa Paul ke hospital dengan menaiki
kereta. Sebaik sampai di kawasan parkir hospital itu, Sheila menikam dada
semula Paul sebanyak tiga kali. Walau bagaimanapun, aksi tikaman tersebut telah
dilihat oleh beberapa orang awam yang berada di kawasan situ. Maka Sheila
akhirnya ditangkap pihak polis atas kesalahan cubaan melakukan pembunuhan. Berkenaan
dengan Paul, dia berjaya diselamatkan selepas menjalani pembedahan.
Susulan penangkapan Sheila serta maklumat yang diberikan Nelson, pihak polis akirnya mendapati bahawa kematian Anna dan serangan terhadap Paul adalah saling berkaitan. Suara Sheila telah disahkan sepadan dengan suara pengadu yang membuat panggilan kecemasan pada hari kejadian. Begitu juga dengan DNA Sheila yang didapati sepadan dengan kesan darah pada lokasi kejadian. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes tahun 2004, Sheila yang didapati bersalah atas kesalahan percubaan membunuh telah diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 25 tahun tanpa sebarang kemungkinan untuk dibebaskan secara bersyarat. Tahun 2012, Sheila yang berusia 42 tahun menerima tambahan hukuman penjara 50 tahun selepas pihak juri memutuskannya bersalah atas kesalahan melakukan pembunuhan terhadap Anna.
Catat Ulasan for "KISAH SHEILA DAVALLOO : Wanita Tarikan Maut"